Soalan Lazim: Pengesahan Pernikahan

Spread the love

Majlis pernikahan yang dilakukan di dalam dan luar negara tanpa kebenaran Mahkamah Syariah sudah menjadi amalan dan budaya masyarakat Malaysia tanpa mengetahui impak serta kesan yang akan berlaku sekiranya pernikahan tersebut tidak didaftarkan di Malaysia.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan “bernikah tanpa kebenaran”?

Bernikah tanpa kebenaran merupakan pernikahan yang dilakukan tanpa memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam bagi sesebuah negeri tersebut. Sebagai contoh seseorang yang ingin berpoligami tidak mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah sebaliknya terus melangsungkan pernikahan di negara seberang iaitu Thailand. Selain itu, majlis pernikahan yang telah dijalankan di sebuah surau di mana-mana daerah dalam Malaysia tanpa kehadiran wali pengantin perempuan.

2. Dimanakah seseorang itu boleh membuat Permohonan Pengesahan Nikah ?

Pasangan suami isteri yang ingin membuat pengesahan pernikahan boleh membuat permohonan di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa.

3. Apakah langkah yang perlu diambil bagi membuat Permohonan Pengesahan Nikah ?

Kaedah permohonan adalah seperti berikut :

I. Mengisi borang MS3 & MS26 iaitu Notis Permohonan dan Afidavit Sokongan seperti yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 13 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
II. Kemukakan dokumen pengenalan diri dan gambar majlis pernikahan tersebut telah berlangsung.

4. Adakah bernikah tanpa kebenaran ini dikira sebagai satu kesalahan di Malaysia ?

Ya, ia dikira sebagai satu kesalahan jenayah syariah dan akan didakwa di Mahkamah Syariah bawah Seksyen 40(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

5. Apakah denda/penalti yang akan dikenakan sekiranya pihak-pihak menfailkan Permohonan Pengesahan Nikah ?

Pasangan suami isteri yang bernikah tanpa kebenaran akan didenda tidak melebihi RM1000-00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

6. Apakah kesan/implikasi kepada seisi keluarga jika pernikahan tanpa kebenaran ini tidak didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah ?

Secara amnya, terdapat beberapa implikasi yang akan dialami oleh seisi keluarga jika sesuatu pernikahan itu dilangsungkan tanpa kebenaran. Antaranya, jika terdapat sebarang kecelakaan yang menimpa keatas keluarga tersebut, Si isteri akan menghadapi masalah yang besar dimana, si isteri tidak boleh membuat sebarang tuntutan nafkah, muta’ah, harta sepencarian, pencen, harta pusaka dan lain-lain lagi di Mahkamah Syariah.

Selain itu, ianya akan menjadi lebih sukar jika pihak-pihak ada dikurniakan cahaya mata. Hal ini kerana anak tersebut tidak dapat didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sekiranya pihak-pihak gagal mengemukakan Surat Perakuan Nikah. Ini akan menjejaskan institusi keluarga dan mengkucar-kacirkan nasab anak tersebut. Sekaligus menjejaskan masa depan anak tersebut yang tidak layak didaftarkan ke sekolah atas sebab gagal mengemukakan sijil lahir kepada pihak sekolah.

7. Apa yang pihak firma guaman Tetuan Abdul, Low & Partners dapat bantu saya untuk mendaftarkan pernikahan tersebut ?

I. Memberikan khidmat nasihat guaman kepada Encik/Puan berkenaan prosedur permohonan pengesahan nikah.
II. Mewakili Encik/Puan dalam kes permohonan pengesahan nikah dan kes pendakwaan Syarie di Mahkamah Syariah.
III. Membantu dan memudahkan urusan Encik/Puan di Mahkamah Syariah bermula dari proses serah diri ke Pejabat Agama Islam Daerah sehingga mendapatkan Surat Perakuan Nikah.
IV. Turut membantu dan memudahkan urusan Encik/Puan untuk mendaftarkan Sijil Kelahiran anak tersebut.

Artikel ini disediakan oleh
Mursyidatun Adilah Bt Mohd Nasar
Senior Associate,  Abdul, Low & Partners