Soalan Lazim: Wasiat
Soalan Lazim: Wasiat
-
Apakah wasiat?
J: Wasiat adalah pemberian oleh pewasiat kepada penerima wasiat sama ada dalam bentuk benda, hutang atau manfaat untuk dimilik dan pemberian tersebut dilaksanakan selepas pewasiat meninggal dunia.
-
Apakah perbezaan wasiat dan hibah?
J: Wasiat dilaksanakan selepas pewasiat meninggal duni, hibah dilaksanakan semasa pemberi hibah masih hidup.
-
Berapakah had harta saya yang boleh diwasiatkan?
J: Pewasiat boleh mewasiatkan 1/3 dari jumlah harta miliknya. Wasiat yang melebihi daripada 1/3 tidak sah kecuali mendapat persetujuan semua waris selepas kematian pewasiat.
-
Apakah harta yang boleh saya wasiatkan?
J: Semua jenis harta yang dimiliki oleh pewasiat boleh diwasiatkan samada harta alih atau harta tidak alih. Harta alih adalah seperti akaun bank, saham, kenderaan, emas, insuran, saham perniagaan dan lain-lain. Manakala, harta tidak alih seperti tanah, rumah dan bangunan.
-
Kepada siapa wasiat boleh dibuat?
J: Penerima wasiat mestilah bukan ahli waris pewasiat seperti anak angkat, anak tiri, dan sebagainya tanpa mengira agama.
-
Bolehkah saya mewasiatkan harta saya kepada ahli waris?
J: Boleh, dengan syarat dipersetujui oleh ahli waris yang lain selepas pewasiat meninggal dunia.
-
Saya mempunyai seorang anak angkat yang berumur bawah 18 tahun. Bolehkan saya membuat wasiat kepada anak angkat tersebut??
J: Anda boleh melantik pentadbir (wasi) di kalangan ahli waris. Sekiranya waris uzur ataupun masih di bawah umur, perlu lantik penjaga amanah yang mana juga akan bertindak sebagai pentadbir.
-
Saya mualaf, bolehkah saya mewasiatkan harta saya kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang bukan Islam?
J: Boleh tetapi tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta milik Encik/Puan. Jika lebih dari 1/3, perlu mendapatkan persetujuan ahli waris yang lain selepas kematian Encik/Puan.
-
Adakah saya boleh membatalkan atau mengubah wasiat saya?
J: Wasiat boleh dibatalkan atau diubah mengikut apa yang dikehendaki semasa pewasiat masih hidup
-
Jika saya tidak mahu membuat sebarang wasiat, bagaimanakah harta saya akan dibahagikan selepas saya meninggal dunia?
J: Jika tiada sebarang wasiat atau hibah, harta Encik/Puan akan dibahagikan secara faraid kepada ahli waris yang berhak.
-
Bolehkah saya membuat wasiat secara lisan?
J: Wasiat boleh dibuat sama ada secara lisan atau bertulis, namun digalakkan dibuat secara bertulis dan mendapatkan Perintah Pengesahan Wasiat dari Mahkamah Syariah bagi memudahkan pengurusan harta wasiat tersebut selepas pewasiat meninggal dunia.