Soalan Lazim: Tuntutan Perceraian Melalui Hakam

Spread the love

Dalam menuntut perceraian di Mahkamah Syariah, ramai pihak bimbang sekiranya suami/isteri beliau tidak mahu memberikan kerjasama dan tidak bersetuju dalam tuntutan perceraian yang telah difailkan. Oleh itu, wujudnya HAKAM sebagai alternatif bagi memudahkan tuntutan perceraian.

1. Apakah itu Hakam ?

Hakam adalah seseorang yang dilantik oleh suami, isteri atau mahkamah sebagai penimbangtara dengan tujuan menyelesaikan pergaduhan antara pihak-pihak.

2. Bila kah Hakam ini akan dilantik ?

Hakam akan dilantik apabila pihak Jawatankuasa Pendamai tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak untuk hidup semula bersama sebagai suami isteri. Jika suami enggan melafazkan talak di hadapan Mahkamah atau jika suami tidak hadir ke Mahkamah. Maka prosiding akan diteruskan kepada perlantikan dua orang Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri.

3. Siapakah yang layak untuk dilantik sebagai Hakam?

Hakam hendaklah terdiri daripada saudara karib suami dan isteri yang :

  • Beragama Islam
  • Seorang lelaki
  • Mukalaf
  • Adil serta amanah
  • Mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak.

4. Apakah fungsi Hakam tersebut?

Hakam hendaklah menamatkan syiqaq (pergaduhan) antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya dengan talak atau khuluk.

5. Adakah Hakam mempunyai kuasa untuk melafazkan talak sekiranya pihak suami tidak mahu melafazkan talak tersebut?

Ya, Hakam yang mempunyai kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing boleh melafazkan satu talak di hadapan Mahkamah jika dibenarkan oleh Mahkamah.

6. Apa yang pihak firma guaman Tetuan Abdul, Low & Partners dapat bantu saya dalam menyelesaikan isu suami / isteri tidak mahu memberikan kerjasama dalam tuntutan perceraian?

a. Memberikan khidmat nasihat guaman kepada Encik/Puan berkenaan jenis-jenis tuntutan perceraian yang bersesuaian dengan situasi Encik/Puan.
b. Menasihati, menyediakan kertas-kertas kausa dan mewakili Encik/Puan dalam kes tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah.
c. Membantu dan memudahkan urusan Encik/Puan di Mahkamah Syariah bermula daripada tuntutan perceraian sehingga pendaftaran Sijil Cerai di Pejabat Agama Islam.


Artikel ini disediakan oleh
Mursyidatun Adilah Bt Mohd Nasar
Senior Associate,  Abdul, Low & Partners