201908.27
0
1

Enakmen Jenayah (Negeri Selangor) 1995

Spread the love

ENAKMEN 9 TAHUN 1995
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

Tarikh Persetujuan DiRaja : 10 Januari 1996
Tarikh disiarkan dalam Warta : 18 Januari 1996
Tarikh mula berkuatkuasa : 22 November 1996 [Sel P.U. 47/96

Tajuk Panjang & Mukadimah

BETA PERKENANKAN, 

tt. 
SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH AL-HAJ,
Sultan Selangor

(MOHOR KERAJAAN)

10hb Januari 1996

Suatu Enakmen bagi mengadakan peruntukan tentang kesalahan-kesalahan Syariah; dan perkara-perkara yang berhubungan dengannya.

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Badan Perundangan Negeri Selangor seperti yang berikut:

BAHAGIAN I - PERMULAAN 

Seksyen 1. Tajuk ringkas, mula berkuatkuasa dan pemakaian.

(1) Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta

(2) Enakmen ini hendaklah terpakai hanya bagi orang-orang Islam sahaja. 

Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain- 

"baligh" ertinya sudah cukup umur mengikut Hukum Syara'; 

"Enakmen 1952" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syara' 1952; 

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989; 

"fatwa" ertinya mana-mana fatwa yang dibuat di bawah dan mengikut seksyen 31 Enakmen Pentadbiran; 

"Hakim" ertinya Hakim yang dilantik di bawah seksyen 38 atau seksyen 40 Enakmen Pentadbiran; 

"Hukum Syara'" ertinya Hukum Syara' mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf; 

"li'an" ertinya sesuatu pengataan yang dibuat oleh seseorang lelaki dengan bersumpah mengikut Hukum Syara' bahawa isterinya telah melakukan zina

"Mahkamah" ertinya mana-mana Mahkamah yang ditubuhkan di bawah seksyen 37 Enakmen Pentadbiran; 

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran; 

"Mufti" ertinya orang yang dilantik di bawah subseksyen 29(1) Enakmen Pentadbiran, dan termasuklah Timbalannya; 

"muncikari" ertinya seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa tujuan yang menyalahi Hukum Syara'; 

"perbuatan sumbang mahram" ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan yang, mengikut Hukum Syara', dilarang mengahwini satu sama lain; 

"qazaf" ertinya membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang; 

"takfir" ertinya menganggap seseorang orang Islam sebagai orang bukan Islam; 

"zina" ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah. 

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syara'. 

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang sifat atau tafsiran perkataan atau ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu. 

(4) Jika timbul sebarang keraguan atau kesulitan dalam pentafsiran apa-apa perkataan atau ungkapan yang berkaitan dengan Hukum Syara', Mahkamah hendaklah mempunyai budi bicara untuk menentukan erti perkataan atau ungkapan itu.

Seksyen 3. Kecualian prerogatif.

Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata dalam Enakmen ini, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini boleh mengurangkan atau menyentuh hak-hak dan kuasa-kuasa prerogatif Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam dalam Negeri Selangor sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

BAHAGIAN II - KESALAHAN YANG BERHUBUNG DENGAN 'AQIDAH

Seksyen 4. Pemujaan salah.

(1) Mana-mana orang yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara yang menyalahi Hukum Syara' adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya apa-apa benda yang digunakan dalam pelakuan atau yang ada kaitan dengan kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu. 

Seksyen 5. Mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan.

Mana-mana orang yang mendakwa dirinya bukan orang Islam untuk mengelakkan apa-apa tindakan diambil terhadap dirinya di bawah Enakmen ini atau mana-mana Enakmen lain yang berkuatkuasa di Negeri ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. 

Seksyen 6. Takfir.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), seseorang yang mengatakan atau mengaitkan melalui kata-kata, sama ada secara lisan atau tulisan, atau dengan isyarat, atau dengan gambaran tampak, atau dengan apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakuan, atau dengan mengelolakan, menganjurkan atau mengaturkan apa-apa kegiatan, atau selainnya dengan apa-apa jua cara, bahawa mana-mana orang yang menganuti agama Islam, atau orang-orang yang tergolong dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang yang menganuti agama Islam- 

(a) adalah orang kafir; 

(b) telah berhenti menganuti agama Islam; 

(c) tidak patut diterima, atau tidak dapat diterima sebagai menganuti agama Islam; atau 

(d) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti atau tergolong dalam agama Islam,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. 

(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi- 

(a) apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana Mahkamah atau pihak berkuasa agama yang ditubuhkan, dibentuk atau dilantik melalui atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan yang diberi oleh undang-undang bertulis kuasa untuk memberikan atau mengeluarkan apa-apa fatwa atau keputusan tentang apa-apa perkara mengenai agama Islam; atau 

(b) apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana orang menurut atau mengikut apa-apa fatwa atau keputusan yang diberikan atau dikeluarkan oleh Mahkamah atau pihak berkuasa agama itu, sama ada atau tidak fatwa atau keputusan itu adalah secara bertulis atau, jika bertulis, sama ada atau tidak disiarkan dalam Warta.

Seksyen 7. Doktrin palsu.

(1) Mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu bertentangan dengan Hukum Syara' atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana dokumen atau benda yang digunakan dalam pelakuan kesalahan atau yang ada kaitan dengan kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu. 

Seksyen 8. Dakwaan palsu.

Mana-mana orang yang- 

(a) mengisytiharkan dirinya atau mana-mana orang lain sebagai rasul atau nabi, Imam Mahadi atau wali; atau 

(b) menyatakan atau mendakwa bahawa dia atau mana-mana orang lain mengetahui peristiwa atau perkara di luar pemahaman atau pengetahuan manusia,

sedangkan perisytiharan, pernyataan atau dakwaan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

BAHAGIAN III - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUCIAN AGAMA ISLAM DAN INSTITUSINYA

Seksyen 9. Mempersendakan, dll., ayat Al-Quran dan Hadith.

Mana-mana orang yang, dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat AI-Quran atau Hadith adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 10. Menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam.

Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:- 

(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; 

(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau 

(c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 11. Memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat.

Mana-mana orang yang memusnahkan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana masjid atau surau atau tempat beribadat lain atau apa-apa kelengkapannya dengan niat untuk menghina atau mempersendakan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Seksyen 12. Menghina pihak berkuasa agama.

Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan:- 

(a) Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua agama Islam; 

(b) Majlis; 

(c) Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 13. Pendapat yang bertentangan dengan fatwa.

(1) Mana-mana orang yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang apa-apa isu, ajaran Islam atau Hukum Syara' yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana dokumen atau bahan antara lain yang mengandungi pendapat yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan yang berkaitan dengan pendapat itu.

Seksyen 14. Mengajar tanpa tauliah.

(1) Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah subseksyen 79(3) Enakmen Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

(2) Subseksyen (1) tidak terpakai bagi seseorang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam di kediamannya sendiri dan dengan kehadiran anggota keluarganya sendiri sahaja

Seksyen 15. Mengingkari perintah Mahkamah.

Mana-mana orang yang mengingkari, melanggar, mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina apa-apa perintah Hakim atau Mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Seksyen 16. Penerbitan agama yang bertentangan dengan Hukum Syara'.

(1) Mana-mana orang yang:- 

(a) mencetak, menyiarkan, menerbitkan, merakamkan atau menyebarkan dengan apa-apa cara apa-apa buku atau dokumen atau apa-apa bentuk lain rakaman yang mengandungi apaapa jua yang bertentangan dengan Hukum Syara'; 

atau

(b) ada dalam miliknya apa-apa buku, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian untuk dijual atau bagi maksud untuk disebarkan dengan apa-apa cara lain,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana buku, dokumen atau bentuk lain rakaman yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan berkaitan dengan buku, dokumen atau bentuk lain rakaman itu.

Seksyen 17. Berjudi.

(1) Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

(2) Tiada seorang pun boleh disabitkan atas kesalahan di bawah seksyen ini kerana didapati berada di tempat yang merupakan rumah judi jika dia memuaskan hati Mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa tempat itu ialah rumah judi. 

(3) Dalam seksyen ini, "rumah judi" ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup , yang digunakan atau disimpan bagi maksud penjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.

Seksyen 18. Minuman yang memabukkan.

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. 

Seksyen 19. Tidak menghormati Ramadhan.

Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan:- 

(a) menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu; 

(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 20. Tidak menunaikan sembahyang Jumaat.

Mana-mana orang lelaki, yang baligh, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Seksyen 21. Tidak membayar zakat atau fitrah.

Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi- 

(a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau 

(b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana pihak lain yang diberikuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

BAHAGIAN IV - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUSILAAN

Seksyen 22. Perbuatan sumbang mahram.

Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

Seksyen 23. Pelacuran.

(1) Mana-mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

(2) Mana-mana orang yang:- 

(a) melacurkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya; atau 

(b) menyebabkan atau membenarkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya melacurkan diri,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Seksyen 24. Muncikari.

Mana-mana orang yang bertindak sebagai muncikari adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

Seksyen 25. Persetubuhan luar nikah.

(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya dan sedang dia sedar tentang perbuatannya adalah keterangan prima facie tentang pelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu. 

(4) Bagi maksud subseksyen (3), seseorang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.

Seksyen 26. Perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, walaupun perbuatan itu tidak sampai ke tahap suatu percubaan untuk melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 25, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

Seksyen 27. Hubungan jenis antara orang yang sama jantina.

Mana-mana orang yang melakukan hubungan jenis dengan orang yang sama jantina dengannya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 28. Persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.

Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Seksyen 29. Khalwat.

(1) Mana-mana:- 

(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; 

(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,

di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 30. Lelaki berlagak seperti perempuan.

Mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam untuk tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. 

Seksyen 31. Perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Mana-mana orang yang dengan sengaja bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syara' di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

BAHAGIAN V - KESALAHAN PELBAGAI

Seksyen 32. Memujuk lari perempuan bersuami.

Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya. 

Seksyen 33. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah. 

Seksyen 34. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 35. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam.

Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.

Seksyen 36. Qazaf.

Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syara', empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 37. Pungutan zakat atau fitrah tanpa diberikuasa.

Mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dia dilantik sebagai amil atau selainnya diberikuasa oleh Majlis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Seksyen 38. Penyalahgunaan tanda halal.

Mana-mana orang yang mempamerkan, pada mana-mana makanan atau minuman yang tidak halal, apa-apa tanda yang menunjukkan bahawa makanan atau minuman itu adalah halal adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

BAHAGIAN VI - KECUALIAN AM

Seksyen 39. Perbuatan hakim apabila bertindak secara kehakiman.

Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seorang hakim apabila bertindak secara kehakiman pada menjalankan apa-apa kuasa yang diberikan kepadanya, atau yang dia dengan suci hati percaya telah diberikan kepadanya, oleh undang-undang. 

Seksyen 40. Perbuatan yang dilakukan menurut penghakiman atau perintah mahkamah.

Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan menurut, atau yang diwajarkan oleh, penghakiman atau perintah mahkamah, jika dilakukan semasa penghakiman atau perintah itu masih berkuatkuasa, walaupun mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat penghakiman atau perintah itu, dengan syarat bahawa orang yang melakukan perbuatan itu percaya dengan suci hati bahawa mahkamah itu mempunyai bidang kuasa sedemikian. 

Seksyen 41. Perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai justifikasi di sisi undang-undang.

Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana orang yang mempunyai justifikasi di sisi undang-undang, atau yang oleh sebab kesilapan fakta dan bukan kesilapan undang-undang dengan suci hati percaya bahawa dia mempunyai justifikasi di sisi undang-undang untuk melakukan yang demikian. 

Seksyen 42. Ketidaksengajaan dalam melakukan perbuatan yang sah di sisi undang-undang.

Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan dengan tidak sengaja atau malang, dan tanpa apa-apa niat atau pengetahuan jenayah, pada melakukan di suatu perbuatan yang sah di sisi undang-undang mengikut cara yang sah di sisi undang-undang, dan dengan cermat dan waspada yang sepatutnya. 

Seksyen 43. Perbuatan kanak-kanak yang belum baligh.

Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh kanak-kanak yang belum baligh. 

Seksyen 44. Perbuatan seseorang yang tidak sempurna akal.

(1) Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang, oleh sebab ketaksempurnaan akalnya, tidak berupaya mengetahui sifat sebenar perbuatan itu pada masa dia melakukannya, atau bahawa apa yang dilakukannya adalah salah atau berlawanan dengan undang-undang. 

(2) Bagi maksud seksyen ini, jika seseorang berada dalam keadaan mabuk pada masa perbuatan atau ketinggalan yang diadukan itu dan- 

(a) keadaan mabuk itu adalah sedemikian rupa sehingga dia tidak tahu bahawa perbuatan atau ketinggalan itu adalah salah atau dia tidak tahu apa yang dilakukannya; dan 

(b) keadaan mabuk itu telah terjadi tanpa persetujuannya dan akibat perbuatan niat jahat atau kecuaian seorang yang lain,

maka dia hendaklah disifatkan sebagai orang yang tak sempurna akal.

(3) Dalam seksyen ini, "mabuk" hendaklah disifatkan termasuk keadaan yang dihasilkan oleh narkotik atau dadah.

Seksyen 45. Perbuatan orang yang terpaksa oleh sebab ugutan.

(1) Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang terpaksa melakukannya oleh sebab ugutan yang sedemikian sifatnya sehingga menyebabkan orang itu semunasabahnya percaya, pada masa dia melakukan perbuatan itu, bahawa jika dia tidak melakukannya dia akan mati pada masa itu juga. 

(2) Kecualian yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) tidaklah terpakai jika orang yang melakukan perbuatan itu telah meletakkan dirinya, dengan kerelaannya sendiri, dalam keadaan yang menjadikannya tertakluk kepada paksaan itu. 

Huraian 1 - Seseorang yang, dengan kerelaannya sendiri, atau kerana diugut akan dipukul, menyertai kumpulan ajaran salah dengan mengetahui pegangan mereka tidaklah berhak mendapat faedah daripada kecualian ini atas alasan bahawa dia telah dipaksa oleh sekutunya supaya melakukan sesuatu yang menjadi kesalahan di sisi undang-undang. 

Huraian 2 - Seseorang yang ditangkap oleh suatu kumpulan ajaran salah dan dipaksa supaya melakukan sesuatu perkara yang menjadi kesalahan di sisi undang-undang dengan ugutan bahawa jika dia tidak melakukannya dia akan mati pada masa itu juga adalah berhak mendapat faedah daripada kecualian ini.

BAHAGIAN VII - PENYUBAHATAN DAN PERCUBAAN

Seksyen 46. Penyubahatan sesuatu perkara.

Seseorang menyubahati pelakuan sesuatu perkara jika dia perkara. 

(a) menghasut mana-mana orang supaya melakukan perkara itu; atau

(b) mengambil bahagian bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lain dalam apa-apa pakatan jahat untuk melakukan perkara itu, jika apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang berlaku ekoran daripada pakatan jahat itu, dan dengan tujuan hendak melakukan perkara itu; atau 

(c) dengan sengaja membantu, dengan apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang, pelakuan perkara itu.

Huraian 1 - Seseorang yang, dengan penyataan salah sengaja, atau penyembunyian sengaja suatu fakta material yang dia terikat mendedahkannya, dengan sengaja menyebabkan atau mendapatkan, atau cuba untuk menyebabkan atau mendapatkan, supaya sesuatu perkara dilakukan adalah dikatakan menghasut supaya perkara itu dilakukan.

MISALAN

A, seorang pegawai awam, adalah diberikuasa dengan waran daripada mahkamah untuk menangkap Z. B, yang mengetahui hal itu dan juga yang mengetahui bahawa C bukanlah Z, dengan sengaja menyatakan kepada A bahawa C ialah Z, dan oleh yang demikian dengan sengaja menyebabkan A menangkap C. Di sini B bersubahat dengan cara hasutan dalam penangkapan C. 

Huraian 2 - Mana-mana orang yang, sama ada sebelum atau pada masa sesuatu perbuatan dilakukan, melakukan apa-apa jua untuk memudahkan perbuatan itu dilakukan dan oleh yang demikian memudahkan perbuatan itu dilakukan, adalah dikatakan membantu melakukan perbuatan itu.

Seksyen 47. Penyubahat.

Seseorang adalah menyubahati sesuatu kesalahan jika dia sama ada bersubahat dalam pelakuan sesuatu kesalahan, atau bersubahat dalam pelakuan sesuatu perbuatan yang akan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh seseorang yang berupaya di sisi undang-undang melakukan sesuatu kesalahan dengan niat atau pengetahuan yang sama dengan niat atau pengetahuan pensubahat itu. 

Huraian 1 - Menyubahati dalam peninggalan sesuatu perbuatan dengan menyalahi undang-undang boleh terjumlah kepada suatu kesalahan, sungguhpun penyubahat itu sendiri tidak terikat untuk melakukan perbuatan itu. 

Huraian 2 - Untuk mewujudkan kesalahan penyubahatan tidaklah perlu bahawa perbuatan yang disubahati itu dilakukan atau bahawa kejadian yang cukup bagi mewujudkan kesalahan itu telah disebabkan berlaku.

MISALAN

A menghasut B supaya meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut. B enggan melakukannya. A adalah bersalah menyubahati B supaya melakukan kesalahan itu.

Huraian 3 - Tidaklah perlu bahawa orang yang disubahati itu berupaya di sisi undang-undang untuk melakukan sesuatu kesalahan, atau bahawa dia sepatutnya mempunyai niat atau pengetahuan salah yang sama dengan niat atau pengetahuan salah penyubahat itu, atau mempunyai apa-apa niat atau pengetahuan salah.

MISALAN

A, dengan niat salah, menyubahati seorang kanak-kanak atau seorang yang tak sempurna akal supaya melakukan suatu perbuatan yang akan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh seseorang yang berupaya di sisi undang-undang melakukan sesuatu kesalahan dan yang mempunyai niat yang sama seperti A. Di sini A, sama ada perbuatan itu dilakukan atau tidak, adalah melakukan penyubahatan suatu kesalahan.

Huraian 4 - Oleh sebab penyubahatan sesuatu kesalahan adalah suatu kesalahan maka menyubahati penyubahatan itu adalah juga suatu kesalahan.

MISALAN

A menghasut B supaya menghasut C minum minuman yang memabukkan. Oleh sebab itu B menghasut C supaya minum minuman itu dan C melakukan kesalahan itu oleh sebab hasutan B. B boleh dihukum atas kesalahannya dengan hukuman bagi kesalahan minum minuman yang memabukkan, dan oleh sebab A telah menghasut B melakukan kesalahan itu maka A juga boleh dihukum dengan hukuman yang sama.

Huraian 5 - Untuk mewujudkan kesalahan penyubahatan dengan pakatan jahat tidaklah perlu bahawa penyubahat itu menyertai kesalahan itu bersama orang yang melakukannya. Adalah memadai jika dia mengambil bahagian dalam pakatan jahat itu dan kesalahan itu dilakukan pada menurut pakatan jahat itu

Seksyen 48. Menyubahati di dalam Negeri Selangor kesalahan di luar Negeri Selangor.

Seseorang adalah menyubahati sesuatu kesalahan mengikut pengertian Enakmen ini jika di dalam Negeri Selangor dia menyubahati pelakuan suatu perbuatan di luar Negeri Selangor yang akan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan di Negeri Selangor. 

Seksyen 49. Hukuman bagi pensubahat.

Mana-mana orang yang menyubahati apa-apa kesalahan boleh, jika perbuatan yang disubahati itu dilakukan menurut penyubahatan itu, walaupun orang yang disubahati itu melakukan perbuatan itu dengan niat atau pengetahuan yang berlainan daripada niat atau pengetahuan penyubahat itu, dihukum dengan hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu. 

Seksyen 50. Tanggungan penyubahat jika perbuatan yang berlainan dilakukan.

Jika sesuatu perbuatan disubahati dan suatu perbuatan yang berlainan dilakukan, penyubahat itu bertanggungan bagi perbuatan yang dilakukan mengikut cara yang sama dan sehingga takat yang sama seolah-olah dia telah menyubahati perbuatan yang dilakukan jika perbuatan yang dilakukan- 

(a) adalah akibat barangkali daripada penyubahatan itu; dan 

(b) telah dilakukan dengan pengaruh hasutan itu, atau dengan bantuan atau kana menurut pakatan jahat yang mewujudkan penyubahatan itu.

Seksyen 51. Penyubahat bertanggungan bagi kesalahan yang disubahati dan kesalahan tambahan yang dilakukan.

Jika perbuatan yang dilakukan adalah merupakan tambahan kepada perbuatan yang disubahati dan membentuk suatu kesalahan berasingan, dan penyubahat itu tahu bahawa perbuatan tambahan itu mungkin berlaku, maka penyubahat itu boleh dihukum bagi setiap kesalahan itu.

Seksyen 52. Percubaan.

(1) Mana-mana orang yang cuba- 

(a) melakukan mana-mana kesalahan yang boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubungan dengan Hukum Syara'; atau 

(b) menyebabkan kesalahan itu dilakukan,

dan dalam percubaan itu melakukan apa-apa perbuatan ke arah pelakuan kesalahan itu boleh, jika tiada peruntukan nyata dibuat dalam Enakmen ini atau undang-undang bertulis lain itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, bagi hukuman untuk percubaan itu, dihukum dengan hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu. 

(2) Apa-apa tempoh pemenjaraan yang dikenakan sebagai hukuman di bawah subseksyen (1) bagi suatu percubaan untuk melakukan suatu kesalahan atau untuk menyebabkan suatu kesalahan dilakukan tidak boleh melebihi satu perdua daripada tempoh maksimum pemenjaraan yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

BAHAGIAN VIII - PERKARA-PERKARA AM

Seksyen 53. Penepatan pusat pemulihan atau rumah diluluskan.

Majlis boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta menetapkan mana-mana tempat menjadi pusat pemulihan diluluskan atau rumah diluluskan bagi maksud Enakmen ini.

Seksyen 54. Kuasa mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan ke pusat pemulihan atau rumah diluluskan.

(1) Jika mana-mana Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah seksyen 9, 10 atau 11, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman yang dinyatakan bagi kesalahan itu, memerintahkan supaya orang itu menjalani kaunseling atau pemulihan di suatu pusat pemulihan diluluskan selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu. 

(2) Jika mana-mana Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang perempuan atas suatu kesalahan di bawah Bahagian IV, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman yang dinyatakan bagi kesalahan itu, memerintahkan supaya orang perempuan itu dikomitkan ke suatu rumah diluluskan selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu. 

Seksyen 55. Pemansuhan dan kecualian.

(1) Bahagian IX Enakmen 1952 hendaklah terhenti berkuatkuasa di Negeri Selangor dan setakat itu hendaklah disifatkan telah dimansuhkan. 

(2) Walaupun Bahagian IX Enakmen 1952 ("Bahagian termansuh") dimansuhkan, segala prosiding di bawah Bahagian termansuh itu, termasuk apa-apa rayuan daripada apa-apa keputusan mana-mana Mahkamah di bawah Bahagian termansuh itu, hendaklah diteruskan dan dibereskan seolah-olah Enakmen ini tidak diluluskan.