Browse By Letter

Adil: Meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Afidavit: Satu kenyataan bertulis atas nama seseorang yang bersumpah dan menandatangani kenyataan-kenyataan tersebut dan orang itu mesti berupaya membuktikan kenyataan-kenyataannya di Mahkamah.

Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah: Golongan yang dikenali sebagai jumhur ulama' yang terdiri daripada empat Mazhab utama iaitu Mazhab Syafi'i, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Ahli Kariah Masjid: Penduduk kampung yang menetap di bawah lingkungan atau kawalan masjid.

Alasan Penghakiman: Prinsip undang-undang yang digunakan oleh Mahkamah untuk mencapai keputusannya. Juga dikenalai sebagai Ratio Decidendi.

Anak Luar Nikah: Juga dinamakan anak tak sah taraf. Anak yang dilahirkan bukan melalui ikatan perkahwinan yang sah atau kurang daripada enam bulan anak itu dilahirkan selepas perkahwinan yang sah atau kurang daripada enam bulan anak itu dilahirkan selepas perkahwinan kedua-dua ibu bapanya. Anak ini tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapanya.

Anggapan Mati: Keadaan di mana tidak terdapat berita dan perkhabaran mengenai kematian atau hidupnya seorang suami. Mengikut Mazhab Shafi'ï, seorang isteri perlu menunggu selama 4 tahun sebelum sebarang tindakan dibuat untuk menghukumkan suaminya sebagai telah meninggal dunia.

Akad Nikah: Aqad atau perjanjian untuk menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan, dilafazkan dengan kata-kata, menurut peraturan-peraturan tertentu mengikut Hukum Syarak.

Baligh: Kanak-kanak sudah sempurna fizikal dan akal fikirannya yang menandakan dia sudah dewasa.

Balu: Perempuan yang suaminya telah meninggal dunia.

Beban Pembuktian: Tanggungjawab sesuatu pihak dalam litigasi untuk membuktikan fakta yang menjadi isu.

Defenden: Pihak yang dituntut bagi kes sivil atau mal di Mahkamah.

Ekshibit: Barang kes.

Ex-parte: Permohonan yang dibuat sebelah pihak sahaja.

Fakta Persoalan: Fakta utama yang perlu ada bagi pihak yang menanggung beban membukti untuk menang dalam kes.

Fatwa: Suatu jawapan hukum yang dikeluarkan oleh seseorang Mufti

Hadhanah: Pemeliharaan anak-anak yang masih kecil, lelaki atau perempuan, ataupun yang sudah besar tetapi masih belum mumaiyyiz atau tamyiz, tanpa perintah daripadanya; menyediakan sesuatu yang menjadi kebaikannya; menjaganya dari sesuatu yang menyakiti dan merosakkannya; mendidik jasmani, rohani dan akalnya agar mampu berdiri sendiri menghadapi hidup dengan tanggungjawab.

Hadhinah: Orang yang berhak memelihara anak-anak selepas perceraian berlaku. Ibu adalah diberikan keutamaan bahkan diwajibkan oleh Hukum Syara' untuk memberi hadhanah kepada anaknya, sama ada anak lelaki atau perempuan, kerana bapa tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.

Hakam: Juga dikenali sebagai penimbangtara, pihak yang dilantik oleh Mahkamah mengikut Hukum Syara', untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang menghadapi perselisihan dan persengketaan dalam rumahtangga.

Hakim Syarie: Juga dikenali sebagai Qadhi iaitu orang yang terlibat secara langsung dalam mentadbir dan melaksanakan keadilan di Mahkamah Syariah.

Hak Lawatan: Hak yang diberikan kepada seseorang untuk melawat anak-anaknya sebagaimana dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa mereka atau diperintahkan oleh Mahkamah.

Harta Alih: Harta yang boleh dipindahmilikan atau dialihkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, seperti kenderaan, perabot rumah dan sebagainya.

Harta Pusaka: Harta peninggalan daripada seseorang yang telah meninggal dunia dan dipindah milik kepada ahli keluarganya dan perlu dibahagikan menurut Faraid.

Harta Sepencarian: Harta sama ada alih atau tidak alih, yang diperolehi dalam masa perkahwinan seorang suami dengan isterinya, hasil dari sumber-sumber atau dari usaha mereka bersama. Harta yang diperolehi sebelum perkahwinan atau melalui pembahagian harta pusaka tidak dikira sebagai harta sepencarian.

Harta Tidak Alih: Harta yang tidak boleh dipindahkan atau dialihkan dari satu tempat ke tempat yang lain seperti rumah, tanah dan sebagainya.

Hibah: Hadiah/ pemberian

Hijab: Halangan atau terhalang

Iddah: Waktu menghitung atau waktu menunggu oleh bekas isteri yang telah diceraikan oleh suaminya atau telah meninggal dunia. Dalam masa ini, bekas isteri tidak boleh berkahwin lain dan tempohnya bergantung kepada keadaan isteri yang diceraikan dan sebab berlaku perceraian.

Ijab: Ucapan pertama (dalam akad penikahan), sama ada dimulakan oleh wali atau wakilnya, atau dimulakan oleh pihak lelaki atau wakilnya.

Ikrar: Pengakuan seseorang terhadap sesuatu perkara. Ikrar merupakan salah satu daripada keterangan di Mahkamah.

Iktikad: Kepercayaan dan keyakinan di dalam hati.

Injunksi: Perintah tegahan yang diberi atas budi bicara Mahkamah. Terdapat dua jenis injunksi am iaitu larangan:-

  1. Menghalang Defendan daripada melakukan sesuatu dan mandatori.
  2. Memaksa Defendan untuk melakukan sesuatu. Injunksi boleh dipohon untuk sementara atau kekal.

Istimta': Bergurau senda antara suami dan isteri. Semasa isteri sedang dalam haid suami dibenarkan bergurau senda dengan isteri pada mana-mana bahagian tubuh badannya kecuali antara pusat dan lutut.

Jawatankuasa Pendamai: Suatu jawatankuasa yang dilantik oleh pihak Mahkamah apabila salah satu pihak tidak bersetuju terhadap perceraian atau Mahkamah berpendapat ada kemungkinan berlaku perdamaian semula di antara pihak itu.

Kausa: Sebab sesuatu tindakan itu diambil atau dilakukan.

Kaunseling: Proses yang perlu dilalui oleh sepasang suami isteri yang mempunyai masalah rumahtangga sebelum kes mereka didengar di Mahkamah Syariah.

Kaveat: Amaran atau suatu tanda amaran yang diletakkan atau yang terdapat pada suatu bentuk harta seperti tanah oleh Mahkamah atau pejabat pendaftaran atas permohonan seseorang yang memiliki harta tersebut atau oleh seseorang yang mempunyai hak secara tidak langsung terhadap harta tersebut.

Kesahtarafan Anak: Anak yang sah hasil dari perhubungan suami isteri.

Kes Mal: Kes yang melibatkan isu-isu kekeluargaan dan harta. Ia juga dikenali sebagai kes sivil.

Kes Rayuan: Kes yang dibicarakan di peringkat Mahkamah Rendah atau Tinggi tetapi pihak-pihak yang terbabit tidak berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan dan dengan itu merayu untuk dibicarakan semula.

Keterangan Primer: Keterangan seperti sesuatu dokumen yang asal.

Keterangan Sekunder: Keterangan yang mengikut bentuknya menggambarkan kewujudan keterangan yang lebih baik.

Khitbah: Pertunangan

Khuntha: Orang yang mempunyai kedua-dua organ jantina lelaki dan perempuan atau tidak mempunyai sebarang organ jantina kecuali lubang sebagai jalan keluar bagi sesuatu (kharij), yang tidak menyerupai organ jantina lelaki atau perempuan.

Khusumah: Pertelingkahan atau persengketaan (seperti antara suami isteri).

Lafaz Kinayah: Lafaz yang samar atau tidak jelas yang digunakan di dalam perkahwinan dan perceraian.

Lafaz Sarih: Lafaz yang jeas menunjukkan pernikahan atau perceraian.

Li'an: Melaknat, iaitu suami yang menuduh isterinya berzina tanpa disertai dengan keterangan empat orang saksi. Suami perlu melakukan li'an untuk mengelakkan dirinya dari dikenakan hukuman hadd, kerana menuduh perlakukan zina tanpa empat orang saksi.

Lien: Sesuatu hak atas harta seseorang penghutang penghakiman setakat jumlah yang dihutangkan itu.

Locus Standi: Hak untuk membawa sesuatu kes ke Mahkamah, atau hak untuk dibicarakan di Mahkamah.

Mahar: Mas kahwin, iaitu pemberian wajib dari suami kepada isteri dengan sebab aqad perkahwinan, sama ada disebutkan atau tidak dalam aqad perkahwinan.

Mahar Mithil: Mas kahwin yang setara atau setaraf dengan mas kahwin saudara mara perempuan (isteri).

Mahar Musamma: Mahar yang dinyatakan atau disebutkan semasa aqad nikah.

Mahjub: Waris yang terhalang daripada mendapat harta warisan sama sekali, sama ada kerana terdapat waris lain yang terlebih dekat atau hampir, atau kerana sebab-sebab tertentu, seperti murtad, pembunuhan dan lain-lain.

Mahjur ‘Alaih: Orang-orag yang sedang berada di bawah pengawasan wali, seperti anak yang masih kecil, orang gila, muflis (boros, membuang harta) atau orang dungu.

Mahram: Orang yang diharamkan oleh Hukum Syara' dari berkahwin dengannya. Pengharaman ini terbahagi kepada dua iaitu haram sementara dan selama-lamanya.

Mahrum: Orang yang tidak berhak memperolehi warisan.

Makruh: Suatu perbuatan yang tidak disukai dan tidak digalakkan oleh Syariah, kerana ia sesuatu yang Allah benci, tetapi tidak tertakluk di bawah mana-mana hukuman.

Marad al-Maut: Sakit tenat; sakit yang menyebabkan kematian pesakit tersebut.

Marhalah: Jauh perjalanan yang membolehkan seseorang Islam menunaikan ibadat solat secara jamak atau qasar.

Ma'ruf: Baik.

Maslahah: Kepentingan umum manusia.

Mastautin: Menetap, tinggal, mendiami (untuk satu jangka masa yang lama).

Mu'asyarah Zawjiyah: Pergaulan antara suami dan isteri sepanjang perkahwinan mereka yang mana suami dan isteri saling menjalankan tanggungjawab dan hak mereka antara satu sama lain.

Mudda'a 'Alaih: Orang yang didakwa atau yang dituntut hak daripadanya.

Mudda'a Bih: Hak yang dituntut oleh pendakwa, merupakan perkara yang didakwa.

Mudda'i: Mereka yang membuktikan sesuatu; orang yang mendakwa sesuatu yang tersembunyi; mereka yang perkataannya itu menyalahi asal atau 'urf (kebiasaan).

Mufti: Orang yang dilantik oleh Sultan mengikut Enakmen Pentadbiran Hal Ehawal Negeri untuk menjalankan tugas menasihatkan Sultan dalam setiap perkara yang berhubung dengan Hukum Syara' seperti mengeluarkan fatwa dan menyelesaikan permasalahan hukum semasa.

Muhallal Lahu: Orang yang menghalalkan dan yang dihalalkan baginya untuk berkahwin kembali dengan isteri yang telah diceraikan olehnya dengan tiga talaq, iaitu bekas suami perempuan itu.

Muhallil: Lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan bertujuan untuk menghalalkan perempuan tersebut berkahwin dengan bekas suaminya yang telah menceraikannya dengan tiga talaq (cina buta).

Muharrar: Diadili dengan sempurna, iaitu membuat sesuatu keputusan selepas meninjau dari segala aspek.

Muhlah: Tempoh yang diberikan oleh Mahkamah kepada seseorang untuk melakukan perkara yang menurut sepertimana yang telah diperintahkan.

Muhsan: Perempuan yang berkahwin atau memelihara kehormatannya dengan berkahwin.

Mukallaf: Seseorang yang dipertanggungjawabkan dan terikat dengan perintah-perintah Allah tentang hukum-hukum, atau seseorang yang terikat setiap tindak tanduknya dengan perintah Allah.

Mukim: Tinggal tetap (untuk suatu jangka masa yang tertentu) di sesuatu kawasan.

Mumayyiz: Seseorang yang mempunyai sifat tamyiz.

Murtad: Meninggalkan (keluar) dari sesuatu agama.

Nafkah: Keperluan-keperluan asasi bagi seseorang yang merangkumi makan-minum, pakaian, tempat tinggal yang sempurna dan juga perkhidmatan-perkhidmatan seperti perubatan, peribadatan, pendidikan dan sebagainya.

Nafkah Sementara: Seseorang isteri boleh mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan nafkah sementara untuk dirinya daripada suaminya.

Nafkah Tertunggak: Mana-mana nafkah yang tidak dibayar atau ditunaikan oleh seorang suami atau bapa terhadap tanggungannya seperti isteri dan anak-anak adalah dianggap sebagai hutang. Isteri atau ibu bagi pihak anaknya boleh mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan nafkah yang tertunggak selama mana tempoh yang tidak dibayar itu.

Nas: Dalil atau hujah, yang didapati dari Al-Quran dan Al-Sunnah, yang dijadikan sandaran untuk mengeluarkan dan membuktikan sesuatu hukum.

Nikah: Suatu Ijab dan Qabul yang menghalalkan persetubuhan di antara lelaki dan perempuan yang diucapkan dengan kata, yang mempunyai lafaz nikah, serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Nikah Mut'ah: Kahwin sementara; perkahwinan yang terputus atau tidak berterusan; iaitu apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seseorang perempuan untuk tempoh masa tertentu.

Nikah Sindiket: Pernikahan yang tidak mengikut prosedur perkahwinan sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

Nusyuz: Ingkar. Seseorang isteri yang ingkar atau enggan taat kepada suaminya dalam hal-hal yang tidak melanggar Hukum Syara'.

Pembelaan: Jawapan kepada tuntutan pernyataan Plaintif untuk tujuan pembelaan terhadap dakwaan yang dikemukakan.

Pemeriksaan Saksi: Pemeriksaan ke atas saksi-saksi pihak yang memanggil mereka untuk memberi keterangan.

Pemiutang Penghakiman: Seseorang yang disokong oleh pengadilan Mahkamah dalam menentang Penghutang Penghakiman.

Penghinaan Mahkamah: Ingkar terhadap penghakiman, proses atau Perintah Mahkamah.

Penghutang Penghakiman: Seseorang yang ditentang oleh pengadilan Mahkamah, mengarahkannya membayar hutang yang dipinjam.

Penimbangtara: Juga dikenali sebagai "Hakam" iaitu pihak ketiga yang dilantik oleh Mahkamah menurut Hukum Syara' untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang menghadapi persengketaan dalam rumahtangga.

Penjaga Ad Litem: Penjaga/pengantara kepada orang yang tidak berkeupayaan (kanak-kanak, dan lain-lain) dalam prosedur di Mahkamah.

Penyata tuntutan: Pliding yang diberikan oleh Plaintif dalam suatu tindakan yang dimulakan dengan Saman.

Penzahiran Dokumen: Dokumen yang akan digunakan dalam prosiding Mahkamah mesti didedahkan kepada pihak yang satu lagi.

Petunangan: Perjanjian yang dibuat oleh keluarga kedua-dua bakal pengantin lelaki dan perempuan terhadap persetujuan perkahwinan di antara keduanya.

Plaintif: Pihak yang membuat tuntutan di Mahkamah.

Pliding: Dokumen-dokumen yang difailkan dan digunakan dalam prosedur kes di Mahkamah.

Poliandri: Perkahwinan yang mana seorang perempuan mempunyai lebih dari seorang suami dalam satu masa.

Poligami: Perkahwinan yang melibatkan pasangan (isteri) lebih dari seorang.

Prima Facie: Kes-kes yang dapat diteruskan kerana mempunyai bukti yang kuat.

Prosiding: Prosedur atau tatacara yang perlu diikuti oleh seseorang yang ingin mengambil sesuatu tindakan Mahkamah.

Qabul: Ucapan penerimaan apa yang diijabkan (dalam aqad pernikahan), sama ada dari lelaki atau wali atau wakilnya. Ia mesti dilakukan dengan lafaz yang sarih (jelas).

Qarinah: Fakta persoalan, fakta sampingan atau keberkaitan (circumtantial evidence).

Qawl: Pendapat mengenai hukum-hakam oleh para fuqaha' mazhab dan sahabat.

Qazaf: Tuduhan zina yang dilemparkan kepada perempuan yang baik dan suci atau menafikan keturunannya.

Res Judicata: Prinsip yang menyatakan apabila sesuatu perkara itu sudah dihukum oleh Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang kompeten, ia tidak boleh lagi dibuka semula atau dicabar oleh pihak yang awal atau oleh penggantinya.

Ruju': Kembali; mengembalikan isteri ke dalam ikatan perkahwinan selepas ditalaq oleh suami dengan talaq raj’i dalam tempoh iddah isterinya.

Sah: Suatu pengiktirafan kepada suami isteri yang telah melakukan pernikahan mengikut Hukum Syara'.

Saksi: Seseorang yang melihat sesuatu peristiwa itu dengan terang dan jelas.

Saman: Perintah yang dikeluarkan oleh pihak Mahkamah kepada pihak-pihak tertentu supaya hadir ke Mahkamah pada waktu dan tempat yang telah ditetapkan.

Sepina: Perintah Mahkamah kepada seseorang supaya hadir ke Mahkamah untuk memberi keterangan.

Susuan: Penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya, sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah.

Shahadah: Kesaksian, iaitu penerangan atau khabar yang putus (pasti). Juga bererti kata-kata yang diucapkan hasil dari maklumat yang diperolehi melalui penyaksian.

Shiqaq: Perkelahian atau perbalahan di antara suami isteri.

Sighah Akad: Dikenali juga dengan nama ijab qabul.

Sighah Ta'liq: Lafaz ta'liq

Statut: Nama umum bagi sumber-sumber perundangan.

Sulh: Perdamaian antara dua pihak yang bertikai dalam prosedur Mahkamah

Sumbang Mahram: Jenayah rogol yang melibatkan pemangsa dan mangsa yang terdiri daripada orang-orang yang mempunyai persaudaraan yang rapat (adik beradik, bapa dan anak, dan sebagainya).

Sumpah Syarie: Sumpah yang dilakukan secara Hukum Syara' atau mengikut cara yang diakui oleh Hukum Syara' seperti sumpah (yamin) al-istizhar dan sumpah (yamin) al-inkar.

Syubhah: Diragui atau kesamaran; syak atau keraguan yang menimbulkan was-was terhadap sesuatu barangan kerana haram atau halalnya barangan berkenaan yang tidak dapat dipastikan.

Taksir: Anggaran yang dibuat selepas pertimbangan ke atas keadaan pihak-pihak yang terlibat.

Talaq: Perpisahan atau pelepasan ikatan perkahwinan yang sah dari suami dengan lafaz yang khusus atau apa sahaja yang dapat memberikan maksudnya.

Tamyiz: Keupayaan memahami percakapan, mengenali sesuatu, menunaikan keperluan peribadi bersendirian tanpa pertolongan orang lain, dan mampu membezakan di antara kebaikan dan keburukan.

Teruna: Lelaki yang belum pernah berkahwin atau bersetubuh.

Thabit: Timbul atau muncul.

Thiqah: Kepercayaan. Orang yang thiqah adalah orang yang boleh dipercayai.

Uruf: Apa sahaja yanhg dibiasakan oleh manusia dan diikuti oleh kebanyakkan mereka.

Wakaf: Menahan zat (asal) benda dan mempergunakan hasilnya, yakni menahan benda dan mempergunakan manfaatnya di jalan Allah.

Wali: (Perkahwinan) Wali ke atas wanita dalam sesuatu aqad perkahwinan, sama ada wali mujbir atau wali hakim, dan sebagainya.

Wali Ab'ad: Wali yang lebih jauh (kedudukannya) dari wali aqrab.

Wali 'Adhal: Wali yang telah diminta oleh seorang perempuan untuk menikahkannya dengan seorang lelaki yang sekufu dan dia enggan menikahkannya tanpa alasan (wali enggan).

Wali Aqrab: Wali yang lebih dekat (kedudukannya kepada perempuan yang akan dinikahkan) dari wali ab'ad

Wali Hakim: Juga dipanggil wali raja. Hakim yang dilantik oleh Sultan untuk menjadi wali bagi perempuan yang ketiadaan wali.

Wali Mujbir: Bapa dan datuk bagi perempuan. Mereka boleh menikahkan perempuan tersebut tanpa meminta izinnya terlebih dahulu.

Wali Tahkim: Wali yang dilantik oleh pasangan lelaki dan perempuan yang akan berkahwin dalam ketiadaan wali hakim di satu-satu kawasan itu.

Waran: Dokumen yang membenarkan sesuatu tindakan terutamanya melibatkan pembayaran wang.

Waris: Orang yang berhak menerima harta peninggalan orang yang telah meninggal dunia.

Wasiat: Suatu pesanan dari seseorang untuk kebaikan dan kemaslahatan yang dilaksanakan selepas kematian pembuat pedanan.

Wati': Persetubuhan (dukhul) iaitu memasukkan air mani ke dalam faraj isteri melalui pernikahan yang sah mengikut Hukum Syara'.

Yamin: Sumpah.

Yamin Al-Inkar: Sumpah yang dilakukan oleh suatu pihak (menuntut) untuk menafikan dakwaan pihak yang lain (yang dituntut).

Yamin Al-Istizhar: Sumpah yang dilakukan oleh orang yang mendakwa atas permintaan Hakim untuk menolak tohmah terhadapnya selepas ia mengemukakan keterangan dan bukti dalam dakwaannya.

Yamin Al-Mardudah: Sumpah yang dikembalikan kepada al-Mudda’i apabila al-Mudda’i alaih enggan bersumpah.

Zawaj: Perkahwinan

Zihar: Menyamakan mana-mana anggota tubuh badan isteri dengan seseorang mahram atau haram kahwin dengannya seperti ibu atau adik-beradik perempuan dengan tujuan untuk mengharamkan ikatan antara mereka.