Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Selangor) 2003
ENAKMEN No. 3 tahun 2003
BETA PERKENANKAN,
(MOHOR SHARAFUDDIN IDRIS SHAH,
KERAJAAN) Sultan Selangor
8 Julai 2003
Suatu Enakmen untuk membuat peruntukan yang berhubungan dengan tatacara jenayah syariah bagi Mahkamah Syariah.
MAKA INILAH UNDANG-UNDANG DIPERBUAT oleh Badan
Perundangan Negeri Selangor seperti berikut:
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Enakmen ini boleh dinamakan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
(2) Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.
Tafsiran
2. (1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“aduan’ ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tak diketahui telah melakukan atau bersalah atas suatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim itu di bawah Enakmen ini;
“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Undang- Undang Islam (Negeri Selangor) 2003;
“Hakim” ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah subseksyen 58(1)atau 59(1) Enakmen Pentadbiran;
“kesalahan” ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa;
“kesalahan boleh tangkap” ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;
“kesalahan tak boleh tangkap” ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran;
“Ketua Hakim Syarie” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama” dan “Pegawai Penguatkuasa Agama” mempunyai erti masing-masing yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Ketua Pendakwa Syarie” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Mahkamah” atau “Mahkamah Syariah” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Majlis” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Mufti” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Pegawai Masjid” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Peguam Syarie” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;
“Pendakwa” ertinya Ketua Pendakwa Syarie atau Pendakwa Syarie; “Pendakwa Syarie” mempunyai erti yang diberikan kepadanya
dalam Enakmen Pentadbiran;
“Pengerusi” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;
“Pesalah muda” ertinya seseorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun;
“saksi” tidak termasuk seseorang tertuduh.
(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.
(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada
tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.
Perbicaraan kesalahan oleh Mahkamah
3. Segala kesalahan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa hendaklah disiasat dan dibicarakan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Enakmen ini.
BAHAGIAN II
PERUNTUKAN AM TENTANG MAHKAMAH JENAYAH
Mahkamah
4. Mahkamah bagi pentadbiran keadilan jenayah syariah di Negeri Selangor ialah Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran.
Mahkamah hendaklah terbuka
5. Tertakluk kepada seksyen 6, tempat mana-mana Mahkamah bersidang bagi maksud membicarakan apa-apa kesalahan hendaklah merupakan suatu Mahkamah terbuka dan awam di mana orang ramai pada amnya boleh masuk.
Orang ramai tidak boleh hadir dalam hal tertentu
6. Seseorang Hakim yang mendengar apa-apa perkara atau prosiding boleh atas alasan khas demi polisi atau manfaat awam menurut budi bicaranya tidak membenarkan orang ramai hadir di Mahkamah itu pada mana-mana peringkat perbicaraan tetapi dia hendaklah dalam tiap-tiap hal sedemikian pada masa itu merekodkan dalam rekod prosiding itu alasan perintah itu dibuat.
Bidang kuasa jenayah Hakim
7. Tertakluk kepada Enakmen ini, tiap-tiap Hakim hendaklah mengambil perhatian dan mempunyai kuasa untuk—
(a) mendengar, membicarakan, memutuskan dan membereskan pendakwaan bagi kesalahan yang dilakukan keseluruhannya
atau sebahagiannya di dalam bidang kuasa tempatan Hakim itu dan yang boleh diambil perhatian oleh Hakim itu;
(b) menyiasat aduan tentang kesalahan dan memanggil dan memeriksa saksi mengenai kesalahan itu dan menyaman dan menangkap dan mengeluarkan waran bagi penangkapan penjenayah dan pesalah dan memperlakukan mereka mengikut undang-undang;
(c) mengeluarkan waran untuk menggeledah atau menyebabkan digeledah tempat yang di dalamnya apa-apa barang atau benda yang dengannya atau mengenainya apa-apa kesalahan telah dilakukan dikatakan ada disimpan atau disembunyikan;
(d) menghendaki orang memberikan jaminan supaya mereka berkelakuan baik mengikut undang-undang; dan
(e) melakukan segala perkara dan benda lain yang seseorang Hakim diberi kuasa untuk melakukannya oleh mana-mana undang-undang bertulis.
BAHAGIAN III
PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 1
DARIHAL MAKLUMAT KEPADA HAKIM DAN PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA
Bila orang awam hendaklah membantu Hakim, dll.
8. Tiap-tiap orang adalah terikat untuk membantu seseorang Hakim, Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis, yang semunasabahnya menghendaki bantuannya—
(a) dalam menangkap atau mencegah terlepasnya mana-mana orang lain yang Hakim, Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu diberi kuasa untuk menangkapnya; atau
(b) dalam mencegah suatu pecah keamanan yang timbul daripada penangkapan dan penahanan orang itu.
Orang awam hendaklah memberikan maklumat tentang perkara tertentu
9. Tiap-tiap orang yang mengetahui pelakuan atau niat mana- mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta- merta memberikan maklumat kepada Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang terdekat tentang pelakuan atau niat itu.
BAB 2
DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA
Penangkapan: bagaimana dibuat
10. (1) Dalam membuat sesuatu penangkapan Pegawai Penguatkuasa Agama, pegawai polis atau orang lain yang membuat penangkapan itu hendaklah sebenarnya menyentuh atau mengurung tubuh orang yang hendak ditangkap itu, melainkan jika orang itu menyerah diri sama ada dengan perkataan atau melalui perbuatan.
(2) Jika orang itu dengan menggunakan kekerasan menentang usaha menangkapnya atau cuba mengelakkan penangkapan itu, pegawai atau orang lain itu bolehlah menggunakan segala langkah yang perlu untuk melaksanakan penangkapan itu.
(3) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini memberikan hak untuk menyebabkan kematian mana-mana orang.
Menggeledah tempat yang dimasuki oleh orang yang hendak ditangkap
11. (1) Jika mana-mana orang yang bertindak menurut waran tangkap, atau mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang ada kuasa untuk menangkap, mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ke dalam atau berada di dalam mana-mana tempat, maka orang yang tinggal di tempat itu atau yang menjaga tempat itu hendaklah, apabila dihendaki oleh orang yang bertindak menurut waran itu atau Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu, membenarkannya bebas masuk ke dalamnya dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk penggeledahan dijalankan di dalamnya.
(2) Jika kemasukan ke dalam tempat itu tidak dapat dibuat di bawah subseksyen (1), maka adalah sah, dalam apa-apa hal bagi seseorang yang bertindak menurut waran dan dalam apa-apa hal yang waran boleh dikeluarkan tetapi tidak boleh diperolehi tanpa memberi orang yang hendak ditangkap itu peluang untuk melarikan diri, bagi Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu untuk memasuki tempat itu dan menggeledah di dalamnya, dan, untuk mendapatkan jalan masuk ke tempat itu, memecah buka mana-mana pintu atau tingkap luar atau dalam mana-mana tempat sama ada tempat itu dipunyai oleh orang yang hendak ditangkap itu atau oleh mana-mana orang lain jika, setelah memberitahu kuasa dan maksudnya dan setelah permintaan hendak masuk dibuat dengan sewajarnya, tiada jalan lain lagi untuk masuk.
Memeriksa orang di tempat yang digeledah menurut waran
12. Bilamana penggeledahan untuk mencari apa-apa benda dibuat atau akan dibuat dengan sah di mana-mana tempat berkenaan dengan apa-apa kesalahan, semua orang yang dijumpai di dalam tempat itu boleh ditahan dengan sah sehingga penggeledahan itu selesai, dan, jika benda yang dicari itu adalah daripada jenis yang boleh disembunyikan pada tubuh badan seseorang, meraka boleh diperiksa untuk mencari benda itu oleh atau di hadapan seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dan pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor.
Kuasa untuk memecah buka mana-mana tempat bagi maksud pembebasan
13. Mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau orang lain yang diberi kuasa membuat penangkapan boleh memecah buka mana-mana tempat untuk membebaskan dirinya atau mana-mana orang lain yang, setelah memasuki tempat itu dengan sah bagi maksud membuat suatu penangkapan, tertahan di dalamnya.
Tidak boleh dikenakan sekatan yang tak perlu dan cara memeriksa seseorang
14. (1) Orang yang ditangkap tidaklah boleh dikenakan sekatan lebih daripada yang perlu bagi mencegahnya melarikan diri.
(2) Bilamana perlu untuk menyebabkan seseorang itu diperiksa, pemeriksaan itu hendaklah dibuat oleh seorang yang sama jantinanya dengan orang yang diperiksa itu dengan memberikan perhatian tegas tentang kesopanan.
Memeriksa orang yang ditangkap
15. (1) Bilamana seseorang ditangkap—
(a) oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis menurut waran yang tidak membenarkan jaminan atau menurut waran yang membenarkan jaminan tetapi orang yang ditangkap itu tidak dapat memberikan jaminan; atau
(b) tanpa waran dan orang yang ditangkap itu tidak dapat memberikan jaminan,
Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang membuat penangkapan itu boleh memeriksa orang itu dan menyita segala barang yang dijumpai padanya selain daripada pakaian perlu yang dipakainya dan meletakkan barang itu dalam jagaan selamat, dan jika ada sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana barang itu telah digunakan untuk melakukan kesalahan itu barang itu boleh ditahan sehingga orang itu dilepaskan atau dibebaskan.
(2) Senarai segala barang yang disita di bawah subseksyen (1) hendaklah disediakan oleh pegawai yang membuat penangkapan itu dan hendaklah ditandatangani olehnya.
Kuasa untuk menyita senjata berbahaya
16. Pegawai Penguatkuasa Agama atau orang lain yang membuat apa-apa penangkapan di bawah Enakmen ini boleh mengambil daripada orang yang ditangkap itu apa-apa senjata berbahaya yang ada padanya dan hendaklah menyerahkan segala senjata yang diambil sedemikian kepada polis.
Memeriksa orang untuk mendapatkan nama dan alamat
17. Tiap-tiap orang yang berada dalam jagaan sah, yang oleh sebab ketakupayaan kerana mabuk, sakit, gangguan mental ataupun masih kanak-kanak lagi tidak dapat memberikan keterangan yang
memuaskan tentang dirinya, bolehlah diperiksa bagi maksud menentukan nama dan tempat kediamannya.
Menangkap tanpa waran
18. Tanpa menjejaskan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain, mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama, pegawai polis atau Pegawai Masjid boleh, tanpa perintah daripada Hakim dan tanpa waran, menangkap—
(a) mana-mana orang yang kena-mengena dengan apa-apa kesalahan boleh ditangkap di dalam Negeri Selangor atau yang terhadapnya suatu aduan yang munasabah telah dibuat atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima atau syak yang munasabah wujud bahawa dia telah kena- mengena sedemikian;
(b) mana-mana orang yang telah melakukan atau cuba melakukan di hadapannya apa-apa kesalahan yang melibatkan pecah keamanan;
(c) mana-mana orang yang terhadapnya waran yang telah dikeluarkan di bawah Enakmen ini masih berkuat kuasa, walaupun waran itu tidak ada dalam milikannya.
Enggan memberikan nama dan kediaman
19. (1) Apabila mana-mana orang melakukan atau dituduh melakukan suatu kesalahan tak boleh tangkap di hadapan seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis dan enggan, apabila dikehendaki oleh pegawai itu, untuk memberikan nama dan kediamannya atau memberikan nama atau kediaman yang pegawai itu ada sebab untuk mempercayai adalah palsu, dia boleh ditangkap oleh pegawai itu untuk membolehkan nama dan kediamannya ditentukan, dan dia hendaklah, dalam masa dua puluh empat jam dari waktu dia ditangkap, tidak masuk masa yang diperlukan bagi perjalanan dari tempat penangkapan itu, dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat melainkan jika sebelum itu nama dan kediamannya yang sebenar telah ditentukan dan dalam hal sedemikian orang itu hendaklah dilepaskan dengan serta-merta apabila dia menyempurnakan suatu bon untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian.
(2) Apabila mana-mana orang dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di bawah subseksyen (1), Hakim itu boleh sama ada menghendaki dia menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin, untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian, atau boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia boleh dibicarakan.
(3) Apabila mana-mana orang di hadapan seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis melakukan atau dituduh melakukan suatu kesalahan tak boleh tangkap dan apabila dikehendaki oleh pegawai itu supaya memberikan nama dan kediamannya, memberikan sebagai kediamannya, suatu tempat di luar Negeri Selangor, dia boleh ditangkap oleh pegawai itu dan hendaklah dengan serta-merta dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat yang boleh menghendakinya supaya menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin, untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian, atau boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia boleh dibicarakan.
Orang yang ditangkap oleh Pegawai Masjid: bagaimana hendak diperlakukan
20. Seseorang Pegawai Masjid yang membuat suatu penangkapan tanpa waran hendaklah tanpa kelengahan yang tak perlu menyerahkan orang yang ditangkap sedemikian kepada Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang terdekat atau, jika pegawai itu tidak ada, membawa orang itu ke balai polis yang terdekat, dan seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis hendaklah menangkap semula tiap-tiap orang yang ditangkap sedemikian.
Memburu pesalah
21. Bagi maksud menangkap mana-mana orang yang dia ada kuasa untuk menangkap tanpa waran di bawah Enakmen ini, seseorang pegawai polis boleh memburu orang itu di mana-mana bahagian di Malaysia.
Bagaimana orang yang ditangkap hendaklah diperlakukan dan penahanan yang melebihi dua puluh empat jam
22. (1) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang membuat suatu penangkapan tanpa waran di bawah Enakmen ini hendaklah tanpa kelengahan yang tak perlu dan tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini tentang jaminan atau pelepasannya sebelum itu, membawa atau menghantar orang yang ditangkap itu ke hadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
(2) Tiada pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menahan dalam jagaan seseorang yang ditangkap tanpa waran selama tempoh yang lebih lama daripada yang munasabah dalam segala hal keadaan kes itu.
(3) Tempoh itu tidak boleh melebihi dua puluh empat jam, tidak termasuk masa yang perlu bagi perjalanan dari tempat penangkapan ke Mahkamah itu.
(4) Apabila seseorang yang ditangkap itu dibawa ke hadapan Mahkamah, Mahkamah hendaklah dengan serta-merta mendengar pertuduhan terhadap orang itu atau menangguhkan kes itu.
(5) Jika kes terhadap tertuduh ditangguhkan, maka tertuduh hendaklah, melainkan jika dia dilepaskan atas jaminan, ditahan di dalam penjara atau jagaan polis di bawah waran penahanan yang dikeluarkan oleh seorang Hakim dalam Borang 1 Jadual Kedua.
Melepaskan orang yang ditangkap
23. Tiada seorang pun yang telah ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis di bawah Enakmen ini boleh dilepaskan kecuali atas bon atau jaminan atau di bawah perintah bertulis seorang Hakim atau Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor.
Kesalahan yang dilakukan di hadapan Hakim
24. Apabila apa-apa kesalahan dilakukan di hadapan seorang Hakim di dalam had bidang kuasa tempatannya, dia sendiri boleh menangkap
atau memberi kuasa kepada mana-mana orang untuk menangkap pesalah itu dan boleh sesudah itu, tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini tentang jaminan, meletakkan pesalah itu dalam jagaan.
Penangkapan oleh atau di hadapan Hakim
25. Mana-mana Hakim boleh pada bila-bila masa menangkap atau memberi kuasa supaya ditangkap di hadapannya di dalam had bidang kuasa tempatannya mana-mana orang yang bagi penangkapannya dia kompeten untuk mengeluarkan waran.
Kuasa untuk memburu dan menangkap semula
26. Jika seseorang yang dalam jagaan sah melarikan diri atau dilarikan daripada tahanan, orang yang daripada jagaannya dia melarikan diri atau dilarikan itu boleh dengan serta-merta memburu dan menangkapnya di mana-mana tempat, sama ada di dalam atau di luar bidang kuasa tempat dia berada dalam jagaan sedemikian, dan memperlakukan orang itu sebagaimana yang boleh diperlakukannya semasa penangkapan yang mula-mula itu.
Peruntukan seksyen 11 dan 13 hendaklah terpakai bagi penangkapan di bawah seksyen 26
27. Peruntukan seksyen 11 dan 13 hendaklah terpakai bagi penangkapan di bawah seksyen 26 walaupun orang yang membuat penangkapan itu tidak bertindak di bawah waran dan bukan seorang pegawai polis yang mempunyai kuasa untuk menangkap.
BAB 3
DARIHAL PROSES UNTUK MEMAKSA KEHADIRAN
Saman
Bentuk saman dan penyampaian
28. (1) Tiap-tiap saman kehadiran yang dikeluarkan oleh Mahkamah di bawah Enakmen ini hendaklah mengikut Borang 2 Jadual Kedua dan ditandatangani oleh Hakim dan hendaklah mengandungi meterai Mahkamah.
(2) Saman itu hendaklah menyatakan secara am jenis kesalahan yang dipertuduh dan peruntukan dan undang-undang yang di bawahnya ia boleh dihukum.
(3) Saman itu hendaklah pada lazimnya disampaikan oleh pegawai Mahkamah tetapi Mahkamah yang mengeluarkan saman itu boleh, jika difikirkannya patut, mengarahkan supaya ia disampaikan oleh mana-mana orang lain.
Saman: bagaimana disampaikan
29. (1) Saman hendaklah, jika praktik, disampaikan kepada orang yang disaman itu sendiri dengan menunjukkan kepadanya saman yang asal dan dengan memberikan atau menyerahkan kepadanya suatu salinan saman itu di bawah meterai Mahkamah.
(2) Tiap-tiap orang yang kepadanya saman itu disampaikan sedemikian hendaklah, jika dikehendaki sedemikian oleh pegawai penyampai itu, menandatangani penerimaan salinan saman itu di bahagian belakang saman yang asal.
(3) Jika orang yang hendak disaman itu tidak dapat dijumpai setelah usaha wajar dijalankan, maka saman itu bolehlah disampaikan dengan meninggalkan suatu salinan saman itu untuknya dengan seorang anggota keluarganya yang dewasa atau dengan pengkhidmatnya yang tinggal bersamanya.
Tatacara bila penyampaian diri tidak dapat dilaksanakan
30. Jika orang yang hendak disaman itu tidak dijumpai setelah usaha wajar dijalankan dan penyampaian tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang diarahkan oleh subseksyen 29(3), pegawai penyampai itu hendaklah menampalkan suatu salinan saman itu di suatu bahagian yang ketara di rumah itu atau tempat lain di mana orang yang disaman itu pada lazimnya tinggal, dan dalam hal sedemikian, saman itu hendaklah disifatkan telah disampaikan dengan sewajarnya.
Bukti penyampaian
31. Apabila sesuatu saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah telah disampaikan, suatu afidavit penyampaian itu yang berupa dibuat di hadapan seorang Pendaftar hendaklah diterima sebagai keterangan.
Bentuk waran tangkap
Waran Tangkap
32. (1) Tiap-tiap waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah di bawah Enakmen ini hendaklah mengikut Borang 3 Jadual Kedua dan ditandatangani oleh Hakim dan hendaklah mengandungi meterai Mahkamah.
(2) Tiap-tiap waran itu hendaklah terus berkuat kuasa sehingga ia dibatalkan oleh Mahkamah yang mengeluarkannya atau sehingga ia dilaksanakan.
Mahkamah boleh mengarahkan jaminan yang hendak diambil melalui pengendorsan di atas waran
33. (1) Mana-mana Mahkamah yang mengeluarkan waran bagi menangkap mana-mana orang boleh, menurut budibicaranya, mengarahkan melalui pengendorsan di atas waran itu bahawa jika orang itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin yang mencukupi bagi kehadirannya di hadapan Mahkamah itu pada masa yang ditetapkan dan sesudah itu sehingga diarahkan selainnya oleh Mahkamah, pegawai yang kepadanya waran itu diarahkan hendaklah mengambil jaminan itu dan hendaklah melepaskan orang itu daripada jagaan.
(2) Pengendorsan itu hendaklah menyatakan—
(a) bilangan penjamin;
(b) amaun yang dengannya mereka dan orang yang bagi penangkapannya waran itu telah dikeluarkan masing- masingnya terikat; dan
(c) tempat dan masa dan tarikh dia dikehendaki hadir di hadapan Mahkamah.
(3) Bilamana jaminan diambil di bawah seksyen ini, pegawai yang kepadanya waran itu diarahkan hendaklah mengemukakan bon itu kepada Mahkamah.
Waran: kepada siapa diarahkan
34. (1) Sesuatu waran tangkap hendaklah pada lazimnya diarahkan kepada Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama dan semua Pegawai Penguatkuasa Agama yang lain, dan mana-mana pegawai itu boleh melaksanakan waran itu di mana-mana bahagian di Negeri Selangor.
(2) Mahkamah yang mengeluarkan waran boleh mengarahkannya kepada Ketua Polis Negara dan semua pegawai polis yang lain di Negeri Selangor atau mana-mana orang yang dinamakan yang bukan Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis, dan semua atau mana-mana seorang atau lebih seorang daripada mereka boleh melaksanakan waran itu.
Pemberitahuan tentang isi waran
35. Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau orang lain yang melaksanakan waran tangkap hendaklah memberitahukan isi waran itu kepada orang yang ditangkap dan jika dikehendaki sedemikian hendaklah mengemukakan dan menunjukkan kepadanya waran itu atau salinannya di bawah meterai Mahkamah yang mengeluarkan waran itu.
Orang yang ditangkap hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah tanpa kelengahan
36. Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau orang lain yang melaksanakan waran tangkap hendaklah, tertakluk kepada seksyen 33 tentang jaminan, tanpa kelengahan yang tak perlu, membawa orang yang ditangkap itu ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia dikehendaki oleh undang-undang supaya mengemukakan orang itu.
Tatacara tentang penangkapan orang yang terhadapnya waran dikeluarkan
37. (1) Apabila waran tangkap dilaksanakan di luar had bidang kuasa tempatan Mahkamah yang mengeluarkannya, maka orang
yang ditangkap itu hendaklah, melainkan jika jaminan telah diambil di bawah seksyen 33, dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat.
(2) Hakim itu hendaklah, jika ternyata orang yang ditangkap itu ialah orang yang dimaksudkan oleh Mahkamah yang mengeluarkan waran itu, mengarahkan pemindahan orang itu dalam jagaan ke Mahkamah yang dinamakan dalam waran itu.
(3) Walau apa pun subseksyen (2), jika kesalahan itu boleh dijamin dan orang yang ditangkap itu sedia dan sanggup memberikan jaminan yang memuaskan hati Mahkamah yang ke hadapannya dia dibawa, atau suatu arahan telah diendorskan di bawah seksyen 33 di atas waran itu dan orang itu sedia dan sanggup memberikan jaminan yang dikehendaki oleh arahan itu, maka Hakim itu hendaklah mengambil bon atau jaminan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan mengemukakan bon itu kepada Mahkamah yang dinamakan dalam waran itu.
(4) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menghalang seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis daripada mengambil jaminan di bawah seksyen 33.
Kaedah-Kaedah lain mengenai Saman Kehadiran dan Waran Tangkap
Pengeluaran waran sebagai ganti atau tambahan kepada saman
38. Mahkamah boleh, dalam apa-apa kes yang diberi kuasa untuk mengeluarkan saman bagi kehadiran mana-mana orang, mengeluarkan, selepas merekodkan sebab-sebabnya secara bertulis, waran untuk menangkapnya jika—
(a) sama ada sebelum saman dikeluarkan atau selepas saman itu dikeluarkan tetapi sebelum masa yang ditetapkan bagi kehadirannya, Mahkamah mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dia telah melarikan diri atau tidak akan mematuhi saman itu; atau
(b) pada masa itu dia tidak hadir dan saman itu dibuktikan telah disampaikan dengan sewajarnya dalam tempoh masa yang membolehkannya hadir mengikut saman itu dan tiada alasan munasabah diberikan atas ketakhadiran itu.
Saman kehadiran dan waran tangkap boleh dilaksanakan di mana-mana bahagian di Malaysia
39. (1) Segala saman kehadiran dan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah boleh disampaikan atau dilaksanakan, mengikut mana-mana yang berkenaan, di mana-mana bahagian di Malaysia; tetapi saman itu tidak boleh disampaikan di luar had bidang kuasa tempatan Mahkamah yang mengeluarkannya melainkan jika saman itu diendorskan oleh Mahkamah itu dengan perkataan “Bagi penyampaian di luar bidang kuasa”.
(2) Tiada saman boleh diendorskan oleh Mahkamah yang mengeluarkannya dengan perkataan “Bagi penyampaian di luar bidang kuasa” melainkan jika Mahkamah itu berpuas hati bahawa ada alasan khas bagi membenarkan penyampaian sedemikian, dan alasan itu hendaklah direkodkan sebelum saman itu diendorskan sedemikian.
Kuasa untuk mengambil bon kehadiran
40. Apabila mana-mana orang yang bagi kehadiran atau penangkapannya mana-mana Mahkamah diberi kuasa untuk mengeluarkan saman atau waran hadir di Mahkamah, Mahkamah boleh menghendaki orang itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin bagi kehadirannya di Mahkamah itu.
Penangkapan kerana pelanggaran bon kehadiran
41. Apabila mana-mana orang yang terikat dengan mana-mana bon di bawah Enakmen ini untuk hadir di hadapan Mahkamah tidak hadir sedemikian, Mahkamah boleh mengeluarkan waran mengarahkan supaya orang itu ditangkap dan dibawa ke hadapannya.
BAB 4
DARIHAL PROSES UNTUK MEMAKSA PENGEMUKAAN DOKUMEN DAN HARTA ALIH YANG LAIN DAN BAGI PENEMUAN
ORANG YANG DIKURUNG DENGAN SALAH
Saman untuk mengemukakan dokumen atau benda lain
42. (1) Bilamana mana-mana Mahkamah atau Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang membuat penyiasatan di bawah
Enakmen ini berpendapat bahawa pengemukaan mana-mana harta atau dokumen adalah perlu atau wajar bagi maksud apa-apa penyiasatan, siasatan, perbicaraan atau prosiding lain di bawah Enakmen ini oleh atau di hadapan Mahkamah atau pegawai itu, maka Mahkamah itu boleh mengeluarkan suatu saman atau pegawai itu boleh mengeluarkan suatu perintah bertulis kepada orang yang dalam milikan atau kuasanya harta atau dokumen itu dipercayai berada, menghendaki orang itu hadir dan mengemukakannya atau mengemukakannya pada masa dan di tempat yang dinyatakan dalam saman atau perintah itu.
(2) Mana-mana orang yang dikehendaki di bawah seksyen ini hanya untuk mengemukakan apa-apa harta atau dokumen hendaklah disifatkan telah mematuhi permintaan itu jika dia menyebabkan harta atau dokumen itu dikemukakan dan dia tidak hadir sendiri untuk mengemukakannya.
(3) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menyentuh peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keterangan yang sedang berkuat kuasa atau terpakai bagi apa-apa barang pos, telegram atau dokumen lain dalam jagaan pihak berkuasa pos atau telegraf.
Peruntukan seksyen 28 hingga 31 hendaklah terpakai
43. Peruntukan seksyen 28, 29, 30 dan 31 hendaklah terpakai berhubungan dengan saman di bawah Bab ini.
Waran Geledah
Bila waran geledah boleh dikeluarkan
44. (1) Jika—
(a) mana-mana Mahkamah mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa seseorang yang kepadanya saman di bawah seksyen 42 telah atau mungkin ditujukan tidak akan atau mungkin tidak akan mengemukakan harta atau dokumen yang dikehendaki;
(b) harta atau dokumen itu tidak diketahui oleh Mahkamah berada dalam milikan mana-mana orang;
(c) Mahkamah berpendapat bahawa maksud keadilan atau maksud mana-mana siasatan, perbicaraan atau prosiding lain di bawah Enakmen ini akan tercapai melalui suatu penggeledahan atau pemeriksaan am; atau
(d) Mahkamah, atas maklumat dan selepas apa-apa siasatan yang difikirkannya perlu, mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan telah dilakukan di mana-mana tempat,
Mahkamah boleh mengeluarkan waran geledah dan orang yang kepadanya waran itu diarahkan boleh menggeledah dan memeriksa mengikut waran geledah itu dan mengikut peruntukan Enakmen ini.
(2) Waran geledah hendaklah pada lazimnya diarahkan kepada Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pegawai Penguatkuasa Agama yang lain yang hendaklah disebut namanya dalam waran itu, dan semua atau mana-mana pegawai itu bolehlah melaksanakan waran itu.
(3) Mahkamah yang mengeluarkan waran geledah boleh mengarahkannya kepada Ketua Polis Negara dan kepada pegawai polis yang lain yang hendaklah disebut namanya dalam waran itu, dan semua atau mana-mana pegawai polis itu bolehlah melaksanakan waran itu.
Kuasa untuk membataskan waran geledah
45. Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, menyatakan dalam waran geledah tempat tertentu atau bahagian tempat tertentu itu yang hanya di situ sahajalah penggeledahan atau pemeriksaan boleh dilakukan, dan orang yang dipertanggungkan dengan pelaksanaan waran itu hendaklah kemudiannya hanya menggeledah atau memeriksa tempat atau bahagian itu yang dinyatakan sedemikian.
Hakim boleh mengeluarkan waran yang memberi kuasa menggeledah untuk mancari keterangan mengenai kesalahan
46. Jika seseorang Hakim, atas maklumat dan selepas apa-apa siasatan yang difikirkannya perlu, mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa apa-apa benda yang ke atas, dengan atau
berkenaan dengannya suatu kesalahan telah dilakukan, atau apa- apa keterangan atau benda yang perlu bagi menjalankan sesuatu penyiasatan mengenai apa-apa kesalahan, boleh didapati di mana- mana tempat, dia boleh, melalui waran, memberi kuasa orang yang kepadanya waran itu diarahkan untuk memasuki, dengan apa-apa bantuan yang dikehendaki, dan menggeledah tempat itu untuk mencari apa-apa keterangan atau benda itu, dan jika apa-apa jua yang dicari itu dijumpai, untuk menyitanya dan membawanya ke hadapan Hakim yang mengeluarkan waran itu atau Hakim lain untuk diperlakukan mengikut undang-undang.
Bentuk waran geledah
47. (1) Tiap-tiap waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah di bawah Enakmen ini hendaklah mengikut Borang 4 Jadual Kedua dan ditandatangani oleh Hakim dan hendaklah mengandungi meterai Mahkamah.
(2) Tiap-tiap waran itu hendaklah terus berkuat kuasa selama sebilangan hari yang munasabah yang hendaklah dinyatakan dalam waran itu.
Menggeledah untuk mencari orang yang dikurung dengan salah
48. Jika mana-mana Hakim mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana orang dikurung dalam apa-apa hal keadaan yang menjadikan pengurungan itu suatu kesalahan, dia boleh mengeluarkan waran geledah, dan orang yang kepadanya waran itu diarahkan boleh mencari orang yang dikurung itu; pencarian itu hendaklah dibuat mengikut waran itu dan orang itu, jika dijumpai, hendaklah dengan serta-merta dibawa ke hadapan seorang Hakim yang hendaklah membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut mengikut hal keadaan kes itu.
Orang yang menjaga tempat tertutup hendaklah membenarkan penggeledahan
49. (1) Bilamana mana-mana tempat yang boleh digeledah atau diperiksa di bawah Bab ini adalah tertutup, maka mana-mana orang yang tinggal di dalam atau yang menjaga tempat itu hendaklah,
apabila dikehendaki oleh pegawai atau orang lain yang melaksanakan waran itu dan apabila waran itu dikemukakan, membenarkannya bebas masuk ke dalamnya dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk menggeledah di dalamnya.
(2) Jika tempat itu tidak dapat dimasuki sedemikian, pegawai atau orang lain yang melaksanakan waran itu boleh bertindak mengikut cara yang diperuntukkan oleh subseksyen 11(2).
Hakim yang mengeluarkan waran geledah boleh hadir ketika ia dilaksanakan
50. Hakim yang mengeluarkan waran geledah boleh hadir sendiri bagi maksud memastikan waran itu dilaksanakan dengan sewajarnya.
Hakim boleh mengarahkan penggeledahan di hadapannya
51. Mana-mana Hakim boleh secara lisan mengarahkan supaya dibuat di hadapannya penggeledahan mana-mana tempat yang bagi penggeledahannya dia kompeten untuk mengeluarkan waran geledah.
Senarai segala benda yang disita hendaklah dibuat dan ditandatangani
52. Suatu senarai segala benda yang disita pada masa penggeledahan yang dibuat di bawah Bab ini dan suatu senarai tempat benda- benda itu masing-masingnya dijumpai hendaklah disediakan oleh pegawai atau orang lain yang membuat penggeledahan itu dan ditandatangani olehnya.
Penghuni hendaklah hadir ketika penggeledahan
53. Penghuni tempat yang digeledah, atau seseorang lain bagi pihaknya, hendaklah pada tiap-tiap ketika dibenarkan hadir semasa penggeledahan itu, dan suatu salinan senarai yang disediakan dan ditandatangani di bawah seksyen 52 hendaklah diserahkan kepada penghuni atau orang itu atas permintaannya.
BAHAGIAN IV
MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA MEREKA UNTUK MENYIASAT
Maklumat
54. (1) Tiap-tiap maklumat berhubungan dengan pelakuan sesuatu kesalahan, jika diberikan secara lisan kepada seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama, hendaklah diubah ke dalam bentuk bertulis olehnya atau di bawah arahannya dan hendaklah dibacakan kepada pemberi maklumat itu.
(2) Tiap-tiap maklumat itu hendaklah dicatatkan ke dalam Borang 5 Jadual Kedua yang hendaklah disimpan oleh pegawai itu, yang hendaklah menyatakan dalam catatan itu tarikh dan waktu maklumat itu telah diberikan, dan sama ada diberikan secara bertulis atau diubah ke dalam bentuk bertulis sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) hendaklah ditandatangani oleh orang yang memberikan maklumat itu.
Tatacara
55. (1) Apabila maklumat yang disebut dalam seksyen 54 adalah berhubungan dengan pelakuan sesuatu kesalahan tak boleh tangkap, pegawai yang kepadanya ia diberikan hendaklah merujukkan pemberi maklumat itu kepada seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
(2) Tiada Pegawai Penguatkuasa Agama boleh, dalam sesuatu kes yang melibatkan kesalahan tak boleh tangkap, menjalankan mana-mana kuasa khas berhubung dengan penyiasatan yang diberikan oleh Bab ini tanpa perintah Ketua Pendakwa Syarie.
(3) Mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama yang menerima perintah sedemikian boleh menjalankan kuasa berkenaan dengan penyiasatan yang diberikan di bawah Bab ini kecuali kuasa untuk menangkap tanpa waran.
Penerimaan salinan diperakui akan maklumat sebagai keterangan
56. Dalam mana-mana prosiding di bawah Enakmen ini, suatu salinan mana-mana catatan berhubungan dengan sesuatu maklumat yang diubah ke dalam bentuk bertulis di bawah seksyen 54 dan yang berupa diperakui sebagai salinan yang benar oleh seorang Pegawai Penguatkuasa Agama hendaklah diterima sebagai keterangan bagi kandungan maklumat asal itu dan bagi waktu, tempat dan cara maklumat itu telah direkodkan sedemikian.
Tatacara jika kesalahan boleh tangkap disyaki
57. (1) Jika daripada maklumat yang diterima atau selainnya seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap maka dia hendaklah, melainkan jika kesalahan itu adalah daripada jenis yang telah diarahkan oleh Ketua Pendakwa Syarie tidak perlu dilaporkan kepadanya, dengan serta-merta menghantar suatu laporan mengenai maklumat itu kepada Ketua Pendakwa Syarie, dan hendaklah pergi sendiri atau hendaklah mempertanggungjawabkan seorang daripada pegawai bawahannya pergi ke tempat kesalahan itu dilakukan untuk menyiasat fakta-fakta dan hal keadaan kes itu dan untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi penemuan pesalah itu:
Dengan syarat bahawa—
(a) apabila apa-apa maklumat tentang pelakuan mana-mana kesalahan sedemikian diberikan terhadap mana-mana orang yang disebut namanya dan jenis kes itu tidak berat, Pegawai Penguatkuasa Agama yang menerima maklumat itu tidak perlu pergi sendiri atau mempertanggungjawabkan seorang pegawai bawahan untuk membuat siasatan di tempat kesalahan itu dilakukan;
(b) jika didapati oleh Pegawai Penguatkuasa Agama yang menerima maklumat itu bahawa tiada alasan yang mencukupi untuk bertindak atau bertindak selanjutnya dalam perkara itu, maka dia tidaklah boleh berbuat demikian.
(2) Dalam setiap kes yang disebut dalam perenggan (1)(a) dan (1)(b), Pegawai Penguatkuasa Agama yang menerima maklumat
itu hendaklah menyatakan dalam laporannya, jika ada, sebab-sebab dia tidak mematuhi subseksyen (1) dengan sepenuhnya.
Kuasa untuk menghendaki kehadiran saksi
58. (1) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang membuat sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini boleh, melalui perintah bertulis, menghendaki supaya hadir di hadapannya mana-mana orang yang berada di dalam Negeri Selangor di mana dia sedang membuat suatu penyiasatan yang, daripada maklumat yang diberikan atau selainnya, didapati mengetahui hal keadaan kes itu, dan orang itu hendaklah hadir sebagaimana yang dikehendaki sedemikian.
(2) Jika mana-mana orang itu enggan hadir sebagaimana yang dikehendaki sedemikian, Pegawai Penguatkuasa Agama itu boleh melaporkan keengganan itu kepada seorang Hakim yang boleh sesudah itu menurut budi bicaranya mengeluarkan waran untuk memastikan kehadiran orang itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Pegawai Penguatkuasa Agama itu.
Pemeriksaan saksi oleh Pegawai Penguatkuasa Agama
59. (1) Seorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang membuat sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini boleh memeriksa secara lisan mana-mana orang yang disangka mengetahui fakta dan hal keadaan kes itu dan hendaklah mengubah ke dalam bentuk bertulis apa-apa pernyataan yang dibuat oleh orang yang diperiksa sedemikian.
(2) Orang itu adalah terikat di sisi undang-undang untuk menjawab segala soalan yang berhubungan dengan kes itu yang diajukan kepadanya oleh pegawai itu.
(3) Seseorang yang membuat pernyataan di bawah seksyen ini adalah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, sama ada atau tidak pernyataan itu dibuat pada keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai jawapan kepada soalan-soalan.
(4) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang memeriksa seseorang di bawah subseksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memberitahu orang itu akan peruntukan subseksyen (2) dan (3).
(5) Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah, bilamana mungkin, diubah ke dalam bentuk bertulis dan ditandatangani oleh orang yang membuatnya atau dicapkan dengan cap ibu jarinya di hadapan dua saksi, mengikut mana-mana yang berkenaan, selepas pernyataan itu dibacakan kepadanya dalam bahasa yang dia telah membuatnya dan selepas dia diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang diingininya.
Pernyataan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama tidak boleh diterima sebagai keterangan
60. (1) Tiada pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam perjalanan sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini boleh, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen ini, digunakan sebagai keterangan.
(2) Apabila mana-mana saksi dipanggil bagi pihak pendakwa atau pihak pembela, selain daripada tertuduh, Mahkamah hendaklah atas permintaan tertuduh atau Pendakwa Syarie merujuk kepada apa-apa pernyataan yang telah dibuat oleh saksi itu kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam perjalanan sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini, dan boleh kemudiannya, jika difikirkan oleh Mahkamah suaimanfaat demi kepentingan keadilan, mengarahkan supaya tertuduh diberi suatu salinannya, dan pernyataan itu boleh digunakan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu.
(3) Apabila mana-mana orang dipertuduh atas apa-apa kesalahan berhubungan dengan pernyataan palsu yang dibuat olehnya kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam perjalanan sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini, maka pernyataan itu boleh digunakan sebagai keterangan dalam pendakwaan itu.
Tiada dorongan boleh diberikan
61. (1) Tiada Pegawai Penguatkuasa Agama atau orang yang berkuasa boleh memberikan atau membuat apa-apa dorongan, ancaman atau janji kepada mana-mana orang yang dipertuduh atas sesuatu kesalahan untuk mendorong orang itu membuat apa-apa pernyataan yang mempunyai kaitan dengan pertuduhan terhadap orang itu.
(2) Tiada Pegawai Penguatkuasa Agama atau orang lain boleh menghalang atau tidak menggalakkan mana-mana orang, dengan apa-apa amaran atau selainnya, dalam perjalanan sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini, membuat apa-apa pernyataan yang dia mungkin bersedia membuatnya atas kemahuannya sendiri.
Kuasa untuk merekodkan pernyataan dan pengakuan salah
62. Mana-mana Hakim, selain daripada Hakim yang mendengar kes itu, boleh merekodkan di hadapan dua saksi apa-apa pernyataan atau pengakuan salah yang dibuat kepadanya pada bila-bila masa sebelum perbicaraan itu bermula.
Penggeledahan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama
63. (1) Bilamana seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang membuat sesuatu penyiasatan berpendapat bahawa pengemukaan apa-apa dokumen atau benda lain adalah perlu bagi penjalanan sesuatu penyiasatan mengenai apa-apa kesalahan yang dia diberi kuasa menyiasatnya dan ada sebab untuk mempercayai bahawa—
(a) orang yang kepadanya suatu saman atau perintah di bawah seksyen 42 telah atau mungkin akan dikeluarkan tidak akan atau mungkin tidak akan mengemukakan dokumen atau benda lain itu sebagaimana yang diarahkan dalam saman atau perintah itu; atau
(b) dokumen atau benda lain itu tidak diketahui berada dalam milikan mana-mana orang,
maka pegawai itu boleh menggeledah atau menyebabkan penggeledahan dibuat untuk mencari dokumen atau benda lain itu di mana-mana tempat.
(2) Pegawai itu hendaklah, jika praktik, menjalankan penggeledahan itu sendiri.
(3) Jika dia tidak dapat menjalankan penggeledahan itu sendiri dan tiada orang lain yang kompeten untuk membuat penggeledahan itu hadir pada waktu itu, dia boleh mengarahkan mana-mana pegawai bawahannya membuat penggeledahan itu, dan dia hendaklah menyerahkan kepada pegawai bawahan itu suatu perintah bertulis yang menyatakan dokumen atau benda lain yang dicari itu dan
tempat yang hendak digeledah itu, dan pegawai bawahan itu boleh sesudah itu menggeledah untuk mendapatkan benda itu di tempat itu.
(4) Peruntukan Enakmen ini tentang waran geledah hendaklah, setakat yang boleh, terpakai bagi penggeledahan yang dibuat di bawah seksyen ini.
Pegawai Penguatkuasa Agama boleh menghendaki bon kehadiran pengadu dan saksi
64. (1) Jika berdasarkan suatu penyiasatan yang dibuat di bawah Bab ini, didapati oleh pegawai yang membuat penyiasatan itu bahawa ada keterangan yang mencukupi atau alasan yang menimbulkan syak yang munasabah yang mewajarkan prosiding jenayah dimulakan atau diteruskan terhadap mana-mana orang, pegawai itu hendaklah menghendaki pengadu itu, jika ada, dan seberapa banyak orang lain yang didapati oleh pegawai itu mengetahui hal keadaan kes itu, sebagaimana yang difikirkannya perlu, menyempurnakan suatu bon untuk hadir di hadapan Mahkamah yang disebut dalamnya dan memberikan keterangan dalam perkara pertuduhan terhadap tertuduh.
(2) Pegawai yang di hadapannya bon itu disempurnakan hendaklah menghantar bon itu kepada Mahkamah.
(3) Jika mana-mana pengadu atau saksi enggan menyempurnakan bon itu, pegawai itu hendaklah melaporkan keengganan itu kepada Mahkamah yang boleh sesudah itu, menurut budi bicaranya, mengeluarkan suatu saman atau waran untuk memastikan kehadiran pengadu atau saksi itu di hadapannya untuk memberikan keterangan dalam perkara pertuduhan terhadap tertuduh.
Buku harian mengenai prosiding dalam penyiasatan
65. (1) Tiap-tiap Pegawai Penguatkuasa Agama yang membuat sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini hendaklah, dari hari ke hari, mencatatkan prosidingnya dalam buku harian penyiasatan dengan menyatakan—
(a) waktu perintah, jika ada, untuk menjalankan penyiasatan itu sampai padanya;
(b) waktu dia memulakan dan mengakhiri penyiasatan itu;
(c) tempat atau tempat-tempat yang dilawati olehnya;
(d) orang atau orang-orang yang disoal olehnya; dan
(e) pernyataan mengenai hal keadaan yang dipastikan melalui penyiasatannya.
(2) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam undang- undang yang berhubungan dengan keterangan, seseorang tertuduh tidak berhak, sama ada sebelum atau dalam perjalanan apa-apa siasatan atau perbicaraan, meminta atau memeriksa mana-mana buku harian itu:
Dengan syarat bahawa jika Pegawai Penguatkuasa Agama yang telah membuat penyiasatan itu merujuk kepada buku harian itu, maka hanya apa-apa catatan yang telah dirujuk oleh pegawai itu sahaja hendaklah ditunjukkan kepada tertuduh, dan Mahkamah hendaklah atas permintaan pegawai itu menyebabkan apa-apa catatan lain disembunyikan daripada pandangan atau dipadamkan.
Laporan Pegawai Penguatkuasa Agama
66. (1) Tiap-tiap penyiasatan di bawah Bab ini hendaklah diselesaikan tanpa kelengahan yang tak perlu, dan sebaik sahaja ia diselesaikan pegawai yang membuat penyiasatan itu hendaklah, melainkan jika kesalahan itu adalah daripada jenis yang diarahkan oleh Ketua Pendakwa Syarie tidak perlu dilaporkan kepadanya, menghantar kepada Ketua Pendakwa Syarie suatu laporan yang menyatakan nama pihak-pihak, jenis maklumat, dan nama orang yang didapati mengetahui hal keadaan kes itu.
(2) Ketua Pendakwa Syarie boleh pada bila-bila masa melalui perintah bertulis mengarahkan bahawa tiada laporan perlu dihantar kepadanya dalam kes-kes daripada jenis yang dinyatakan dalam perintah itu, dan boleh pada bila-bila masa mengubah atau membatalkan perintah itu.
BAHAGIAN V
PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 1
DARIHAL BIDANG KUASA MAHKAMAH DALAM PERBICARAAN
Tempat biasa bagi perbicaraan
67. Tiap-tiap kesalahan hendaklah pada lazimnya dibicarakan oleh Mahkamah yang di dalam had bidang kuasa tempatannya kesalahan itu telah dilakukan.
Tertuduh boleh dibicarakan di tempat di mana perbuatan dilakukan atau di mana akibat berikutan
68. Apabila seseorang dituduh melakukan apa-apa kesalahan oleh sebab apa-apa jua yang telah dilakukan atau oleh sebab apa-apa akibat yang berikutan, kesalahan itu boleh dibicarakan oleh Mahkamah yang di dalam had bidang kuasa tempatannya mana- mana perkara itu telah dilakukan atau mana-mana akibat itu telah berikutan.
Tempat perbicaraan jika perbuatan menjadi suatu kesalahan oleh sebab hubungan dengan kesalahan lain
69. Apabila sesuatu perbuatan menjadi kesalahan oleh sebab hubungannya dengan apa-apa perbuatan lain yang juga menjadi atau boleh menjadi kesalahan jika pelaku itu berupaya melakukan suatu kesalahan, maka pertuduhan atas kesalahan yang mula-mula disebut itu boleh dibicarakan oleh Mahkamah yang di dalam had tempatan bidang kuasa tempatannya mana-mana satu perbuatan itu telah dilakukan.
Misalan — Suatu pertuduhan persubahatan boleh dibicarakan sama ada oleh Mahkamah yang di dalam had tempatan bidang kuasanya persubahatan itu telah dilakukan atau oleh Mahkamah yang di dalam had bidang kuasa tempatannya kesalahan yang disubahati itu telah dilakukan.
Jika tempat kejadian kesalahan tak dapat ditentukan
70. Jika—
(a) tak dapat ditentukan di dalam yang manakah daripada beberapa kawasan tempatan sesuatu kesalahan itu telah dilakukan;
(b) sesuatu kesalahan dilakukan sebahagiannya di dalam satu had bidang kuasa tempatan dan sebahagiannya di dalam had bidang kuasa tempatan yang lain;
(c) sesuatu kesalahan ialah kesalahan berterusan dan terus dilakukan di dalam lebih daripada satu had bidang kuasa tempatan; atau
(d) ia terdiri daripada beberapa perbuatan yang dilakukan di dalam had bidang kuasa tempatan yang berlainan,
maka kes itu bolehlah didengar oleh Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa di dalam mana-mana had bidang kuasa tempatan tersebut.
Apabila timbul keraguan, Ketua Hakim Syarie hendaklah membuat keputusan
71. Bilamana timbul apa-apa keraguan tentang Mahkamah yang manakah yang hendaklah, menurut peruntukan Bab ini, membicarakan apa-apa kesalahan, Ketua Hakim Syarie boleh memutuskan di Mahkamah yang manakah kesalahan itu hendaklah dibicarakan.
Syarat yang Dikehendaki bagi Memulakan Prosiding
Hakim mengambil perhatian tentang kesalahan
72. (1) Tertakluk kepada Enakmen ini, seorang Hakim boleh mengambil perhatian tentang sesuatu kesalahan—
(a) apabila dia menerima suatu aduan sebagaimana yang ditakrifkan oleh Enakmen ini;
(b) berdasarkan pengetahuannya sendiri dan dengan keterangan yang menyokong bahawa kesalahan itu telah dilakukan; atau
(c) apabila mana-mana orang dibawa ke hadapannya dalam jagaan tanpa proses dan dituduh melakukan suatu kesalahan yang Hakim itu mempunyai bidang kuasa untuk membicarakannya.
(2) Apabila seorang Hakim mengambil perhatian tentang sesuatu kesalahan di bawah perenggan (1)(b), tertuduh atau, apabila terdapat beberapa orang yang dituduh, mana-mana seorang daripada mereka adalah berhak menghendaki supaya kes itu tidak dibicarakan oleh Hakim itu tetapi hendaklah dibicarakan oleh seorang Hakim yang lain.
Keizinan untuk mendakwa daripada Ketua Pendakwa Syarie
73. Tiada pendakwaan bagi mana-mana kesalahan di bawah seksyen 4, 8, 9, 12 atau 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen No. 9 Tahun 1995] boleh dimulakan kecuali dengan keizinan Ketua Pendakwa Syarie.
BAB 2
DARIHAL ADUAN KEPADA HAKIM
Pemeriksaan pengadu
74. (1) Apabila seseorang Hakim mengambil perhatian tentang sesuatu kesalahan apabila diadukan, dia hendaklah dengan serta- merta memeriksa pengadu itu yang bersumpah mengikut Borang
6 Jadual Kedua, dan isi pemeriksaan itu hendaklah diubah ke dalam bentuk bertulis dan hendaklah ditandatangani oleh pengadu itu dan juga oleh Hakim itu.
(2) Seksyen ini tidaklah terpakai bagi aduan mengenai sesuatu kesalahan jika saman dipohon dalam suatu kes saman yang dibuat oleh seorang Pegawai Penguatkuasa Agama.
Penangguhan pengeluaran proses
75. Jika Hakim ada keraguan yang munasabah tentang kebenaran sesuatu aduan mengenai sesuatu kesalahan yang dia diberi kuasa mengambil perhatian tentangnya, dia boleh, apabila pengadu itu telah diperiksa, merekodkan sebab dia meragui kebenaran aduan
itu dan kemudiannya boleh menangguhkan pengeluaran proses bagi memaksa kehadiran orang yang diadukan itu dan sama ada menyiasat hal itu sendiri atau mengarahkan seorang Pegawai Penguatkuasa Agama supaya membuat siasatan bagi maksud menentukan kebenaran atau kepalsuan aduan itu dan melaporkan kepadanya hasil siasatan itu.
Menolak aduan
76. (1) Hakim yang di hadapannya suatu aduan dibuat boleh menolak aduan itu jika, selepas memeriksa pengadu itu dan merekodkan pemeriksaannya dan menimbangkan hasil siasatan, jika ada, yang dibuat di bawah seksyen 75, pada hematnya tiada alasan yang mencukupi untuk meneruskan tindakan.
(2) Hakim yang menolak aduan itu hendaklah merekodkan sebab dia berbuat demikian.
Pengeluaran proses
77. Jika seseorang Hakim yang mengambil perhatian tentang sesuatu kesalahan berpendapat ada alasan yang mencukupi untuk meneruskan tindakan, dia hendaklah mengeluarkan saman bagi kehadiran tertuduh.
BAB 3
DARIHAL PERTUDUHAN
Bentuk pertuduhan
78. (1) Tiap-tiap pertuduhan di bawah Enakmen ini hendaklah menyatakan kesalahan yang atasnya tertuduh dipertuduh.
(2) Jika undang-undang yang mewujudkan kesalahan itu memberinya apa-apa nama tertentu, kesalahan itu boleh diperihalkan dalam pertuduhan itu dengan nama itu sahaja.
(3) Jika undang-undang yang mewujudkan kesalahan itu tidak memberinya apa-apa nama tertentu, takrif kesalahan itu hendaklah dinyatakan setakat yang membolehkan tertuduh maklum tentang perkara yang mengenainya dia dipertuduh.
(4) Undang-undang dan peruntukan undang-undang yang terhadapnya kesalahan itu dikatakan telah dilakukan hendaklah disebut dalam pertuduhan itu.
(5) Hakikat bahawa pertuduhan itu dibuat adalah bersamaan dengan pernyataan bahawa tiap-tiap syarat yang sah yang dikehendaki oleh undang-undang bagi mewujudkan kesalahan yang dipertuduh itu telah dipenuhi dalam kes tertentu itu.
Butir-butir tentang waktu, tempat dan orang
79. Pertuduhan itu hendaklah mengandungi apa-apa butir tentang waktu dan tempat kesalahan yang dikatakan itu dan orang, jika ada, yang terhadapnya atau benda, jika ada, yang berkenaan dengannya kesalahan itu telah dilakukan sebagaimana yang semunasabahnya mencukupi supaya tertuduh maklum tentang perkara yang mengenainya dia dipertuduh.
Bila cara melakukan kesalahan mesti dinyatakan
80. Apabila jenis kes itu adalah sedemikian rupa sehingga butir- butir yang disebut dalam seksyen 78 dan 79 tidak memberi tertuduh maklumat yang mencukupi tentang perkara yang mengenainya dia dipertuduh, pertuduhan itu hendaklah juga mengandungi apa-apa butir mengenai cara bagaimana kesalahan yang dikatakan itu telah dilakukan sebagaimana yang mencukupi bagi maksud itu.
Pengertian perkataan yang digunakan dalam pertuduhan untuk memperihalkan kesalahan
81. Dalam tiap-tiap pertuduhan, perkataan yang digunakan untuk memperihalkan sesuatu kesalahan hendaklah disifatkan digunakan mengikut pengertian yang diberikan kepadanya masing-masing oleh undang-undang yang di bawahnya kesalahan itu boleh dihukum.
Kesan kesilapan
82. Tiada kesilapan dalam menyatakan sama ada kesalahan atau butir-butir yang dikehendaki dinyatakan dalam pertuduhan itu, dan tiada peninggalan untuk menyatakan kesalahan atau butir-
butir itu, boleh dikira, pada mana-mana peringkat kes itu, sebagai material melainkan jika tertuduh sebenarnya telah terkeliru oleh sebab kesilapan atau peninggalan itu.
Mahkamah boleh meminda atau menambah pertuduhan
83. (1) Mana-mana Mahkamah boleh meminda atau menambah mana-mana pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman diumumkan.
(2) Tiap-tiap pindaan atau penambahan itu hendaklah dibaca dan diterangkan kepada tertuduh.
Bila perbicaraan boleh diteruskan serta-merta selepas pindaan atau penambahan
84. (1) Jika sesuatu pindaan atau tambahan dibuat kepada sesuatu pertuduhan menurut seksyen 83, Mahkamah hendaklah dengan serta-merta memanggil tertuduh untuk membuat akuan kepadanya dan menyatakan sama ada dia bersedia untuk dibicarakan atas pertuduhan yang dipinda atau ditambah itu.
(2) Jika tertuduh menyatakan dia belum bersedia, Mahkamah hendaklah menimbangkan dengan sewajarnya sebab-sebab yang diberikannya dan jika penerusan perbicaraan itu dengan serta- merta tidak mungkin, pada pendapat Mahkamah, memudaratkan tertuduh dalam pembelaannya atau Pendakwa dalam menjalankan kes itu, Mahkamah boleh, menurut budi bicaranya, selepas pindaan atau tambahan itu dibentuk atau dibuat, meneruskan perbicaraan itu seolah-olah pertuduhan yang dipinda atau ditambah itu ialah pertuduhan asal.
Bila perbicaraan baru boleh diarahkan atau perbicaraan ditangguhkan
85. Jika pertuduhan yang dipinda atau ditambah itu adalah sedemikian rupa sehingga penerusan perbicaraan itu dengan serta- merta mungkin, pada pendapat Mahkamah, memudaratkan tertuduh atau Pendakwa, sebagaimana yang disebut dalam seksyen 84, Mahkamah boleh sama ada mengarahkan diadakan suatu perbicaraan baru atau menangguhkan perbicaraan itu selama apa-apa tempoh yang difikirkan perlu.
Menggantung prosiding jika pendakwaan kesalahan dalam pertuduhan yang dipinda menghendaki keizinan terlebih dahulu
86. Jika kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan yang dipinda atau ditambah itu ialah satu kesalahan yang pendakwaannya memerlukan keizinan terlebih dahulu, kes itu tidaklah boleh diteruskan sehingga keizinan itu diperolehi, melainkan jika keizinan sudah diperolehi bagi suatu pendakwaan atas fakta yang sama dengan fakta yang atasnya pertuduhan yang dipinda atau ditambah itu diasaskan.
Memanggil semula saksi apabila pertuduhan dipinda atau ditambah
87. Bilamana sesuatu pertuduhan dipinda atau ditambah oleh Mahkamah selepas perbicaraan bermula, Pendakwa dan tertuduh hendaklah dibenarkan memanggil semula atau menyaman semula dan memeriksa, dengan merujuk kepada pindaan atau penambahan itu, mana-mana saksi yang telah diperiksa, dan boleh juga memanggil apa-apa keterangan selanjutnya yang mungkin material.
Pertuduhan yang berasingan bagi kesalahan yang berlainan
88. Bagi tiap-tiap kesalahan yang berlainan yang atasnya mana- mana orang itu dituduh maka hendaklah ada pertuduhan yang berasingan, dan tiap-tiap pertuduhan itu hendaklah dibicarakan secara berasingan kecuali dalam hal yang disebut dalam seksyen 89, 90, 91 dan 95.
Tiga kesalahan yang sama jenisnya dalam tempoh dua belas bulan boleh dipertuduh bersama
89. (1) Apabila seseorang dituduh melakukan kesalahan-kesalahan yang sama jenisnya dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh kesalahan itu mula-mula dilakukan, sama ada berkenaan dengan orang yang sama atau tidak, dia boleh dipertuduh dan dibicarakan pada satu perbicaraan bagi apa-apa bilangan kesalahan itu yang tidak melebihi tiga.
(2) Kesalahan-kesalahan adalah disifatkan sama jenisnya apabila kesalahan-kesalahan itu boleh dihukum di bawah peruntukan mana- mana undang-undang yang sama yang sedang berkuat kuasa.
Perbicaraan bagi lebih daripada satu kesalahan
90. (1) Jika kesalahan itu adalah suatu siri perbuatan yang sebegitu berkaitan bersama sehingga menjadikannya transaksi yang sama, orang yang dituduh atas kesalahan itu boleh dipertuduh dan dibicarakan pada satu perbicaraan bagi tiap-tiap kesalahan itu.
(2) Jika perbuatan yang dikatakan menjadi kesalahan di bawah dua takrif kesalahan yang berasingan atau lebih, orang yang dituduh atas kesalahan itu boleh dipertuduh dan dibicarakan pada satu perbicaraan bagi setiap kesalahan itu.
(3) Jika beberapa perbuatan, yang satu daripadanya atau lebih boleh sendirinya mewujudkan suatu kesalahan, apabila digabungkan menjadi suatu kesalahan yang lain, maka orang yang dituduh atas kesalahan-kesalahan itu boleh dipertuduh dan dibicarakan pada satu perbicaraan bagi kesalahan yang wujud melalui perbuatan- perbuatan itu apabila digabungkan, atau bagi mana-mana kesalahan yang wujud melalui mana-mana satu daripada perbuatan itu atau lebih.
Jika diragui kesalahan apakah yang telah dilakukan
91. Jika satu perbuatan atau suatu siri perbuatan adalah sedemikian jenisnya sehingga terdapat keraguan mengenai kesalahan yang manakah yang diwujudkan antara beberapa kesalahan yang dapat diwujudkan oleh fakta yang boleh dibuktikan, tertuduh boleh dipertuduh melakukan kesemua atau mana-mana kesalahan itu, dan apa-apa bilangan pertuduhan itu boleh dibicarakan bersekali, atau dia boleh dipertuduh secara alternatif telah melakukan mana- mana satu kesalahan sedemikian dan boleh dibicarakan bersekali.
Bila seseorang yang dipertuduh atas satu kesalahan boleh disabitkan atas kesalahan lain
92. Jika, dalam hal yang disebut dalam seksyen 91, tertuduh dipertuduh atas satu kesalahan dan daripada keterangan didapati bahawa dia telah melakukan suatu kesalahan lain yang baginya dia mungkin boleh dipertuduh, dia boleh disabitkan atas kesalahan yang dibuktikan telah dilakukan olehnya walaupun dia tidak dipertuduh atas kesalahan itu.
Orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan boleh disabitkan kerana cuba melakukan kesalahan
93. Apabila tertuduh dipertuduh atas sesuatu kesalahan dia boleh disabitkan kerana mencuba melakukan kesalahan itu, walaupun percubaan itu tidak dipertuduh secara berasingan.
Apabila kesalahan yang terbukti dimasukkan dalam kesalahan yang dipertuduh
94. (1) Apabila seseorang dipertuduh atas suatu kesalahan yang mengandungi beberapa butiran, dan gabungan beberapa butiran sahaja mewujudkan suatu kesalahan yang lebih ringan, dan gabungan itu telah dibuktikan tetapi butir-butir yang tinggal tidak dibuktikan, dia boleh disabitkan atas kesalahan yang lebih ringan itu walaupun dia tidak dipertuduh atas kesalahan itu.
(2) Apabila seseorang dipertuduh atas suatu kesalahan dan fakta- fakta adalah dibuktikan yang mengurangkannya kepada suatu kesalahan yang lebih ringan, dia boleh disabitkan atas kesalahan yang lebih ringan itu walaupun dia tidak dipertuduh atas kesalahan itu.
Bila orang boleh dipertuduh bersesama
95. Apabila lebih daripada seorang dituduh atas kesalahan yang sama atau kesalahan-kesalahan yang berlainan yang dilakukan dalam transaksi yang sama, atau apabila seseorang dituduh melakukan suatu kesalahan dan seseorang yang lain dituduh bersubahat atau cuba melakukan kesalahan yang sama, maka mereka boleh dipertuduh dan dibicarakan bersama atau berasingan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
BAB 4
DARIHAL PERBICARAAN
Tatacara dalam perbicaraan
96. Tatacara yang berikut hendaklah diikuti oleh Hakim dalam perbicaraan:
(a) apabila tertuduh hadir atau dibawa ke hadapan Mahkamah, maka pertuduhan yang mengandungi butir-butir kesalahan
yang dia dituduh melakukannya itu hendaklah dibentuk, dibaca dan dijelaskan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya sama ada dia bersalah atas kesalahan yang dipertuduh itu atau meminta dibicarakan;
(b) jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan, sama ada atas pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan dan dia boleh disabitkan atas kesalahan itu:
Dengan syarat bahawa sebelum suatu akuan bersalah direkodkan, Mahkamah hendaklah menentukan bahawa tertuduh memahami sifat dan akibat daripada akuannya itu dan dia berniat untuk mengakui, tanpa bersyarat, kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu;
(c) jika tertuduh enggan membuat akuan atau tidak membuat akuan atau meminta dibicarakan, Mahkamah hendaklah mendengar pengadu, jika ada, dan mengambil segala keterangan yang dikemukakan bagi menyokong pendakwaan itu;
(d) apabila difikirkannya perlu, Mahkamah hendaklah memperoleh daripada pengadu atau selainnya nama mana- mana orang yang berkemungkinan mengetahui fakta kes itu dan dapat memberikan keterangan bagi pihak pendakwaan, dan hendaklah memanggil mana-mana daripada mereka, sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Mahkamah, untuk memberikan keterangan di hadapannya;
(e) tertuduh atau Peguam Syarienya hendaklah dibenarkan memeriksa balas semua saksi bagi pihak pendakwaan melalui Hakim;
(f) jika, selepas mengambil segala keterangan yang disebut dalam perenggan (c), (d) dan (e), Mahkamah mendapati bahawa tiada kes terhadap tertuduh telah diwujudkan yang jika tak dipatahkan akan mewajarkan sabitannya, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan;
(g) tiada ada-apa jua dalam perenggan (f) boleh disifatkan sebagai menghalang Mahkamah daripada melepaskan tertuduh pada mana-mana peringkat terdahulu dalam kes
itu jika bagi sebab-sebab yang hendaklah direkodkan oleh Mahkamah ia berpendapat pertuduhan itu tidak berasas;
(h) jika, apabila keterangan itu telah diambil, Mahkamah berpendapat bahawa ada alasan untuk menganggap bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan yang dipertuduh itu atau kesalahan lain yang Mahkamah itu kompeten untuk membicarakannya dan yang pada pendapatnya patut dibicarakannya, ia hendaklah menimbangkan pertuduhan yang direkodkan terhadap tertuduh dan memutuskan sama ada pertuduhan itu mencukupi dan, jika perlu, hendaklah meminda pertuduhan itu;
(i) pertuduhan itu jika dipinda hendaklah dibacakan kepada tertuduh sebagaimana yang dipinda dan dia hendaklah ditanya semula sama ada dia bersalah atau ada apa-apa pembelaan yang hendak dibuat;
(j) jika tertuduh tidak mengaku salah kepada pertuduhan itu sebagaimana yang dipinda atau jika tiada pindaan dibuat, tertuduh hendaklah dipanggil untuk membuat pembelaannya dan mengemukakan keterangannya, dan hendaklah pada bila-bila masa apabila dia membuat pembelaannya dibenarkan untuk memanggil semula dan memeriksa balas mana-mana saksi melalui Hakim;
(k) jika tertuduh mengemukakan apa-apa pernyataan bertulis, Mahkamah hendaklah memfailkannya bersama-sama dengan rekod;
(l) jika tertuduh memohon kepada Mahkamah supaya dikeluarkan saman bagi memaksa kehadiran mana-mana saksi, sama ada dia telah atau belum diperiksa dalam kes itu, bagi maksud pemeriksaan atau pemeriksaan balas atau pengemukaan apa-apa dokumen atau benda lain, Mahkamah hendaklah mengeluarkan saman melainkan jika ia berpendapat bahawa permohonan itu patut ditolak atas alasan bahawa ia dibuat bagi maksud menyusahkan atau melengahkan atau bagi menggagalkan matlamat keadilan; dan alasan sedemikain hendaklah direkodkannya secara bertulis;
(m) (i) jika Mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah, Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan;
(ii) jika Mahkamah mendapati tertuduh bersalah atau jika akuan bersalah telah direkodkan dan diterima, Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang;
(n) apabila prosiding telah dimulakan atas aduan seseorang yang dibuat dengan sumpah di bawah seksyen 74 dan pada mana-mana hari yang ditetapkan bagi pendengaran kes itu pengadu itu tidak hadir, Mahkamah boleh, menurut budi bicaranya, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini, melepaskan tertuduh.
Kuasa untuk melepaskan dengan syarat atau tanpa syarat
97. (1) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen 96, Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa yang terkandung dalam seksyen ini.
(2) Apabila mana-mana orang dipertuduh di hadapan Mahkamah atas suatu kesalahan yang boleh dihukum oleh Mahkamah itu, dan Mahkamah mendapati bahawa pertuduhan itu telah dibuktikan, tetapi berpendapat bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental orang yang dipertuduh itu, atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu, atau kepada hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan, adalah tak suaimanfaat untuk mengenakan apa-apa hukuman selain daripada suatu hukuman nominal atau bahawa adalah suaimanfaat melepaskan pesalah itu dalam cubaan akhlak, Mahkamah boleh, tanpa merekodkan suatu sabitan, membuat perintah—
(a) membuang pertuduhan atau aduan itu selepas apa-apa teguran atau amaran kepada pesalah itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah;
(b) memerintahkan pesalah itu ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah; atau
(c) melepaskan pesalah itu dengan syarat dia mengikat bon, dengan penjamin-penjamin, untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh, yang tidak melebihi tiga tahun, sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu, dan hadir supaya direkodkan sabitan dan dijatuhkan hukuman apabila dipanggil pada bila-bila masa dalam tempoh itu.
(3) Mahkamah boleh, sebagai tambahan kepada mana-mana perintah itu, memerintahkan pesalah itu membayar apa-apa pampasan bagi kecederaan atau bagi kerugian, yang tidak melebihi jumlah wang satu ribu ringgit, atau membayar apa-apa kos prosiding itu sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah atau membayar pampasan dan kos itu kedua-duanya.
(4) Jika Mahkamah berpuas hati melalui maklumat yang diberikan dengan sumpah bahawa pesalah itu tidak mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia boleh mengeluarkan waran bagi pemberkasan pesalah itu.
(5) Mana-mana pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim yang boleh—
(a) sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya, mengikut mana-mana yang berlaku dahulu; atau
(b) membenarkan dia diikat jamin dengan penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.
(6) Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya hendaklah memerintahkan bahawa dia hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.
Ucapan
98. Dalam perbicaraan di bawah Bab ini—
(a) pegawai yang menjalankan pendakwaan tidaklah perlu membuka kes itu tetapi bolehlah terus mengemukakan keterangannya;
(b) apabila tertuduh dipanggil untuk membuat pembelaannya, maka dia atau Peguam Syarienya boleh, sebelum mengemukakan keterangannya, membuka kesnya dengan menyatakan fakta-fakta atau undang-undang yang mahu digunakan olehnya dan membuat apa-apa ulasan yang difikirkannya perlu tentang keterangan pihak pendakwa, dan jika tertuduh memberikan keterangan atau saksi-saksi diperiksa bagi pihaknya, dia bolelah menggulung kesnya;
(c) pegawai yang menjalankan pendakwaan itu hendaklah mempunyai hak menjawab keseluruhan kes itu apabila tertuduh telah mengemukakan keterangannya.
Kuasa untuk mengaward pampasan
99. Jika dalam mana-mana kes Mahkamah membebaskan tertuduh dan berpendapat bahawa aduan, maklumat atau pertuduhan itu adalah remeh atau menyusahkan ia boleh, menurut budi bicaranya, sama ada atas permohonan tertuduh atau atas kehendaknya sendiri, memerintahkan pengadu atau orang yang berdasarkan maklumatnya aduan atau pertuduhan itu telah dibuat supaya membayar kepada tertuduh, atau kepada setiap atau mana-mana tertuduh jika terdapat lebih daripada seorang, apa-apa pampasan, yang tidak melebihi satu ribu ringgit, yang difikirkan patut oleh Mahkamah:
Dengan syarat bahawa Mahkamah—
(a) hendaklah merekodkan dan menimbangkan apa-apa bantahan yang mungkin dibangkitkan oleh pengadu atau pemberi maklumat itu terhadap pembuatan perintah itu; dan
(b) hendaklah merekodkan alasannya bagi pembuatan perintah sedemikian.
Butir-butir hendaklah direkodkan
100. (1) Dalam prosiding di bawah Bab ini, Mahkamah hendaklah menyimpan suatu rekod tentang butir-butir setiap kes dengan menggunakan dan menyiapkan atau menyebabkan disiapkan suatu kertas pertuduhan mengikut borang-borang yang ditetapkan dan, jika segala butir yang perlu tidak dapat dengan mudah dicatatkan dalam mana-mana borang itu, dengan melampirkan padanya apa- apa bilangan kertas sambungan yang perlu.
(2) Butir-butir yang hendaklah dimasukkan dalam rekod itu hendaklah termasuk—
(a) nama Mahkamah dan nombor siri kes itu;
(b) nama, nombor kad pengenalan, dan jantina tertuduh;
(c) alamat tertuduh;
(d) pertuduhan;
(e) tarikh kembalian saman, jika ada;
(f) tarikh pengeluaran saman atau waran, jika ada;
(g) nama dan alamat pengadu, jika ada, tarikh aduan itu dan nilai apa-apa harta yang terlibat;
(h) tarikh penangkapan;
(i) tarikh kehadiran pertama di hadapan Mahkamah;
(j) kerakyatan tertuduh;
(k) umur tertuduh;
(l) butir apa-apa jaminan atau bon;
(m) akuan tertuduh;
(n) nama dan gelaran pegawai atau nama orang yang menjalankan pendakwaan dan nama Peguam Syarie, jika ada, yang hadir bagi pihak tertuduh;
(o) tarikh setiap penangguhan atau penundaan dan tarikh yang sehingganya penangguhan atau penundaan itu dibuat dan alasan penangguhan atau penundaan itu dibuat;
(p) nota keterangan Mahkamah, jika ada;
(q) dapatan-dapatan;
(r) nota Mahkamah tentang sabitan-sabitan terdahulu, keterangan watak, dan rayuan meringankan hukuman, jika ada;
(s) hukuman atau perintah muktamad lain;
(t) penghakiman, jika bertulis;
(u) tarikh tamatnya prosiding;
(v) butir-butir tentang mana-mana waran tahanan, resit denda dan waran pemenjaraan; dan
(w) sekiranya rayuan dibuat—
(i) tarikh pemberitahuan tentang rayuan, tarikh apa- apa permintaan bagi nota keterangan, tarikh apa- apa notis bahawa nota keterangan boleh diperoleh dengan bayaran, tarikh penyampaian alasan keputusan Mahkamah dan tarikh penghantaran rekod kepada Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan;
(ii) jika penghakiman ialah penghakiman lisan, alasan keputusan;
(iii) nombor siri Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah bagi rayuan itu; dan
(iv) keputusan rayuan dan tarikh Mahkamah diberitahu mengenainya.
(3) Rekod itu hendaklah disahkan dengan tandantangan Hakim, dan hendaklah difailkan mengikut apa-apa cara yang diarahkan oleh Ketua Hakim Syarie.
Pemindahan kes
101. Dalam mana-mana perbicaraan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang dalamnya ternyata pada mana- mana peringkat prosiding itu bahawa kerana apa-apa sebab maka kes itu ialah suatu kes yang, pada pendapat Hakim itu, patut dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, atau jika sebelum atau semasa perbicaraan itu permohonan dibuat oleh Ketua Pendakwa Syarie, maka Hakim itu hendaklah menggantung prosiding itu dan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah dan hendaklah merekodkan perintah itu pada rekod prosiding itu.
BAB 5
PERUNTUKAN AM TENTANG PERBICARAAN
Tatacara jika terdapat sabitan terdahulu
102. Jika tertuduh dipertuduhkan atas suatu kesalahan yang dilakukan selepas suatu sabitan terdahulu atas apa-apa kesalahan, tatacara yang berikut hendaklah dipatuhi:
(a) bahagian pertuduhan yang menyatakan sabitan terdahulu itu tidak boleh dibacakan di dalam Mahkamah, dan tertuduh tidak juga boleh ditanya sama ada dia telah disabitkan terdahulu seperti yang dikatakan dalam pertuduhan itu melainkan jika dan sehingga dia telah sama ada mengaku salah atau disabitkan atas kesalahan yang kemudian itu;
(b) jika dia mengaku salah atau disabitkan atas kesalahan yang kemudian itu, dia hendaklah pada ketika itu ditanya sama ada dia telah disabitkan terdahulu seperti yang dikatakan dalam pertuduhan itu;
(c) jika dia menjawab bahawa dia pernah disabitkan terdahulu sedemikian, Mahkamah bolehlah dengan demikian itu menjatuhkan hukuman ke atasnya, tetapi jika dia menafikan bahawa dia pernah disabitkan terdahulu atau enggan atau tidak menjawab soalan itu, Mahkamah hendaklah menyiasat sabitan terdahulu itu.
Pendakwa bolehlah berhenti daripada mendakwa selanjutnya pada mana-mana peringkat
103. (1) Pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa boleh, jika difikirkannya patut, memberitahu Mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu; dan sesudah itu semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran Mahkamah dan, jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu.
(2) Pelepasan sedemikian tidaklah terjumlah kepada suatu pembebasan melainkan jika Mahkamah mengarahkan sedemkian.
Hak tertuduh untuk dibela
104. Tiap-tiap orang yang dituduh di hadapan mana-mana Mahkamah adalah berhak untuk dibela oleh Peguam Syarie.
Mahkamah boleh mengemukakan soalan kepada tertuduh
105. (1) Bagi maksud membolehkan tertuduh menjelaskan apa- apa hal keadaan yang terdapat dalam keterangan terhadapnya, Mahkamah boleh pada mana-mana peringkat sesuatu perbicaraan, tanpa memberikan amaran terlebih dahulu kepada tertuduh, mengemukakan apa-apa soalan kepadanya sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Mahkamah.
(2) Jawapan yang diberikan oleh tertuduh bolehlah dipertimbangkan dalam perbicaraan itu dan dijadikan keterangan bagi atau terhadapnya dalam mana-mana perbicaraan bagi apa-apa kesalahan lain yang jawapan sedemikian berkecenderungan menunjukkan bahawa dia telah melakukannya.
(3) Pemeriksaan tertuduh hendaklah bagi maksud membolehkan dia menjelaskan apa-apa hal keadaan yang terdapat dalam keterangan terhadapnya dan tidak boleh menjadi suatu pemeriksaan am.
(4) Budi bicara yang diberikan oleh seksyen ini bagi menyoal tertuduh tidak boleh dijalankan bagi maksud mendorongnya membuat pernyataan yang menunjukkan dia telah melakukan jenayah.
(5) Soalan-soalan tidak boleh dikemukakan kepada tertuduh semata-mata untuk menyokong kes pihak pendakwa apabila terdapat kecacatan pada kes pihak pendakwa.
(6) Bilamana tertuduh diperiksa di bawah seksyen ini oleh Mahkamah, keseluruhan pemeriksaan itu termasuk tiap-tiap soalan yang dikemukakan kepadanya dan tiap-tiap jawapan yang diberikan olehnya hendaklah direkodkan dengan sepenuhnya, dan rekod itu hendaklah dibacakan kepadanya atau, jika dia tidak memahami bahasa yang digunakan, hendaklah diterjemahkan kepadanya dalam bahasa atau isyarat yang difahaminya, dan dia adalah bebas untuk menjelaskan atau menambah jawapannya.
(7) Apabila keseluruhan pemeriksaan itu telah menepati apa yang dinyatakan oleh tertuduh sebagai benar, maka rekod itu hendaklah ditandatangani oleh Hakim yang menjalankan perbicaraan itu.
Kes bagi pihak pendakwa hendaklah diterangkan oleh Mahkamah kepada tertuduh yang tak dibela
106. (1) Pada tiap-tiap perbicaraan jika dan apabila Mahkamah memanggil tertuduh untuk mengemukakan pembelaannya Mahkamah hendaklah, jika tertuduh tidak diwakili oleh Peguam Syarie, memberitahunya tentang haknya untuk mengangkat sumpah dan kesannya atau tentang haknya untuk memberikan keterangan bagi pihak dirinya sendiri, dan jika dia memilih untuk memberikan keterangan bagi pihak dirinya sendiri, hendaklah menarik perhatiannya kepada perkara-perkara utama dalam keterangan bagi pihak pendakwa terhadapnya supaya dia berpeluang untuk menjelaskannya.
(2) Kegagalan mana-mana tertuduh pada mana-mana perbicaraan untuk memberikan keterangan tidak boleh dijadikan oleh pihak pendakwa perkara kritikan yang memburuk-burukkan tertuduh itu.
Kuasa menangguhkan atau menunda perbicaraan
107. (1) Jika menjadi perlu atau patut untuk menangguhkan permulaan perbicaraan atau menunda apa-apa perbicaraan oleh sebab seseorang saksi tidak hadir atau apa-apa sebab yang munasabah yang lain, Mahkamah boleh, dari semasa ke semasa, menangguhkan atau menundanya atas apa-apa terma yang difikirkannya patut bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya munasabah dan boleh, melalui waran, menahan tertuduh jika dia dalam jagaan:
Dengan syarat bahawa tiada Hakim boleh menahan seseorang tertuduh dalam jagaan di bawah seksyen ini selama tempoh melebihi lapan hari pada setiap kali:
Dengan syarat selanjutnya bahawa jika seseorang Pegawai Perubatan Kerajaan telah memperakui bahawa pengadu tidak akan dapat memberikan keterangan sebelum sesuatu tarikh tertentu, tertuduh bolehlah ditahan sehingga ke tarikh itu walaupun tempoh tahanan mungkin melebihi lapan hari.
(2) Tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah seksyen ini oleh Mahkamah hendaklah secara bertulis, ditandatangani oleh Hakim yang menjalankan perbicaraan itu, dan hendaklah menyatakan sebab- sebab baginya.
Huraian—Jika keterangan yang mencukupi telah diperoleh untuk menimbulkan syak bahawa tertuduh mungkin telah melakukan suatu kesalahan yang ternyata ada kemungkinan bahawa keterangan selanjutnya boleh didapati melalui penahanan, maka ini adalah suatu sebab yang munasabah bagi penahanan.
Bertukar Hakim semasa pendengaran
108. Bilamana mana-mana Hakim, selepas mendengar dan merekodkan keseluruhan atau mana-mana bahagian keterangan dalam sesuatu perbicaraan, terhenti menjalankan bidang kuasa dalamnya dan digantikan oleh Hakim lain yang mempunyai dan yang menjalankan bidang kuasa itu, Hakim yang menjadi pengganti sedemikian boleh bertindak atas keterangan yang direkodkan sedemikian oleh pendulunya, atau yang sebahagiannya direkodkan oleh pendulunya dan sebahagiannya direkodkan olehnya sendiri, atau dia boleh memanggil semula saksi-saksi dan memulakan semula perbicaraan itu:
Dengan syarat bahawa—
(a) dalam mana-mana perbicaraan tertuduh boleh, apabila Hakim yang kedua itu memulakan prosidingnya, menuntut supaya saksi-saksi atau mana-mana daripada mereka dipanggil semula dan didengar semula;
(b) Mahkamah Rayuan yang berkenaan boleh, sama ada terdapat rayuan atau tidak, mengetepikan mana-mana sabitan yang dibuat atas keterangan yang tidak direkodkan sepenuhnya oleh Hakim yang di hadapannya sabitan itu dibuat, jika Mahkamah itu berpendapat bahawa tertuduh telah dimudaratkan secara material kerananya, dan bolehlah memerintahkan suatu perbicaraan baru.
Menahan pesalah yang hadir di Mahkamah
109. (1) Mana-mana orang yang menghadiri suatu Mahkamah, walaupun tidak ditangkap atau disaman, boleh ditahan oleh Mahkamah itu untuk diperiksa bagi apa-apa kesalahan yang boleh diambil perhatian oleh Mahkamah itu dan yang, daripada keterangan, ternyata telah dilakukan olehnya, dan bolehlah dijalankan tindakan terhadapnya seolah-olah dia telah ditangkap atau disaman.
(2) Apabila penahanan itu berlaku selepas suatu perbicaraan telah bermula, prosiding berkenaan dengan orang itu hendaklah dimulakan semula dan saksi-saksi didengar semula.
Hari kelepasan mingguan atau am
110. Tiada prosiding mana-mana Mahkamah boleh menjadi tak sah oleh sebab ia dijalankan pada hari kelepasan mingguan atau kelepasan am.
BAB 6
DARIHAL CARA MENGAMBIL DAN MEREKODKAN KETERANGAN DALAM PERBICARAAN
Keterangan hendaklah diambil di hadapan tertuduh
111. Segala keterangan yang diambil di bawah Enakmen ini hendaklah diambil di hadapan tertuduh.
Merekodkan keterangan
112. Dalam perbicaraan di bawah Enakmen ini oleh atau di hadapan seseorang Hakim, keterangan saksi-saksi hendaklah direkodkan mengikut cara yang diperuntukkan oleh Bab ini.
Rekod dalam semua kes
113. Dalam semua perbicaraan di hadapan mana-mana Mahkamah, keterangan setiap saksi hendaklah dicatatkan oleh Hakim yang menjalankan perbicaraan itu dalam tulisan tangan yang mudah dibaca dan hendaklah menjadi sebahagian daripada rekod.
Cara merekodkan keterangan
114. (1) Keterangan yang dicatatkan di bawah seksyen 113 tidak boleh pada lazimnya dicatatkan dalam bentuk soalan dan jawapan, tetapi dalam bentuk cerita.
(2) Hakim yang menjalankan perbicaraan boleh, menurut budi bicaranya, mencatatkan apa-apa soalan dan jawapan tertentu.
Menterjemahkan keterangan kepada tertuduh
115. (1) Bilamana apa-apa keterangan diberikan dalam bahasa atau isyarat yang tidak difahami oleh tertuduh, dan dia hadir sendiri, keterangan itu hendaklah diterjemahkan kepadanya di dalam Mahkamah terbuka dalam bahasa yang difahaminya.
(2) Apabila dokumen-dokumen dikemukakan bagi maksud pembuktian formal, maka hendaklah terpulang kepada budi bicara Mahkamah untuk mentafsirkannya setakat yang difikirkan perlu.
Pemerhatian tentang tingkah laku saksi
116. Seseorang Hakim yang menjalankan perbicaraan yang merekodkan keterangan seorang saksi boleh merekodkan apa-apa pemerhatian, jika ada, sebagaimana yang difikirkannya material berkenaan dengan tingkah laku saksi itu ketika dia periksa.
Orang lain boleh diberi kuasa mengambil nota keterangan
117. Tiada apa-apa jua dalam Bab ini boleh menghalang seorang Hakim dalam sesuatu perbicaraan untuk menyebabkan diambil nota kata demi kata oleh seorang lain mengenai apa yang dideposkan oleh setiap saksi sebagai tambahan kepada apa-apa nota mengenai isinya yang dibuat atau dicatatkan oleh Hakim itu sendiri, dan nota itu hendaklah menjadi sebahagian daripada rekod.
BAB 7
DARIHAL PENGHAKIMAN
Cara menyampaikan penghakiman
118. Penghakiman dalam tiap-tiap perbicaraan di dalam mana- mana Mahkamah hendaklah diumumkan di dalam Mahkamah terbuka, sama ada dengan serta-merta atau pada suatu masa kemudiannya yang mengenainya notis wajar hendaklah diberikan kepada pihak- pihak dalam perbicaraan itu atau Peguam Syarie mereka, dan tertuduh hendaklah, jika dalam jagaan, dibawa ke hadapan Mahkamah itu atau, jika tidak dalam jagaan, dikehendaki hadir untuk mendengar penghakiman disampaikan.
Penghakiman hendaklah dijelaskan kepada tertuduh dan salinan dibekalkan
119. Penghakiman itu hendaklah dijelaskan kepada tertuduh dan atas permohonannya suatu salinan penghakiman itu hendaklah diberikan kepadanya dengan percuma.
Penghakiman hendaklah difailkan bersama dengan rekod
120. Penghakiman asal hendaklah dicatatkan pada, dan jika bertulis difailkan bersama dengan, rekod prosiding.
BAB 8
DARIHAL HUKUMAN DAN PELAKSANAANNYA
Peruntukan tentang pelaksanaan hukuman pemenjaraan
121. Berkenaan dengan hukuman pemenjaraan, peruntukan yang berikut hendaklah diikuti:
(a) jika tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan, Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu hendaklah dengan segera menghantar suatu waran kepada penjara di mana dia akan dikurung dan, melainkan jika tertuduh telah sedia dikurung di penjara itu, hendaklah menghantarnya dalam jagaan polis atau Pegawai Penguatkuasa Agama ke penjara itu berserta dengan waran itu;
(b) tiap-tiap waran bagi pelaksanaan sesuatu hukuman pemenjaraan hendaklah diarahkan kepada pegawai yang menjaga penjara itu atau tempat lain di mana banduan itu sedang atau dikehendaki dikurung;
(c) apabila banduan itu dikehendaki dikurung di suatu penjara, waran itu hendaklah diserahsimpan dengan pegawai yang menjaga penjara itu;
(d) tiap-tiap hukuman pemenjaraan hendaklah berkuat kuasa mulai dari tarikh hukuman itu dijatuhkan melainkan jika Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu mengarahkan selainnya.
Peruntukan tentang hukuman denda
122. (1) Jika apa-apa denda dikenakan maka, sekiranya tiada apa- apa peruntukan yang memperuntukkan pengenaannya, peruntukan yang berikut hendaklah terpakai:
(a) dalam tiap-tiap kes mengenai sesuatu kesalahan yang baginya pesalah itu telah dihukum membayar denda, Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu boleh, menurut budi bicaranya, melakukan semua atau mana-mana perkara yang berikut:
(i) membenarkan masa untuk membayar denda itu;
(ii) mengarahkan pembayaran denda itu dibuat secara ansuran;
(iii) mengeluarkan suatu waran untuk melevikan jumlah itu melalui distres dan penjualan apa-apa harta kepunyaan pesalah itu;
(iv) mengarahkan bahawa sekiranya terdapat keingkaran membayar denda persalah itu hendaklah menjalani hukuman pemenjaraan selama suatu tempoh tertentu, dan pemenjaraan itu hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman pemenjaraan yang lain yang mungkin dikenakan ke atasnya;
(b) tempoh yang baginya Mahkamah mengarahkan pesalah itu dipenjarakan kerana keingkaran membayar denda tidak boleh melebihi skala yang berikut:
(i) jika kesalahan itu boleh dihukum dengan pemenjaraan—
Jika tempoh maksimum Tempohnya tidak pemenjaraan— boleh melebihi—
tidak melebihi enam tempoh maksimum bulan pemenjaraan
melebihi enam bulan enam bulan tetapi tidak melebihi dua
tahun
melebihi dua tahun satu perempat
daripada tempoh maksimum pemenjaraan;
(ii) jika kesalahan itu tidak boleh dihukum dengan pemenjaraan—
Jika denda itu Tempoh tidak boleh
melebihi—
tidak melebihi dua ratus satu bulan ringgit
melebihi dua ratus ringgit dua bulan tetapi tidak melebihi lima
ratus ringgit
melebihi lima ratus ringgit enam bulan;
(c) hukuman pemenjaraan yang dikenakan kerana keingkaran membayar denda hendaklah tamat bilamana denda itu sama ada dibayar atau dilevikan melalui proses undang- undang;
(d) jika, sebelum habis tempoh hukuman pemenjaraan yang ditetapkan kerana keingkaran membayar denda, apa-apa bahagian denda itu dibayar atau dilevikan sehinggakan tempoh pemenjaraan yang dijalani kerana keingkaran membayar denda itu adalah tidak kurang kadarnya berbanding bahagian denda yang masih tidak dibayar itu, maka hukuman penjara itu hendaklah ditamatkan;
(e) denda itu, atau mana-mana bahagiannya yang masih tidak dibayar, bolehlah dilevikan pada bila-bila masa dalam masa enam tahun selepas hukuman itu dijatuhkan, dan kematian pesalah itu hendaklah melepaskannya daripada denda itu.
(2) Waran untuk melevikan sesuatu denda boleh dilaksanakan di mana-mana tempat di Malaysia, tetapi jika ia dikehendaki dilaksanakan di luar Negeri Selangor, ia hendaklah diendorskan bagi maksud itu oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
Penggantungan pelaksanaan dalam kes tertentu
123. Apabila seseorang pesalah telah dihukum dengan hukuman denda sahaja dan hukuman pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda itu dan Mahkamah mengeluarkan waran di bawah seksyen 122, Mahkamah boleh menggantung pelaksanaan hukuman pemenjaraan itu dan boleh melepaskan pesalah itu apabila dia menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin-penjamin sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah, yang mensyaratkan dia hadir di hadapan Mahkamah itu pada hari yang ditetapkan bagi pengembalian waran itu yang tidak lebih daripada lima belas hari dari masa bon itu dilaksanakan; dan sekiranya denda itu tidak dibayar juga Mahkamah boleh mengarahkan supaya hukuman pemenjaraan itu dilaksanakan dengan serta-merta.
Siapa yang boleh mengeluarkan waran
124. Tiap-tiap waran bagi pelaksanaan apa-apa hukuman bolehlah dikeluarkan sama ada oleh Hakim yang menjatuhkan hukuman itu atau oleh penggantinya atau Hakim lain yang memangku jawatannya.
Hukuman sebat
125. (1) Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.
(2) Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi
1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
(3) Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu—
(a) sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;
(b) jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana- mana yang berkenaan;
(c) hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu;
(d) orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;
(e) orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;
(f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;
(g) sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;
(h) pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;
(i) jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;
(j) jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.
(4) Dalam hal pesalah itu dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.
(5) Jika Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada Mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan mengikut cara yang difikirkannya munasabah.
Huraian—Umur tua ertinya telah mencapai umur lima puluh tahun atau lebih.
Masa melaksanakan hukuman sebat
126. (1) Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman pemenjaraan, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan yang berkenaan.
(2) Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.
Bermulanya hukuman pemenjaraan ke atas banduan yang telah sedia menjalani hukuman pemenjaraan
127. (1) Apabila seseorang yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan dihukum dengan hukuman pemenjaraan, hukuman
pemenjaraan itu hendaklah bermula sama ada dengan serta-merta atau apabila habis tempoh hukuman pemenjaraan yang telah dikenakan sebelum itu, sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu.
(2) Tiada apa-apa jua dalam subseksyen (1) boleh dianggap sebagai melepaskan mana-mana orang daripada mana-mana bahagian hukuman yang dikenakan ke atasnya kerana sabitannya yang dahulu atau yang kemudian.
Pesalah muda
128. (1) Apabila mana-mana pesalah muda disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau pemenjaraan, Mahkamah itu hendaklah, sebagai ganti apa-apa tempoh pemenjaraan kerana keingkaran membayar denda atau hukuman pemenjaraan—
(a) memerintahkan pesalah itu dilepaskan selepas teguran wajar diberikan jika difikirkan patut oleh Mahkamah; atau
(b) memerintahkan pesalah itu diserahkan kepada ibu atau bapa atau penjaganya atau saudara dewasanya yang terdekat atau kepada mana-mana orang lain, sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah, apabila ibu atau bapa, penjaga, waris atau orang lain itu menyempurnakan bon dengan penjamin, sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahkamah, bahawa dia akan bertanggungjawab bagi kelakuan baik pesalah itu selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan atau, tanpa menghendaki mana-mana orang mengikat apa-apa bon, membuat suatu perintah berkenaan dengan pesalah itu yang memerintahnya supaya berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun dan mengandungi apa-apa arahan kepada pesalah itu mengikut jenis syarat-syarat yang disebut dalam perenggan 130(a), (b) dan (c) yang difikirkan oleh Mahkamah itu patut diberikan.
(2) Mahkamah yang di hadapannya seorang pesalah muda disabitkan boleh, sebagai tambahan atau sebagai ganti menghukum pesalah itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam seksyen ini, mengenakan ke atas ibu atau bapa atau penjaganya denda yang
tidak melebihi dua ratus ringgit dalam mana-mana kes yang Mahkamah itu, selepas siasatan ringkas, berpuas hati bahawa ibu atau bapa atau penjaga itu telah, dengan sebab mereka cuai dalam menjaganya dengan sepatutnya atau selainnya, menyumbang kepada salah laku pesalah itu:
Dengan syarat bahawa tiada ibu atau bapa atau penjaga boleh didenda tanpa dia diberi peluang untuk didengar dan, jika dia berhasrat demikian, mengemukakan keterangan untuk membela dirinya.
Pesalah kali pertama
129. (1) Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda telah disabitkan di hadapan mana-mana Mahkamah atas apa- apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka jika didapati oleh Mahkamah itu bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu atau kepada apa-apa hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan adalah suaimanfaat bahawa pesalah itu dilepaskan dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin dan sepanjang apa-apa tempoh sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah untuk hadir dan menerima penghakiman jika dan apabila dipanggil dan sementara itu hendaklah berkelakuan baik.
(2) Jika Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk memperlakukan pesalah itu berkenaan dengan kesalahan asalnya berpuas hati bahawa pesalah itu telah tidak mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan suatu waran bagi pemberkasannya.
(3) Mana-mana pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim, dan Hakim itu boleh sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga
bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya, atau boleh membenarkan dia mengikat jamin dengan penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.
(4) Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya hendaklah memerintahkan supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan jawapan tentang kelakukannya sejak dia dilepaskan.
Syarat bon
130. Apabila mana-mana orang dikehendaki oleh mana-mana Mahkamah supaya menyempurnakan suatu bon dengan penjamin- penjamin, dan dalam bon itu orang yang menyempurnakannya mengikat dirinya untuk menjaga keamanan atau mengikat dirinya untuk berkelakuan baik, Mahkamah boleh menghendaki supaya dimasukkan dalam bon itu satu daripada syarat-syarat yang berikut atau lebih, iaitu—
(a) suatu syarat bahawa orang itu hendaklah berada di bawah pengawasan seseorang lain yang dinamakan dalam bon itu selama apa-apa tempoh yang dinyatakan dalamnya;
(b) apa-apa syarat bagi memastikan apa-apa pengawasan yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan;
(c) apa-apa syarat mengenai tempat kediaman, pekerjaan, pergaulan, penjauhan daripada minuman keras atau dadah atau mengenai apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan.
Pengembalian waran
131. Apabila sesuatu hukuman telah dilaksanakan sepenuhnya, pegawai yang melaksanakannya hendaklah mengembalikan waran itu kepada Mahkamah yang mengeluarkannya dengan suatu pengendorsan di bawah tandatangannya yang memperakui cara bagaimana hukuman itu telah dilaksanakan.
BAB 9
DARIHAL PENGGANTUNGAN, PEREMITAN DAN PERINGANAN HUKUMAN
Kuasa untuk menggantung atau meremitkan hukuman
132. (1) Apabila mana-mana orang telah dihukum bagi sesuatu kesalahan, Duli Yang Maha Mulia Sultan atas nasihat Mufti boleh pada bila-bila masa, tanpa syarat, atau dengan apa-apa syarat yang diterima oleh orang yang dihukum itu, menggantung atau meremitkan pelaksanaan keseluruhan atau mana-mana bahagian hukuman itu.
(2) Bilamana sesuatu permohonan dibuat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan bagi penggantungan atau peremitan sesuatu hukuman, Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh menghendaki Hakim yang membuat sabitan itu supaya menyatakan pendapatnya tentang sama ada permohonan itu boleh dibenarkan atau ditolak dan Hakim itu hendaklah menyatakan pendapatnya dengan sewajarnya.
(3) Jika mana-mana syarat yang berdasarkannya sesuatu hukuman telah digantung atau diremitkan telah tidak, pada pendapat Duli Yang Maha Mulia Sultan, dipenuhi, Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh membatalkan penggantungan atau peremitan itu; dan dengan itu orang yang bagi faedahnya hukuman itu telah digantung atau diremitkan boleh, jika dia telah dilepaskan, ditangkap oleh mana- mana Pegawai Polis atau Pegawai Penguatkuasa Agama tanpa waran dan ditahan oleh seorang Hakim untuk menjalani bahagian hukuman yang belum habis itu.
Kuasa untuk meringankan hukuman
133. Duli Yang Maha Mulia Sultan atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang telah dihukum, meringankan mana- mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu—
(a) sebat;
(b) pemenjaraan; atau
(c) denda.
BAB 10
DARIHAL PEMBEBASAN ATAU SABITAN TERDAHULU
Orang yang telah disabitkan atau dibebaskan tidak boleh dibicarakan semula bagi kesalahan yang sama
134. (1) Seseorang yang telah dibicarakan bagi sesuatu kesalahan oleh suatu Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten dan telah disabitkan atau dibebaskan atas kesalahan itu tidak boleh, selagi sabitan atau pembebasan itu berkuat kuasa, dibicarakan semula bagi kesalahan yang sama atau atas fakta-fakta yang sama bagi apa-apa kesalahan lain yang baginya suatu pertuduhan yang lain daripada pertuduhan yang dibuat terhadapnya boleh dibuat di bawah seksyen 91 atau yang atasnya dia boleh disabitkan di bawah seksyen 92.
(2) Seseorang yang telah dibebaskan atau disabitkan atas apa- apa kesalahan yang berlainan yang baginya suatu pertuduhan berasingan mungkin boleh dibuat terhadapnya pada perbicaraan yang dahulu itu di bawah subseksyen 90(1).
(3) Seseorang yang telah disabitkan atas mana-mana kesalahan yang wujud melalui apa-apa perbuatan yang menyebabkan akibat yang, bersama dengan perbuatan itu, mewujudkan suatu kesalahan yang lain daripada kesalahan yang atasnya dia telah disabitkan, boleh kemudiannya dibicarakan bagi kesalahan yang akhir disebut itu, jika akibat itu belum berlaku atau tidak diketahui oleh Mahkamah telah berlaku pada masa dia disabitkan.
(4) Seseorang yang telah dibebaskan atau disabitkan atas apa- apa kesalahan yang wujud melalui apa-apa perbuatan boleh, walaupun dia dibebaskan atau disabitkan sedemikian, kemudiannya dipertuduh atas dan dibicarakan bagi apa-apa kesalahan lain yang wujud melalui perbuatan yang sama yang mungkin telah dilakukannya, jika Mahkamah yang membicarakannya pada kali pertama tidak kompeten untuk membicarakan kesalahan yang atasnya dia dipertuduh kemudiannya.
(5) Pembuangan sesuatu aduan, atau pelepasan tertuduh, bukanlah suatu pembebasan bagi maksud seksyen ini.
Alasan pembebasan atau sabitan terdahulu
135. (1) Alasan pembebasan atau sabitan terdahulu bolehlah dikemukakan sama ada secara lisan atau bertulis yang menyatakan bahawa menurut kuasa seksyen 134 tertuduh tidak boleh dibicarakan.
(2) Alasan sedemikian bolehlah dikemukakan bersama dengan apa-apa alasan lain, tetapi isu yang ditimbulkan oleh alasan sedemikian hendaklah dibicarakan dan dibereskan sebelum isu-isu yang ditimbulkan oleh alasan lain itu dibicarakan.
BAHAGIAN VI
DARIHAL RAYUAN DAN PENYEMAKAN
BAB 1
DARIHAL RAYUAN KEPADA MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
Apabila akuan bersalah menghadkan hak rayuan
136. Apabila seseorang tertuduh telah mengaku salah dan disabitkan oleh Hakim atas akuan itu, maka tiada rayuan boleh dibuat kecuali tentang takat atau keesahan hukuman itu.
Rayuan terhadap pembebasan
137. Apabila seseorang tertuduh telah dibebaskan oleh Hakim, maka tiada rayuan boleh dibuat kecuali oleh, atau dengan keizinan bertulis daripada, Ketua Pendakwa Syarie.
Tatacara rayuan
138. (1) Tertakluk kepada seksyen 136 dan 137, mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan mana-mana penghakiman, hukuman atau perintah yang diumumkan oleh mana-mana Mahkamah Rendah Syariah dalam sesuatu kes atau perkara jenayah yang kepadanya dia ialah suatu pihak, boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap penghakiman, hukuman atau perintah itu berkenaan dengan apa-apa kesilapan undang-undang atau fakta atau atas alasan bahawa mana-mana hukuman dikatakan keras berlebih-lebihan atau dikatakan tak memadai, dengan mengemukakan, dalam masa empat belas hari dari masa penghakiman, hukuman
atau perintah itu dijatuhkan atau dibuat, kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah itu suatu notis rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Tiap-tiap notis rayuan hendaklah mengandungi suatu alamat di mana apa-apa notis atau dokumen berkaitan dengan rayuan itu boleh disampaikan kepada perayu atau kepada Peguam Syarienya.
(3) Apabila sesuatu notis rayuan telah dimasukkan, Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat hendaklah membuat suatu salinan bertandatangan bagi alasan keputusan dalam kes itu dan menyebabkan alasan keputusan itu disampaikan kepada perayu atau Peguam Syarienya dengan meninggalkan salinan itu di alamat yang disebut dalam notis rayuan itu atau dengan menghantarnya melalui pos berdaftar yang dialamatkan kepada perayu di alamat itu.
(4) Dalam masa sepuluh hari selepas salinan alasan keputusan itu disampaikan menurut subseksyen (3), perayu hendaklah mengemukakan kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di mana perbicaraan itu telah diadakan, suatu petisyen rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.
(5) Jika perayu dalam masa yang diperuntukkan dalam subseksyen
(1) bagi pengemukaan notis rayuannya telah memohon suatu salinan nota-nota keterangan yang direkodkan oleh Hakim semasa perbicaraannya, dia hendaklah mengemukakan petisyen rayuannya sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (4)—
(a) dalam masa yang diperuntukkan oleh subseksyen itu; atau
(b) dalam masa sepuluh hari dari tarikh notis ditinggalkan di alamatnya bagi penyampaian yang dinyatakan dalam subseksyen (2) bahawa suatu salinan nota-nota keterangan boleh didapati dengan percuma,
mengikut mana-mana tempoh yang lebih panjang.
(6) Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah menyatakan dengan ringkas isi penghakiman yang terhadapnya rayuan dibuat, dan hendaklah mengandungi butir-butir yang tentu mengenai perkara-
perkara undang-undang atau mengenai fakta yang berkenaan dengannya Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat dikatakan telah silap.
(7) Jika perayu berada di dalam penjara, dia hendaklah disifatkan telah mematuhi kehendak seksyen ini jika dia memberi pegawai yang menjaga penjara itu notis rayuan sama ada secara lisan atau bertulis dan butir-butir yang dikehendaki dimasukkan dalam petisyen rayuan dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen ini dan membayar fi rayuan yang ditetapkan.
(8) Pegawai yang menjaga penjara itu hendaklah dengan segera menghantar notis dan petisyen itu atau yang berupa sebagai notis dan petisyen itu kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di mana perbicaraan itu telah diadakan.
(9) Jika sesuatu petisyen rayuan tidak dikemukakan dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen ini, rayuan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik dan Mahkamah perbicaraan hendaklah menguatkuasakan hukuman atau perintahnya jika apa-apa penggantungan pelaksanaan telah dibenarkan, tetapi tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyekat kuasa yang diberikan kepada Hakim oleh seksyen 140.
Penghantaran rekod rayuan
139. Apabila perayu telah mematuhi seksyen 138, Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat hendaklah menghantar kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan kepada Ketua Pendakwa Syarie dan kepada perayu atau Peguam Syarienya suatu salinan bertandatangan bagi rekod prosiding dan alasan keputusan bersama dengan suatu salinan notis dan petisyen rayuan.
Rayuan yang dibenarkan secara khas dalam kes tertentu
140. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah boleh, atas permohonan mana-mana orang yang ingin merayu yang dihalangi daripada berbuat demikian atas alasan dia tidak mematuhi sesuatu formaliti atau sesuatu kehendak Enakmen ini, membenarkan rayuan atas apa-apa terma dan dengan apa-apa arahan kepada Mahkamah Rendah Syariah dan kepada pihak-pihak itu sebagaimana yang pada pendapat Hakim
itu adalah patut, supaya keadilan substansial boleh dilakukan dalam perkara itu, dan boleh, bagi maksud itu, melanjutkan apa-apa tempoh masa yang ditetapkan oleh subseksyen 138(1) atau (4).
Penggantungan pelaksanaan sementara menanti rayuan
141. Kecuali dalam hal hukuman sebat, yang pelaksanaannya hendaklah ditangguhkan sementara menanti rayuan, tiada rayuan boleh berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan, tetapi Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat atau Mahkamah Tinggi Syariah boleh menggantung pelaksanaan mana- mana penghakiman, perintah, sabitan atau hukuman sementara menanti rayuan, atas apa-apa terma tentang jaminan bagi pembayaran apa-apa wang atau pelaksanaan atau ketaklaksanaan mana-mana perbuatan atau penjalanan mana-mana hukuman yang diperintahkan oleh atau dalam penghakiman, perintah, sabitan atau hukuman itu sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat atau oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
Menetapkan rayuan dalam senarai
142. (1) Apabila diterima dokumen yang disebut dalam seksyen 139, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah menomborkan rayuan itu dan memasukkannya dalam senarai rayuan untuk didengar dan memberi pihak-pihak dalam rayuan itu notis bahawa rayuan itu telah dimasukkan sedemikian.
(2) Dengan seberapa segera selepas tarikh itu ditetapkan, Pendaftar hendaklah memberi pihak-pihak itu notis mengenai tarikh pendengaran rayuan itu.
(3) Dalam mana-mana kes Hakim Mahkamah Tinggi Syariah boleh, atas usulnya sendiri atau atas permohonan suatu pihak yang berkenaan dan dengan notis yang munasabah kepada pihak-pihak dalam kes itu, mempercepat atau menangguhkan pendengaran sesuatu rayuan.
Tatacara pada pendengaran
143. (1) Apabila tiba masa untuk mendengar rayuan, perayu hendaklah didengar terlebih dahulu untuk menyokong rayuan itu,
kemudian responden hendaklah didengar untuk menentangnya, dan perayu hendaklah berhak untuk menjawab.
(2) Jika perayu tidak hadir untuk menyokong rayuannya, Mahkamah boleh menimbangkan rayuannya dan boleh membuat apa-apa keputusan tentangnya yang difikirkannya patut:
Dengan syarat bahawa Mahkamah boleh enggan menimbangkan rayuan itu atau membuat apa-apa perintah sedemikian dalam kes perayu yang berada di luar bidang kuasa atau yang tidak hadir sendiri di hadapan Mahkamah menurut syarat yang dikenakan apabila dia dibenarkan dijamin, kecuali atas terma-terma yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan.
Ketakhadiran responden
144. Jika, pada pendengaran rayuan itu, responden tidak hadir, Mahkamah tidak boleh membuat apa-apa perintah dalam perkara rayuan itu yang bertentangan atau yang memudaratkan responden, tetapi hendaklah menangguhkan pendengaran rayuan itu ke suatu hari pada masa hadapan bagi kehadirannya, dan hendaklah mengeluarkan notis yang diperlukan kepadanya untuk disampaikan melalui Pendaftar.
Menangkap responden dalam kes-kes tertentu
145. Apabila suatu rayuan dikemukakan terhadap sesuatu pembebasan, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah bolehlah mengeluarkan suatu waran yang mengarahkan supaya tertuduh ditangkap dan dibawa ke hadapannya, dan boleh membenarkan dia mengikat jaminan sementara menanti rayuan itu dibereskan.
Keputusan mengenai rayuan
146. Pada pendengaran sesuatu rayuan Mahkamah Tinggi Syariah boleh, jika ia berpendapat bahawa tiada alasan yang mencukupi untuk campurtangan, menolak rayuan itu atau boleh—
(a) dalam rayuan terhadap suatu perintah pembebasan, mengakaskan perintah itu dan mengarahkan bahawa tertuduh hendaklah dibicarakan semula, atau mendapatinya bersalah dan menjatuhkan hukuman ke atasnya mengikut undang-undang;
(b) dalam rayuan daripada suatu sabitan atau dalam rayuan tentang hukuman—
(i) mengakaskan dapatan dan hukuman itu dan membebaskan atau melepaskan tertuduh, atau memerintahkan supaya dia dibiacarakan semula; atau
(ii) mengubah dapatan, dengan mengekalkan hukuman, atau dengan atau tanpa mengubah dapatan itu, mengurangkan atau menambah hukuman atau mengubah jenis hukuman itu;
(c) dalam rayuan daripada apa-apa perintah lain, mengubah atau mengakaskan perintah itu.
Perintah untuk mengambil keterangan lanjut
147. (1) Dalam menguruskan apa-apa rayuan di bawah Bab ini, Mahkamah Tinggi Syariah, jika difikirkannya bahawa keterangan tambahan adalah perlu, boleh sama ada mengambil keterangan itu sendiri atau mengarahkan supaya keterangan itu diambil oleh Mahkamah Rendah Syariah.
(2) Apabila keterangan tambahan diambil oleh Mahkamah Rendah Syariah, ia hendaklah memaklumkan keterangan itu kepada Mahkamah Tinggi Syariah yang sesudah itu hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh, menyelesaikan rayuan itu.
(3) Melainkan jika Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan selainnya, tertuduh atau Peguam Syarienya hendaklah hadir apabila keterangan tambahan itu diambil.
Penghakiman
148. Apabila tamat pendengaran rayuan, Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah, sama ada dengan serta merta atau kemudiannya pada suatu tarikh yang ditetapkan bagi maksud itu yang notis mengenainya hendaklah diberikan kepada pihak-pihak dalam rayuan itu, menyampaikan penghakiman di dalam Mahkamah terbuka.
Perakuan dan akibat penghakiman
149. (1) Bilamana sesuatu kes yang dirayukan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di bawah Bab ini, ia hendaklah memaklumkan penghakiman atau perintahnya kepada Mahkamah yang merekodkan atau menjatuhkan dapatan, hukuman atau perintah yang dirayukan itu.
(2) Bilamana sesuatu rayuan tidak ditolak, perakuan sedemikian hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkan rayuan itu telah dibenarkan atau keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diubah.
(3) Mahkamah yang kepadanya Mahkamah Tinggi Syariah memaklumkan penghakiman atau perintahnya hendaklah sesudah itu membuat apa-apa perintah yang menepati penghakiman atau perintah Mahkamah Tinggi Syariah itu dan, jika perlu, rekod hendaklah dipinda mengikutnya.
Kematian pihak kepada rayuan
150. Tiap-tiap rayuan di bawah seksyen 137 hendaklah terhenti secara muktamad dengan kematian tertuduh, dan tiap-tiap rayuan lain di bawah Bab ini hendaklah terhenti secara muktamad dengan kematian perayu.
Kos
151. (1) Tertakluk kepada subseksyen yang berikut, dalam semua prosiding di bawah Bab ini dan Bab 3, Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai kuasa untuk mengaward apa-apa kos yang difikirkannya patut dibayar oleh pengadu kepada tertuduh atau oleh tertuduh kepada pengadu:
Dengan syarat bahawa tiada kos boleh diawardkan dalam mana- mana prosiding yang dibawa terhadap suatu perintah pembebasan.
(2) Kos itu hendaklah ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada masa ia memberikan keputusannya.
(3) Walau bagaimanapun, tiada kos boleh diawardkan sama ada terhadap atau memihak kepada Pendakwa.
BAB 2
DARIHAL RAYUAN KEPADA MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH
Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah
152. (1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan oleh mana- mana orang yang disabitkan atau selainnya didapati bersalah atau oleh Ketua Pendakwa Syarie terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah yang menjalankan bidang kuasa asal jenayahnya, tertakluk kepada Enakmen ini atau mana- mana undang-undang bertulis lain yang mengawalselia terma-terma dan syarat-syarat yang berdasarkannya rayuan-rayuan jenayah boleh dibawa.
(2) Jika seseorang tertuduh telah mengaku salah dan disabitkan atas akuan itu, maka tiada rayuan boleh dibuat kecuali tentang takat atau keesahan hukuman.
(3) Notis mana-mana rayuan oleh Ketua Pendakwa Syarie hendaklah diberikan oleh, atau dengan persetujuan bertulis daripada, pegawai itu sahaja.
(4) Rayuan boleh dibuat tentang sesuatu persoalan fakta atau persoalan undang-undang atau campuran persoalan fakta dan undang- undang.
(5) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara-perkara yang dibawa ke hadapannya mengikut seksyen 166 atau 167.
Notis rayuan
153. (1) Tiap-tiap rayuan hendaklah dibuat dengan notis bertulis yang hendaklah difailkan dengan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, di tempat keputusan yang dirayukan itu telah diberikan, dalam masa empat belas hari dari tarikh keputusan itu.
(2) Tiap-tiap notis rayuan hendaklah menyatakan secara ringkas isi penghakiman yang terhadapnya rayuan dibuat, hendaklah mengandungi alamat di mana apa-apa notis atau dokumen berkaitan
dengan rayuan itu boleh disampaikan kepada perayu atau kepada Peguam Syarienya, dan, kecuali jika notis rayuan itu diberikan secara lisan di bawah seksyen 156, hendaklah ditandatangani oleh perayu atau Peguam Syarienya.
Rekod prosiding
154. (1) Apabila suatu notis rayuan telah difailkan, Hakim yang memberikan keputusan itu hendaklah, jika dia belum menulis penghakimannya, merekodkan alasan-alasan keputusannya secara bertulis, dan penghakiman bertulis atau alasan-alasan keputusan itu hendaklah menjadi sebahagian daripada rekod prosiding itu.
(2) Dengan seberapa segera yang mungkin selepas notis rayuan difailkan, Pendaftar hendaklah menyebabkan disampaikan kepada perayu atau Peguam Syarienya suatu salinan rekod prosiding itu.
Petisyen rayuan
155. (1) Dalam masa sepuluh hari selepas tarikh penyampaian rekod yang disebutkan dalam subseksyen 154(2), perayu hendaklah memfailkan dengan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah suatu petisyen rayuan dan lima salinannya yang dialamatkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah.
(2) Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah ditandatangani oleh perayu atau Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi butir- butir tentang perkara-perkara undang-undang atau fakta yang berkenaan dengannya Mahkamah perbicaraan dikatakan telah silap, dan, kecuali dengan kebenaran Mahkamah Rayuan Syariah, perayu tidak boleh semasa pendengaran rayuan itu dibenarkan bergantung atas apa-apa alasan rayuan selain daripada yang dinyatakan dalam petisyen itu.
(3) Jika suatu petisyen tidak difailkan dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen ini, rayuan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik, tetapi tiada apa-apa jua dalam subseksyen ini boleh disifatkan menghadkan atau menyekat kuasa untuk melanjutkan masa yang diberikan kepada Mahkamah Rayuan Syariah oleh seksyen 158.
Tatacara jika perayu di dalam penjara
156. (1) Jika perayu berada di dalam penjara, dia hendaklah disifatkan telah mematuhi kehendak seksyen 153 dan 155 jika dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen-seksyen itu dia memberi pegawai yang menjaga penjara itu notis rayuan sama ada secara lisan atau bertulis dan butir-butir yang dikehendaki dimasukkan dalam petisyen rayuan.
(2) Pegawai penjara itu hendaklah dengan segera menghantar notis dan petisyen itu atau yang berupa sebagai notis dan petisyen itu kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di tempat keputusan yang dirayukan itu telah diberikan.
Penghantaran rekod kepada Mahkamah Rayuan Syariah
157. (1) Apabila perayu telah mematuhi seksyen 153 dan 155, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah dengan segera menghantar kepada Mahkamah Rayuan Syariah empat salinan rekod prosiding kes itu, bersama dengan empat salinan notis rayuan dan petisyen rayuan.
(2) Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah juga memberi responden atau Peguam Syarienya suatu salinan rekod prosiding kes itu dan suatu salinan notis rayuan dan petisyen rayuan itu.
Rayuan selepas tamat tempoh dan kecacatan formal
158. Mahkamah Rayuan Syariah boleh menurut budi bicaranya, atas permohonan mana-mana orang yang ingin merayu yang dihalangi daripada berbuat demikian oleh sebab dia tidak mematuhi sesuatu formaliti atau sesuatu kehendak Enakmen ini, membenarkan sesuatu rayuan atas apa-apa terma dan dengan apa-apa arahan yang difikirkannya patut supaya keadilan substansial boleh dilakukan dalam perkara itu, dan boleh, bagi maksud itu, melanjutkan apa- apa tempoh masa yang ditetapkan oleh seksyen 153 atau 155.
Apabila rayuan dibuat terhadap pembebasan, tertuduh boleh ditangkap
159. Jika suatu rayuan dikemukakan terhadap sesuatu pembebasan, Mahkamah Rayuan Syariah boleh mengeluarkan waran yang
mengarahkan supaya tertuduh ditangkap dan dibawa ke hadapannya dan boleh memerintahkan dia ditahan dipenjara sementara menanti rayuan itu dibereskan atau membenarkan dia mengikat jamin.
Rayuan tidak boleh berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan
160. (1) Kecuali dalam kes-kes yang disebut dalam subseksyen
(3) dan seksyen 159, tiada rayuan boleh berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan tetapi Mahkamah perbicaraan atau Mahkamah Rayuan Syariah boleh menggantung pelaksanaan mana- mana penghakiman, perintah, sabitan atau hukuman sementara menanti rayuan atas apa-apa terma tentang jaminan bagi pembayaran apa-apa wang atau pelaksanaan atau ketaklaksanaan apa-apa perbuatan atau penjalanan mana-mana hukuman yang diperintahkan oleh atau dalam penghakiman, perintah, sabitan atau hukuman itu sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.
(2) Jika perayu kesudahannya dihukum dengan hukuman pemenjaraan, tempoh pelaksanaan hukuman itu digantung hendaklah ditolak semasa menghitung tempoh hukumannya melainkan jika Mahkamah Rayuan Syariah memerintahkan selainnya.
(3) Dalam kes sabitan yang melibatkan hukuman sebat—
(a) hukuman itu tidak boleh dalam mana-mana kes dilaksanakan sehingga selepas habis tempoh masa notis rayuan boleh diberikan di bawah seksyen 153, atau apa- apa pelanjutan tempoh di bawah seksyen 158; dan
(b) jika notis diberikan sedemikian, hukuman itu tidak boleh dilaksanakan sehingga selepas rayuan itu diputuskan.
Notis mengenai masa dan tempat pendengaran
161. Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah menyebabkan notis mengenai masa dan tempat bagi pendengaran rayuan itu diberikan kepada pihak-pihak kepada rayuan itu.
Kuasa Mahkamah Rayuan Syariah
162. (1) Semasa pendengaran sesuatu rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mendengar perayu atau Peguam Syarienya jika
dia hadir dan, jika difikirkannya patut, responden atau Peguam Syarienya, jika dia hadir, dan boleh mendengar perayu atau Peguam Syarienya menjawab dan Mahkamah Rayuan Syariah boleh sesudah itu mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, atau boleh memerintahkan suatu perbicaraan semula atau boleh menghantar balik perkara itu berserta dengan pendapat Mahkamah Rayuan Syariah mengenainya kepada Mahkamah perbicaraan, atau boleh membuat apa-apa perintah lain dalam perkara itu sebagaimana yang difikirkannya adil, dan boleh melalui perintah itu menjalankan apa-apa kuasa yang boleh dijalankan oleh Mahkamah perbicaraan.
(2) Pada pendengaran sesuatu rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah boleh, jika difikirkannya bahawa suatu hukuman yang lain sepatutnya telah dijatuhkan, membatalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah perbicaraan dan menjatuhkan apa-apa hukuman lain yang diwajarkan oleh undang-undang, sama ada lebih atau kurang beratnya, sebagai menggantikan hukuman asal sebagaimana yang difikirkannya sepatutnya telah dijatuhkan.
Keterangan tambahan
163. (1) Dalam menguruskan apa-apa rayuan dalam sesuatu kes jenayah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh, jika difikirkannya bahawa keterangan tambahan adalah perlu, sama ada mengambil keterangan itu sendiri atau mengarahkan supaya keterangan itu diambil oleh Mahkamah perbicaraan.
(2) Apabila keterangan tambahan diambil oleh Mahkamah perbicaraan, ia hendaklah memaklumkan keterangan itu, dengan suatu pernyataan pendapatnya mengenai kes yang dipertimbangkan itu dengan mengambil kira keterangan tambahan itu, kepada Mahkamah Rayuan Syariah, dan Mahkamah itu hendaklah sesudah itu membereskan rayuan itu.
(3) Pihak-pihak kepada rayuan itu hendaklah hadir semasa keterangan tambahan diambil.
(4) Dalam menguruskan apa-apa rayuan dalam apa-apa kes jenayah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh juga, jika difikirkannya patut, meminta dan menerima daripada Mahkamah perbicaraan
suatu laporan mengenai apa-apa perkara yang berkaitan dengan perbicaraan itu.
Penghakiman
164. (1) Apabila tamat pendengaran apa-apa rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah, sama ada dengan serta merta atau kemudiannya pada suatu tarikh yang ditetapkan bagi maksud itu yang notis mengenainya hendaklah diberikan kepada pihak-pihak dalam rayuan itu, menyampaikan penghakiman di dalam Mahkamah terbuka.
(2) Dalam rayuan dan perkara jenayah, Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah pada lazimnya memberikan hanya satu penghakiman yang boleh diumumkan oleh Pengerusi atau oleh mana-mana anggota lain Mahkamah Rayuan Syariah sebagaimana yang diarahkan oleh Pengerusi, tetapi penghakiman yang berasingan boleh disampaikan jika Pengerusi menentukan sedemikian.
(3) Penghakiman mana-mana anggota Mahkamah Rayuan Syariah yang tidak hadir boleh dibacakan oleh mana-mana Hakim lain.
Penghakiman atau perintah hendaklah dimaklumkan kepada Mahkamah perbicaraan
165. (1) Bilamana sesuatu kes yang dirayukan diputuskan, Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah memaklumkan penghakiman atau perintahnya kepada Mahkamah perbicaraan.
(2) Mahkamah perbicaraan hendaklah sesudah itu membuat apa- apa perintah yang menetapi penghakiman atau perintah Mahkamah Rayuan Syariah dan, jika perlu, rekod hendaklah dipinda mengikutnya.
(3) Apabila mana-mana rayuan ditarik balik atau diberhentikan, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah memberitahu Mahkamah perbicaraan sewajarnya dan, jika apa-apa penggantungan pelaksanaan telah dibenarkan, hukuman atau perintah Mahkamah perbicaraan hendaklah dikuatkuasakan dengan segera, tetapi tiada apa-apa jua dalam subseksyen ini boleh disifatkan menghadkan atau menyekat kuasa untuk melanjutkan masa yang diberikan kepada Mahkamah Rayuan Syariah oleh seksyen 158.
Persoalan yang dikhaskan untuk Mahkamah Rayuan Syariah
166. (1) Apabila mana-mana orang telah, dalam suatu perbicaraan di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah yang menjalankan bidang kuasa asal jenayahnya, disabitkan atas suatu kesalahan, Hakim boleh, jika difikirkannya patut, mengkhaskan bagi keputusan Mahkamah Rayuan Syariah apa-apa persoalan undang-undang yang telah timbul semasa perjalanan perbicaraan orang itu dan yang penentuannya akan menyentuh keputusan perbicaraan itu.
(2) Orang yang disabitkan sedemikian hendaklah sesudah itu ditahan dipenjara atau, jika difikirkan patut oleh Hakim, dibenarkan mengikat jamin.
(3) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mengkaji semula kes itu, atau mana-mana bahagiannya sebagaimana yang perlu, dan menentukan persoalan itu dengan muktamad, dan sesudah itu boleh mengubah hukuman yang dijatuhkan dan menjatuhkan apa-apa hukuman atau memberikan atau membuat apa-apa penghakiman atau perintah yang difikirkan patut oleh Mahkamah Rayuan Syariah.
Rujukan kepada Mahkamah Rayuan Syariah atas rayuan daripada Mahkamah Rendah Syariah
167. (1) Apabila sesuatu rayuan daripada keputusan Mahkamah Rendah Syariah dalam sesuatu perkara jenayah telah ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh, atas permohonan mana-mana pihak, memberikan kebenaran bagi penentuan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan awam yang telah timbul semasa perjalanan rayuan itu dan yang penentuannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.
(2) Sesuatu permohonan untuk mendapatkan kebenaran di bawah seksyen ini hendaklah dibuat dalam masa satu bulan atau apa-apa masa yang lebih panjang sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah dari masa keputusan rayuan yang dimaksudkan itu; dan dalam hal suatu permohonan oleh Ketua Pendakwa Syarie, hendaklah dibuat oleh atau dengan kebenaran bertulis pegawai itu sahaja.
(3) Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkmah Rayuan Syariah di bawah seksyen ini, Mahkamah Tinggi Syariah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya patut bagi penangkapan, jagaan atau pelepasan atas jaminan mana-mana pihak dalam rayuan itu dan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah menghantar rekod prosiding dalam Mahkamah Tinggi Syariah kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah yang hendaklah sesudah itu menetapkan dan memberitahu pihak-pihak dalam rayuan itu masa dan tempat bagi pendengaran perkara itu.
(4) Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan menentukan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi penentuannya itu dan membuat apa- apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah yang pada pendapatnya adalah adil bagi pemberesan rayuan itu.
(5) Bagi maksud seksyen ini tetapi tanpa menjejaskan keluasan peruntukannya—
(a) apa-apa persoalan undang-undang yang berkenaan dengannya terdapat percanggahan nas kehakiman hendaklah disifatkan sebagai suatu persoalan yang mempunyai kepentingan awam; dan
(b) perjalanan mana-mana kuasa penyemakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di bawah Enakmen ini hendaklah disifatkan sebagai suatu rayuan daripada keputusan Mahkamah Rendah Syariah.
BAB 3
DARIHAL PENYEMAKAN
Kuasa untuk menyemak
168. (1) Jika mana-mana Hakim Mahkamah Rendah Syariah selepas menyampaikan keputusannya berpendapat bahawa keputusannya itu silap, dia boleh merujukkan keputusannya kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk disemak; dan mana-mana Hakim Mahkamah Tinggi Syariah boleh dalam keadaan yang seumpama itu berbuat sedemikian, kepada Mahkamah Rayuan Syariah.
(2) Walau apa pun subseksyen (1), Mahkamah Tinggi Syariah boleh memanggil dan memeriksa rekod mana-mana prosiding di hadapan Mahkamah Rendah Syariah bagi maksud memuaskan hatinya tentang ketepatan, keesahan atau kewajaran mana-mana dapatan, hukuman atau perintah yang direkodkan atau dijatuhkan dan tentang apa-apa keteraturan mana-mana prosiding Mahkamah itu; dan Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa penyemakan yang serupa berkenaan dengan apa-apa prosiding atau pekara di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
Kuasa untuk memerintahkan siasatan lanjut
169. Setelah memeriksa mana-mana rekod di bawah seksyen 168, Mahkamah yang menjalankan mana-mana bidang kuasa penyemakan boleh mengarahkan Mahkamah yang relevan untuk membuat, dan Mahkamah itu hendaklah membuat apa-apa siasatan lanjut sebagaimana yang diarahkan.
Kuasa semasa penyemakan
170. (1) Jika dalam menjalankan bidang kuasa penyemakannya, Mahkamah meminta supaya rekod prosiding atau rekod itu dirujukkan kepadanya, Mahkamah boleh menjalankan mana-mana kuasa yang diberikan oleh seksyen 141, 145, 146 dan 147.
(2) Tiada perintah di bawah seksyen ini boleh dibuat yang memudaratkan tertuduh melainkan jika dia telah diberi peluang untuk didengar, sama ada sendiri atau melalui Peguam Syarienya dalam membela dirinya sendiri.
(3) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan memberi kuasa kepada Mahkamah yang menjalankan mana-mana bidang kuasa penyemakan untuk mengubah suatu dapatan pembebasan kepada sabitan.
Mendengar pihak-pihak semasa penyemakan
171. Tiada pihak mempunyai apa-apa hak untuk didengar, sama ada sendiri atau melalui Peguam Syarie, di hadapan mana-mana Mahkamah yang menjalankan bidang kuasa penyemakannya tetapi Mahkamah itu boleh, jika difikirkannya patut, mendengar mana- mana pihak sama ada sendiri atau melalui Peguam Syarienya.
Perintah apabila kes disemak
172. Apabila suatu kes disemak di bawah Bab ini, Mahkamah yang membuat penyemakan itu hendaklah memaklumkan keputusan atau perintahnya kepada Mahkamah yang merekodkan atau menjatuhkan dapatan, hukuman atau perintah itu setelah diubah, alasan bagi pengubahan itu; dan Mahkamah yang kepadanya keputusan atau perintah itu dimaklumkan sedemikian hendaklah sesudah itu membuat apa-apa perintah yang menepati keputusan yang diperakukan sedemikian dan, jika perlu, rekod itu hendaklah dipinda mengikutnya.
BAB 4
PROSIDING DALAM KES KESALAHAN TERTENTU YANG MENYENTUH PENTADBIRAN KEADILAN
Tatacara tentang kesalahan yang dilakukan di Mahkamah
173. Apabila mana-mana kesalahan yang diperihalkan dalam seksyen 211, 212, 213, 214, 215 atau 216 dilakukan dalam pandangan atau di hadapan mana-mana Mahkamah, Mahkamah itu boleh menyebabkan pesalah itu ditahan dalam jagaan dan pada bila-bila masa sebelum penangguhan persidangan Mahkamah pada hari yang sama boleh, jika difikirkannya patut, mengambil perhatian tentang kesalahan itu dan menghukum pesalah itu dengan hukuman denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.
Rekod fakta yang mewujudkan kesalahan
174. (1) Dalam tiap-tiap kes sedemikian Mahkamah hendaklah merekodkan fakta-fakta yang mewujudkan kesalahan itu, bersama dengan pernyataan, jika ada, yang dibuat oleh pesalah itu dan juga dapatan serta hukuman itu.
(2) Jika kesalahan itu ialah kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 217, rekod itu mestilah menunjukkan jenis dan peringkat prosiding kehakiman yang sedang dijalankan oleh Mahkamah yang telah diganggu atau dihina itu, dan jenis gangguan atau penghinaan itu.
Tatacara alternatif
175. Jika Mahkamah, dalam mana-mana kes, berpendapat bahawa seseorang yang dituduh atas mana-mana kesalahan yang disebut dalam seksyen 173 dan yang telah dilakukan dalam pandangan atau di hadapannya adalah lebih baik diperlakukan melalui proses biasa undang-undang, Mahkamah itu, selepas merekodkan fakta- fakta yang mewujudkan kesalahan itu dan pernyataan tertuduh, boleh mengarahkan supaya tertuduh didakwa, dan boleh menghendaki jaminan diberikan bagi kehadiran orang tertuduh itu di hadapan seorang Hakim atau, jika jaminan yang mencukupi tidak diberikan, boleh menghantar orang itu di bawah jagaan kepada Hakim lain untuk dibicarakan.
Kuasa untuk meremitkan hukuman
176. Apabila mana-mana Mahkamah telah, di bawah seksyen 173, menghukum seseorang pesalah kerana dia enggan atau tidak melakukan apa-apa jua yang dia telah dengan sah dikehendaki melakukannya atau kerana apa-apa gangguan atau penghinaan yang disengajakan, Mahkamah itu boleh, menurut budi bicaranya, melepaskan pesalah itu atau meremitkan hukuman apabila pesalah itu mematuhi perintah atau kehendak Mahkamah itu atau jika dia meminta maaf sehingga Mahkamah berpuashati.
Keengganan untuk memberikan keterangan
177. Jika mana-mana saksi dihadapan sesuatu Mahkamah enggan memberikan keterangan atau menjawab apa-apa soalan yang dikemukakan kepadanya atau enggan mengemukakan apa-apa dokumen dalam milikan atau kuasanya yang dikehendaki oleh Mahkamah supaya dikemukakan olehnya, dan tidak memberikan apa-apa sebab yang munasabah bagi keengganan itu, Mahkamah itu boleh, atas sebab-sebab yang hendaklah direkodkan secara bertulis, menghukumnya dengan hukuman pemenjaraan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi tujuh hari, melainkan jika dalam masa itu orang itu bersetuju untuk memberikan keterangan atau diperiksa dan menjawab soalan itu atau mengemukakan dokumen itu; tetapi jika dia terus enggan, dia boleh diperlakukan mengikut seksyen 173 atau 175 walau apa pun apa-apa hukuman yang mungkin telah dijalaninya di bawah seksyen ini.
Rayuan
178. (1) Semua hukuman yang dijatuhkan di bawah Bab ini boleh dirayukan kepada Mahkamah Tinggi Syariah, dalam hal hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rendah Syariah, dan kepada Mahkamah Rayuan Syariah dalam hal hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Bab 1 hendaklah, setakat yang boleh terpakai, terpakai bagi rayuan di bawah seksyen ini dan Mahkamah Rayuan boleh mengubah atau mengakaskan dapatan atau mengurangkan, mengubah atau mengakaskan hukuman yang dirayukan itu.
(3) Bab 2 hendaklah juga terpakai bagi semua prosiding oleh seorang Hakim di bawah Bab ini.
Hakim tidak boleh membicarakan kesalahan tertentu yang dilakukan di hadapannya
179. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 173 dan 178, tiada Hakim boleh membicarakan mana-mana orang bagi apa-apa kesalahan jika kesalahan itu dilakukan dihadapannya atau sebagai menghina kuasanya, atau dengan pengetahuannya dalam penjalanan sesuatu prosiding kehakiman.
BAHAGIAN VII PERUNTUKAN TAMBAHAN BAB 1
ORANG TAK SEMPURNA AKAL
Tatacara jika tertuduh disyaki tak sempurna akal
180. (1) Jika Hakim yang menjalankan suatu siasatan atau perbicaraan mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa orang tertuduh tak sempurna akal dan dengan demikian tak berupaya membuat pembelaannya, dia hendaklah terlebih dahulu menyiasat hakikat ketaksempurnaan akal itu.
(2) Dalam penyiasatan itu orang tertuduh tidak perlu hadir dan Hakim boleh menerima sebagai keterangan suatu perakuan bertulis yang ditandatangani oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan yang bermaksud bahawa pada pendapatnya orang tertuduh itu tak sempurna akal atau seorang yang patut ditahan di hospital mental untuk pemerhatian atau jika difikirkannya patut Hakim itu boleh mengambil keterangan lisan daripada seorang Pegawai Perubatan Kerajaan tentang keadaan akal fikiran orang tertuduh itu.
(3) Jika Hakim tidak berpuas hati bahawa orang itu berupaya membuat pembelaannya, Hakim itu boleh menangguhkan siasatan atau perbicaraan itu dan hendaklah menahan orang itu selama suatu tempoh tidak melebihi sebulan di mana-mana hospital mental di Malaysia untuk pemerhatian.
(4) Penguasa Perubatan hospital mental itu hendaklah meletakkan orang itu dalam permerhatian sepanjang tempoh penahanannya itu dan, sebelum habis tempoh itu—
(a) dia hendaklah memperakukan di bawah tandatangannya pendapatnya tentang keadaan akal fikiran orang itu kepada Mahkamah; atau
(b) jika dia tidak dapat dalam tempoh itu membuat apa-apa kesimpulan yang pasti, dia hendaklah memperakui sedemikian kepada Mahkamah dan meminta supaya tempoh tahanan dilanjutkan sehingga suatu tempoh selama dua bulan.
(5) Pendakwa Syarie boleh pada mana-mana peringkat apa-apa prosiding sebelum perbicaraan dijalankan, memerintahkan supaya mana-mana orang tertuduh yang disyakinya tak sempurna akal dihantar ke hospital mental untuk pemerhatian selama suatu tempoh yang tidak melebihi sebulan; dan Penguasa Perubatan hospital mental itu hendaklah meletakkan orang itu dalam pemerhatian selama tempoh itu dan sebelum habis tempoh itu hendaklah memperakui di bawah tandatangannya pendapatnya tentang keadaan akal fikiran orang itu kepada Pendakwa Syarie; dan jika Penguasa Perubatan itu tidak dapat dalam tempoh itu membuat apa-apa kesimpulan yang pasti, dia hendaklah memperakui sedemikian kepada Pendakwa Syarie dan Pendakwa Syarie bolehlah memerintahkan supaya orang itu ditahan di hospital mental itu selama suatu tempoh selanjutnya yang tidak melebihi dua bulan.
(6) Penguasa perubatan sesuatu hospital mental boleh, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Ordinan Penyakit Mental 1952 [Ord. 31/52], menahan mana-mana orang tertuduh yang berkenaan dengannya suatu perintah telah dibuat di bawah subseksyen (5) selama suatu tempoh yang tidak melebihi tempoh yang dinyatakan dalam perintah itu.
(7) Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang tertuduh sempurna akal dan berupaya membuat pembelaannya, Hakim hendaklah meneruskan perbicaraan itu.
(8) Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang tertuduh tak sempurna akal dan tak berupaya membuat pembelaannya, Mahkamah hendaklah, jika berpuas hati tentang hakikat itu, membuat dapatan yang sewajarnya dan sesudah itu perbicaraan hendaklah ditangguhkan.
(9) Perakuan Penguasa Perubatan hendaklah diterima sebagai keterangan di bawah seksyen ini.
(10) Jika orang tertuduh diperakui tak sempurna akal dan tak berupaya membuat pembelaannya, maka dia tidak perlu hadir di dalam Mahkamah semasa prosiding di bawah seksyen ini dan Mahkamah boleh memerintahkan pelepasan atau pembebasannya.
(11) Dalam seksyen ini, perkataan “hospital mental” ertinya sesuatu hospital yang ditubuhkan atau disenggarakan di bawah Ordinan Penyakit Mental 1952 [Ord. 31/52].
BAB 2
DARIHAL PENDAKWAAN
Ketua Pendakwa Syarie
181. Ketua Pendakwa Syarie hendaklah mempunyai kawalan dan arahan ke atas segala pendakwaan dan prosiding jenayah di bawah Enakmen ini.
Ketua Pendakwa Syarie hendaklah hadir sendiri
182. Dalam apa-apa rayuan Ketua Pendakwa Syarie hendaklah hadir sendiri atau diwakili oleh Pendakwa Syarie.
Pendakwaan
183. (1) Apa-apa pendakwaan di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie atau seseorang Pendakwa Syarie.
(2) Pendakwaan di hadapan Mahkamah Rendah Syariah bolehlah djalankan oleh—
(a) Ketua Pendakwa Syarie atau seorang Pendakwa Syarie;
(b) seorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang diberi kuasa secara bertulis oleh Ketua Pendakwa Syarie untuk bertindak bagi pihaknya; atau
(c) seorang pengadu sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah.
Menggunakan khidmat Peguam Syarie
184. (1) Dengan kelulusan Majlis, seorang Peguam Syarie boleh dilantik oleh Ketua Pendakwa Syarie untuk menjalankan apa-apa pendakwaan, atau untuk hadir dalam mana-mana rayuan bagi pihak Ketua Pendakwa Syarie.
(2) Peguam Syarie yang dilantik di bawah subseksyen (1) hendaklah dibayar daripada wang awam apa-apa saraan sebagaimana yang dibenarkan oleh Majlis, dan semasa menjalankan pendakwaan atau rayuan itu Peguam Syarie itu hendaklah disifatkan sebagai seorang pengkhidmat awam.
BAB 3
DARIHAL JAMINAN
Bila seseorang boleh dilepaskan atas jaminan
185. Apabila mana-mana orang ditangkap atau ditahan tanpa waran oleh seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau hadir atau dibawa di hadapan suatu Mahkamah dan dia bersedia pada bila-bila masa semasa dalam jagaan pegawai itu atau pada mana-mana peringkat prosiding di hadapan Mahkamah itu untuk memberikan jaminan, maka orang itu hendaklah dilepaskan atas jaminan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis
yang menjaga balai polis atau oleh mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor atau oleh Mahkamah itu.
Amaun bon
186. (1) Amaun tiap-tiap bon yang disempurnakan di bawah Bab ini hendaklah ditetapkan dengan memberikan perhatian wajar kepada hal keadaan kes itu sebagaimana yang mencukupi untuk memastikan kehadiran orang yang ditangkap itu, tetapi tidak boleh berlebih- lebihan.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah boleh, dalam mana-mana kes, sama ada terdapat rayuan atas sabitan atau tidak, mengarahkan supaya mana-mana orang diikat jamin atau supaya jaminan yang dikehendaki oleh seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau Mahkamah Rendah Syariah dikurangkan atau dinaikkan.
Bon hendaklah disempurnakan
187. Sebelum mana-mana orang dilepaskan atas jaminan, suatu bon bagi apa-apa jumlah wang yang difikirkan mencukupi oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau Mahkamah, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah disempurnakan oleh seorang penjamin yang mencukupi atau lebih, dengan disyaratkan bahawa orang itu hendaklah hadir pada masa dan tempat yang disebut dalam bon itu, dan hendaklah terus hadir sedemikian sehingga diarahkan selainnya oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau Mahkamah itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Bila orang hendaklah dilepaskan
188. (1) Sebaik sahaja bon itu disempurnakan, orang itu hendaklah dilepaskan dan jika dia berada di dalam penjara, Mahkamah yang membenarkan dia mengikat jamin itu hendaklah mengeluarkan suatu perintah pelepasan kepada pegawai yang menjaga penjara itu, dan pegawai itu, apabila menerima perintah itu, hendaklah melepaskan orang itu.
(2) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini atau seksyen 185 boleh disifatkan menghendaki pelepasan mana-mana orang yang boleh ditahan bagi sesuatu perkara selain daripada perkara yang berkenaan dengan bon itu disempurnakan.
Bila waran tangkap boleh dikeluarkan terhadap orang yang dijamin
189. Jika, oleh sebab kesilapan, fraud atau selainnya, penjamin- penjamin yang tak mencukupi telah diterima, atau jika mereka kemudiannya menjadi tak mencukupi, Mahkamah yang membenarkan dia ikat jamin boleh mengeluarkan suatu waran tangkap yang mengarahkan supaya orang yang dilepaskan atas jaminan itu di bawa ke hadapan Mahkamah itu, dan boleh mengarahkan supaya dia mencari penjamin yang mencukupi, dan jika dia tidak berbuat demikian Mahkamah boleh memenjarakannya.
Penjamin boleh memohon supaya bon dilepaskan
190. (1) Mana-mana penjamin bagi kehadiran seseorang yang dilepaskan atas jaminan boleh pada bila-bila masa memohon kepada seorang Hakim supaya melepaskan bon itu sama ada pada keseluruhannya atau setakat yang berhubungan dengan pemohon itu.
(2) Apabila permohonan sedemikian dibuat, Hakim hendaklah mengeluarkan waran tangkap mengarahkan supaya orang yang dilepaskan sedemikian dibawa ke hadapannya.
(3) Apabila orang itu hadir menurut waran itu atau dia menyerah diri dengan sukarela, Hakim hendaklah mengarahkan supaya bon itu dilepaskan, sama ada pada keseluruhannya atau setakat yang berhubungan dengan pemohon itu, dan hendaklah meminta orang itu mencari penjamin lain yang mencukupi, dan jika dia tidak berbuat demikian Hakim itu boleh memenjarakannya.
(4) Seseorang penjamin boleh pada bila-bila masa menangkap orang yang bagi kehadirannya dia menjadi penjamin dan dengan serta-merta membawanya ke hadapan seorang Hakim, yang hendaklah sesudah itu melepaskan bon penjamin itu dan hendaklah meminta orang itu mencari penjamin lain yang mencukupi, dan jika dia tidak berbuat demikian Hakim itu hendaklah memenjarakannya.
Rayuan
191. Mana-mana orang yang terkilan dengan perintah atau keengganan mana-mana Mahkamah Rendah Syariah yang dibuat di bawah Bab ini boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah, dan kepada Mahkamah Rayuan Syariah dalam hal perintah yang dibuat oleh atau keengganan Mahkamah Tinggi Syariah.
BAB 4
PERUNTUKAN KHAS YANG BERHUBUNGAN DENGAN KETERANGAN
Tatacara apabila orang yang dapat memberikan keterangan material sakit tenat
192. (1) Bilamana ternyata kepada seseorang Hakim bahawa mana- mana orang yang dapat memberikan keterangan material sama ada bagi pihak pendakwa atau pihak pembela berhubungan dengan sesuatu kesalahan boleh tangkap sakit tenat sehinggakan tidak praktik untuk mengambil keterangannya mengikut perjalanan biasa undang-undang, Hakim itu boleh mengambil deposisi orang itu dengan syarat apa-apa notis yang munasabah sebagaimana yang mungkin dalam kes itu telah diberikan kepada Pendakwa dan tertuduh tentang cadangan mengambil deposisi itu dan tentang masa dan tempat di mana Hakim itu bercadang mengambilnya.
(2) Jika tertuduh berada dalam jagaan, seorang Hakim boleh memerintahkan pegawai yang menjaga penjara itu menghantar tertuduh ke tempat itu pada waktu yang telah diberitahukan dan pegawai itu hendaklah menghantarnya dengan sewajarnya.
(3) Apabila dibuktikan pada perbicaraan tertuduh atas mana- mana kesalahan yang berhubungan dengan deposisi itu bahawa deponennya telah mati atau bahawa kerana apa-apa sebab yang mencukupi kehadirannya tidak dapat diperolehi, deposisi itu bolehlah dibacakan sama ada bagi atau terhadap tertuduh, walaupun dia tidak hadir semasa deposisi itu diambil, jika deposisi itu diperakui di bawah tandatangan Hakim yang mengambilnya dan yang sebaliknya tidak dibuktikan, atau jika ditunjukkan melalui keterangan ekstrinsik bahawa deponen memang pada masa pemeriksaannya sakit tenat sebagaimana yang disebut dalam subseksyen (1) dan bahawa deposisi itu telah diambil dengan sewajarnya di tempat
dan pada masa yang diberitahukan itu dan bahawa notis yang munasabah tentang niat untuk mengambilnya telah diberikan kepada orang yang terhadapnya deposisi itu dikemukakan sebagai keterangan, supaya dia atau Peguam Syarienya dapat hadir dan mendapat, jika dia memilih untuk hadir, peluang penuh untuk pemeriksaan balas.
Jika orang yang terikat untuk memberikan keterangan berniat untuk meninggalkan Malaysia
193. Bilamana dibuktikan sehingga Hakim berpuas hati bahawa mana-mana saksi yang terikat untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan mana-mana kesalahan boleh tangkap berniat untuk meninggalkan Malaysia dan bahawa matlamat keadilan akan barangkali terjejas jika orang itu tidak hadir pada perbicaraan itu untuk memberikan keterangan, Hakim boleh, atas permohonan Ketua Pendakwa Syarie atau tertuduh dan selepas peruntukan wajar dibuat bagi saraannya dan bagi memampasinya kerana penahanannya dan masanya yang terbuang, memenjarakan orang itu di penjara sivil sehingga perbicaraan atau sehingga dia memberikan jaminan yang memuaskan hati bahawa dia akan memberikan keterangan pada perbicaraan itu.
Laporan orang tertentu
194. (1) Apa-apa dokumen yang berupa sebagai suatu laporan di bawah tandatangan mana-mana orang yang disebut dalam subseksyen
(2) mengenai mana-mana orang, perkara atau benda yang telah diperiksa atau dianalisis olehnya atau apa-apa dokumen yang berupa sebagai suatu laporan di bawah tandatangan Pendaftar Penjenayah apa-apa perkara atau benda yang berhubungan dengan cap jari yang telah diserahkan kepadanya untuk laporan boleh diberikan sebagai keterangan dalam apa-apa perbicaraan atau prosiding lain di bawah Enakmen ini melainkan jika orang itu atau Pendaftar itu dikehendaki hadir sebagai seorang saksi—
(a) oleh Mahkamah; atau
(b) oleh tertuduh, dan dalam hal itu tertuduh hendaklah memberikan notis kepada Pendakwa tidak kurang daripada tiga hari genap sebelum perbicaraan dimulakan:
Dengan syarat bahawa dalam mana-mana kes apabila Pendakwa Syarie berniat untuk memberikan sebagai keterangan mana-mana
laporan sedemikian, dia hendaklah menyerahkan suatu salinan laporan itu kepada tertuduh tidak kurang daripada sepuluh hari genap sebelum perbicaraan dimulakan.
(2) Yang berikut ialah orang yang baginya peruntukan seksyen ini terpakai:
(a) pegawai Institut Penyelidikan Perubatan;
(b) Pegawai Perubatan Kerajaan;
(c) ahli kimia yang dalam penggajian Kerajaan Malaysia;
(d) mana-mana orang yang dilantik oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta sebagai Pemeriksa Dokumen;
(e) Merinyu Timbang dan Sukat yang dilantik sedemikian di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan timbang dan sukat yang berkuat kuasa di Malaysia; dan
(f) mana-mana orang atau golongan orang yang baginya Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan melalui pemberitahuan dalam Warta bahawa peruntukan seksyen ini hendaklah terpakai.
(3) Orang yang disebut dalam subseksyen (2) dan Pendaftar Penjenayah adalah melalui Enakmen ini terikat untuk menyatakan yang benar dalam laporan yang dibuat di bawah tandatangan mereka.
Bagaimana sabitan atau pembebasan terdahulu boleh dibuktikan
195. (1) Dalam mana-mana perbicaraan atau prosiding lain di bawah Enakmen ini, suatu sabitan atau pembebasan terdahulu boleh dibuktikan sebagai tambahan kepada apa-apa cara lain yang diperuntukkan oleh mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa—
(a) melalui suatu cabutan hukuman atau perintah yang diperakui di bawah tandatangan pegawai yang menjaga rekod Mahkamah di mana-mana negeri di Malaysia di mana sabitan atau pembebasan itu telah diputuskan; atau
(b) dalam hal suatu sabitan, sama ada melalui suatu perakuan yang ditandatangani oleh pegawai yang menjaga penjara
di Malaysia di mana hukuman atau mana-mana bahagiannya telah dijalankan, atau melalui pengemukaan waran pemenjaraan yang menurutnya hukuman itu telah dijalani,
bersama dengan, dalam setiap kes sedemikian, keterangan tentang indentiti orang tertuduh dengan orang yang telah disabitkan atau dibebaskan sedemikian.
(2) Sekiranya pegawai yang menjaga mana-mana penjara menyatakan dalam mana-mana perakuan yang ditandatanganinya bahawa cap jari yang terdapat pada perakuan itu ialah cap jari orang yang dimaksudkan oleh perakuan itu, perakuan itu hendaklah menjadi keterangan bagi fakta yang dinyatakan sedemikian.
(3) Tiap-tiap Mahkamah hendaklah menganggap tulen tiap-tiap dokumen yang berupa sebagai suatu perakuan sabitan dan yang berupa telah ditandatangani oleh pegawai yang menjaga mana- mana penjara di Malaysia, dan hendaklah juga menganggap bahawa pegawai yang olehnya dokumen itu berupa telah ditandatangani ialah, semasa dia menandatangani dokumen itu, pegawai yang menjaga penjara yang disebut dalam dokumen itu.
Rekod keterangan semasa ketakhadiran tertuduh
196. (1) Jika dibuktikan bahawa seseorang tertuduh telah tidak menghadirkan diri sehingga tiada harapan untuk menangkapnya dengan serta merta, Mahkamah yang kompeten untuk membicarakan orang itu atas kesalahan yang diadukan itu boleh, semasa ketakhadirannya, memeriksa saksi-saksi, jika ada, yang dikemukakan bagi pihak pendakwa dan merekodkan deposisi mereka.
(2) Mana-mana deposisi yang direkodkan di bawah subseksyen
(1) boleh, apabila orang itu ditangkap, diberikan sebagai keterangan terhadapnya pada perbicaraan kesalahan yang baginya dia dipertuduh, jika deponen itu telah mati atau tak berupaya untuk memberikan keterangan atau kehadirannya tidak dapat diperoleh tanpa apa-apa kelengahan, perbelanjaan atau kesusahan yang dalam hal keadaan kes itu tidaklah munasabah.
Notis hendaklah diberikan bagi pembelaan alibi
197. (1) Jika dalam mana-mana perbicaraan jenayah tertuduh bercadang mengemukakan pembelaan alibi, keterangan yang menyokongnya tidak boleh diterima melainkan jika tertuduh telah memberikan notis bertulis mengenainya kepada Pendakwa sekurang- kurangnya sepuluh hari sebelum perbicaraan dimulakan.
(2) Notis yang dikehendaki oleh subseksyen (1) hendaklah termasuk butir-butir mengenai tempat di mana tertuduh mendakwa dia berada pada masa pelakuan kesalahan yang baginya dia dipertuduh, berserta dengan nama dan alamat mana-mana saksi yang dia berniat untuk memanggilnya bagi maksud membuktikan alibinya.
BAB 5
PERUNTUKAN TENTANG BON
Deposit sebagai ganti bon
198. Apabila mana-mana orang dikehendaki oleh mana-mana Mahkamah atau pegawai supaya menyempurnakan suatu bon, Mahkamah atau pegawai itu boleh, kecuali dalam hal bon bagi kelakuan baik, membenarkannya mendepositkan sejumlah wang mengikut apa-apa amaun yang ditetapkan oleh Mahkamah, sebagai ganti menyempurnakan bon itu.
Tatacara mengenai pelucuthakan bon
199. (1) Bilamana—
(a) dibuktikan sehingga Mahkamah yang daripadanya suatu bon di bawah Enakmen ini telah diambil berpuas hati; atau
(b) jika bon itu adalah bagi kehadiran di Mahkamah, dibuktikan sehingga Mahkamah itu berpuas hati,
bahawa bon itu telah terlucuthak, Mahkamah itu hendaklah merekodkan alasan pembuktian itu dan boleh meminta mana-mana orang yang terikat dengan bon itu supaya membayar penaltinya atau menunjukkan sebab mengapa penalti itu tidak patut dibayar.
(2) Jika sebab yang mencukupi tidak ditunjukkan atau penalti itu tidak dibayar, orang yang terikat sedemikian boleh, dengan perintah Mahkamah yang mengeluarkan waran itu, dipenjarakan di dalam penjara sivil selama suatu tempoh yang boleh sampai enam bulan.
(3) Mahkamah boleh, menurut budi bicaranya, meremitkan mana- mana bahagian penalti yang disebut itu, dan menguatkuasakan pembayaran sebahagiannya sahaja.
(4) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan menghalang penalti, atau mana-mana bahagiannya, mana-mana bon di bawah Enakmen ini didapatkan di bawah peruntukan undang- undang yang berhubung dengan tatacara sivil yang sedang berkuat kuasa.
Rayuan terhadap perintah
200. Semua perintah yang dibuat di bawah seksyen 119 oleh Mahkamah Rendah Syariah boleh dirayukan kepada Mahkamah Tinggi Syariah, dan kepada Mahkamah Rayuan Syariah dalam hal perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
BAB 6
DARIHAL PELUPUSAN BARANG KES DAN HARTA YANG MENJADI PERKARA KESALAHAN
Mahkamah hendaklah menimbangkan cara melupuskan barang kes
201. (1) Apabila berakhir mana-mana prosiding di bawah Enakmen ini, Mahkamah hendaklah menimbangkan cara bagaimana barang kes hendaklah dilupuskan dan boleh membuat apa-apa perintah bagi maksud itu.
(2) Jika Mahkamah tidak membuat perintah tentang pelupusan barang kes itu, barang kes itu hendaklah diserahkan kepada Pendakwa yang bertanggungjawab kepada prosiding itu dan boleh diperlakukan oleh Pendakwa itu mengikut peruntukan Bab ini seolah-olah Mahkamah itu telah membuat perintah atau perintah-perintah yang bermaksud sedemikian.
(3) Jika Pendakwa pada bila-bila masa ragu-ragu tentang cara yang patut bagi melupuskan mana-mana barang kes, atau jika mana-mana orang menuntut supaya diserahkan kepadanya mana- mana barang kes dan Pendakwa enggan membuat penyerahan sedemikian, maka Pendakwa atau orang itu boleh memohon kepada Mahkamah yang memutuskan kes itu dan Mahkamah itu hendaklah membuat apa-apa perintah berkenaan dengan pelupusan barang kes itu sebagaimana yang patut.
Perintah bagi pelupusan harta yang mengenainya kesalahan telah dilakukan
202. (1) Mana-mana Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, mengimpaun mana-mana harta atau dokumen yang dikemukakan di hadapannya di bawah Enakmen ini.
(2) Semasa atau apabila berakhir apa-apa perbicaraan di mana- mana Mahkamah, Mahkamah itu boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya patut bagi penjagaan atau pelupusan mana- mana harta dan dokumen yang dikemukakan di hadapannya atau yang dalam jagaannya, atau jagaan mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau mana-mana pengkhidmat awam, yang mengenainya mana-mana kesalahan ternyata telah dilakukan atau yang telah digunakan bagi perlakuan mana-mana kesalahan.
(3) Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah di bawah subseksyen
(2) hendaklah termasuk kuasa untuk membuat suatu perintah bagi pelucuthakan atau perampasan atau pemusnahan harta itu kepada mana-mana orang, tetapi hendaklah dijalankan tertakluk kepada mana-mana peruntukan khas berhubungan dengan pelucuthakan, perampasan, pemusnahan atau penyerahan yang terkandung dalam undang-undang bertulis yang di bawahnya sabitan itu telah dibuat.
(4) Mahkamah yang membuat suatu perintah di bawah seksyen ini berkenaan dengan mana-mana harta atau dokumen hendaklah mengarahkan sama ada perintah itu hendaklah berkuat kuasa dengan serta merta atau pada mana-mana tarikh masa hadapan atau apabila berlaku apa-apa peristiwa masa hadapan dan hendaklah, kecuali apabila harta itu ialah binatang ternakan atau harta yang cepat rosak secara semula jadi, memasukkan dalam perintah itu segala arahan dan syarat yang perlu bagi memastikan bahawa harta atau dokumen itu akan dikemukakan sebagaimana dan apabila dikehendaki
bagi maksud perbicaraan yang semasa ia berlangsung atau apabila ia berakhir perintah itu dibuat atau bagi maksud apa-apa rayuan atau prosiding jenayah selanjutnya yang berbangkit daripada perbicaraan itu.
(5) Dalam seksyen ini, istilah “harta” termasuklah, dalam hal harta yang berkenaan dengannya suatu kesalahan ternyata telah dilakukan, bukan sahaja apa-apa harta yang pada mulanya berada dalam milikan atau di bawah kawalan mana-mana pihak tetapi juga apa-apa harta yang ke dalam bentuknya harta itu mungkin telah diubah atau yang telah ditukarkan dengannya, dan apa-apa benda yang diperoleh daripada pengubahan atau pertukaran itu, sama ada dengan serta merta atau selainnya.
BAB 7
DARIHAL PEMINDAHAN KES JENAYAH
Kuasa Hakim Mahkamah Tinggi Syariah untuk memindahkan kes
203. Bilamana ternyata kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah—
(a) bahawa suatu perbicaraan yang adil dan saksama tidak dapat diadakan di mana-mana Mahkamah Rendah Syariah;
(b) bahawa sesuatu persoalan undang-undang yang luar biasa rumitnya berkemungkinan timbul;
(c) bahawa suatu lawatan ke tempat yang di dalam atau berhampiran dengannya mana-mana kesalahan telah dilakukan mungkin diperlukan supaya perbicaraan yang memuaskan bagi kesalahan itu dijalankan;
(d) bahawa suatu perintah di bawah seksyen ini akan menjaga kemudahan am pihak-pihak atau saksi-saksi; atau
(e) bahawa perintah yang sedemikian adalah suaimanfaat bagi mencapai matlamat keadilan, atau adalah dikehendaki oleh mana-mana peruntukan Enakmen ini,
Hakim itu boleh mengarahkan—
(aa) supaya mana-mana kes jenayah tertentu dipindahkan ke dan dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah; atau
(bb) supaya seseorang tertuduh dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah yang lain.
Permohonan untuk mendapatkan pemindahan hendaklah disokong dengan afidavit
204. (1) Tiap-tiap permohonan bagi penjalanan kuasa yang diberikan oleh seksyen 203 hendaklah dibuat melalui usul yang hendaklah disokong dengan afidavit.
(2) Tiap-tiap permohonan sedemikian hendaklah dibuat sebelum perbicaraan kesalahan itu berakhir.
(3) Tiap-tiap orang tertuduh yang membuat apa-apa permohonan sedemikian hendaklah memberi Ketua Pendakwa Syarie notis bertulis mengenai permohonan itu, bersama dengan suatu salinan alasan permohonan itu dibuat, dan tiada perintah boleh dibuat atas merit permohonan itu melainkan jika sekurang-kurangnya dua puluh empat jam telah berlalu antara pemberian notis itu dengan pendengaran permohonan itu.
BAB 8
DARIHAL KETAKTERATURAN PROSIDING
Prosiding di tempat yang salah, dsb.
205. Tiada dapatan, hukuman atau perintah mana-mana Mahkamah boleh diketepikan semata-mata atas alasan bahawa perbicaraan atau prosiding lain yang dalam perjalanannya dapatan, hukuman atau perintah itu telah dicapai, dijatuhkan atau dibuat, telah dijalankan di dalam kawasan tempatan yang salah atau di hadapan Mahkamah yang salah, melainkan jika ternyata bahawa kesilapan itu telah menyebabkan kegagalan peradilan.
Peninggalan membentuk pertuduhan
206. (1) Tiada dapatan atau hukuman yang diumumkan atau dijatuhkan boleh disifatkan tak sah semata-mata atas alasan bahawa tiada pertuduhan telah dibentuk melainkan jika, pada pendapat Mahkamah Rayuan, kegagalan peradilan telah disebabkan olehnya.
(2) Jika Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa kegagalan peradilan telah disebabkan oleh peninggalan untuk membentuk suatu pertuduhan, Mahkamah itu hendaklah memerintahkan supaya suatu perbicaraan baru diadakan.
Ketakteraturan tidak membatalkan prosiding
207. Tertakluk kepada peruntukan yang terkandung dalam Bab ini, tiada dapatan, hukuman atau perintah yang dijatuhkan atau dibuat oleh suatu Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten boleh diakaskan atau diubah oleh sebab—
(a) apa-apa kesilapan, peninggalan atau ketakteraturan dalam aduan, saman, waran, pertuduhan, penghakiman atau prosiding lain sebelum atau semasa perbicaraan di bawah Enakmen ini;
(b) tidak terdapat keizinan yang dikehendaki oleh undang- undang; atau
(c) penerimaan atau penolakan tak wajar apa-apa keterangan,
melainkan jika kesilapan, peninggalan, penerimaan atau penolakan tak wajar keterangan, ketakteraturan, ketiadaan keizinan atau salah arahan itu telah menyebabkan kegagalan peradilan.
BAHAGIAN VIII
AM
Takrif
208. Dalam Bahagian ini, “pegawai agama” ertinya mana-mana Hakim, Pendakwa Syarie, Pendaftar atau Pegawai Penguatkuasa Agama.
Perlindungan pegawai
209. Tiada prosiding boleh diambil terhadap mana-mana Hakim atau pegawai lain bagi apa-apa tindakan yang dilakukan dengan suci hati dalam mana-mana prosiding kehakiman di bawah Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa berhubungan dengan agama Islam.
Penghinaan Mahkamah
210. Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa untuk menghukum mana-mana orang yang melakukan suatu penghinaan Mahkamah dengan hukuman denda yang tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Maklumat, keterangan atau pengakuan palsu
211. Barang siapa yang dengan sengaja memberi apa-apa maklumat, keterangan atau pengakuan secara lisan atau bertulis yang palsu dalam apa-apa perkara jika dia dikehendaki memberi maklumat, keterangan atau pengakuan sedemikian oleh peruntukan Enakmen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Pegawai agama yang mengingkari arahan undang-undang dengan niat hendak menyebabkan bencana kepada mana-mana orang
212. Barang siapa, yang menjadi pegawai agama, dengan disedarinya mengingkari apa-apa arahan undang-undang tentang cara bagaimana dia dikehendaki berkelakukan sebagai pegawai itu, dengan niat hendak menyebabkan, atau dengan mengetahui bahawa ada kemungkinan dia akan, dengan keingkaran itu, menyebabkan bencana kepada mana-mana orang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Tidak mengemukakan, dsb. dokumen kepada pegawai agama oleh seseorang yang terikat di sisi undang-undang untuk mengemukakan, dsb. dokumen itu
213. Barang siapa, yang terikat di sisi undang-undang untuk mengemukakan atau menyerahkan apa-apa dokumen kepada mana- mana pegawai agama sebagai yang demikian, dengan sengaja tidak mengemukakan atau menyerahkan dokumen itu sedemikian adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya; atau jika dokumen itu dikehendaki dikemukakan atau diserahkan kepada suatu Mahkamah, boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya.
Enggan mengangkat sumpah apabila dikehendaki dengan sewajarnya oleh pegawai agama supaya mengangkat sumpah
214. Barang siapa yang enggan mengikat dirinya dengan sumpah untuk menyatakan yang benar apabila dikehendaki mengikat dirinya sedemikian oleh seorang pegawai agama yang kompeten di sisi undang-undang untuk menghendaki bahawa dia hendaklah mengikat dirinya sedemikian adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya.
Enggan menjawab soalan pegawai agama yang diberi kuasa untuk menyoal
215. Barang siapa, yang terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar mengenai apa-apa hal kepada mana-mana pegawai agama, enggan menjawab apa-apa soalan tentang hal itu yang dia dikehendaki menjawabnya oleh pegawai itu semasa pegawai itu menjalankan kuasanya di sisi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Enggan menandatangani pernyataan
216. Barang siapa enggan menandatangani mana-mana pernyataan yang dibuat olehnya apabila dikehendaki menandatangani pernyataan itu oleh seorang pegawai agama yang kompeten di sisi undang- undang untuk menghendakinya menandatangani pernyataan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Dengan sengaja menghina atau mengganggu pegawai agama yang sedang bersidang dalam mana-mana peringkat prosiding kehakiman
217. Barang siapa dengan sengaja menghina atau menyebabkan apa-apa gangguan kepada mana-mana pegawai agama semasa pegawai itu sedang bersidang pada mana-mana peringkat prosiding kehakiman adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Afidavit bersumpah
218. (1) Tertakluk kepada apa-apa kaedah yang dibuat oleh Mahkamah, mana-mana afidavit boleh digunakan di Mahkamah jika ia telah dibuat dengan sumpah—
(a) di Malaysia, di hadapan mana-mana Hakim, Qadi atau Pendaftar;
(b) di Singapura atau Brunei Darussalam, di hadapan mana- mana Hakim atau Qadi; atau
(c) di mana-mana tempat lain, di hadapan mana-mana pegawai Islam yang menjalankan fungsi konsular bagi pihak Kerajaan Malaysia.
(2) Mahkamah hendaklah memberikan pengiktirafan kehakiman kepada meterai atau tandatangan mana-mana Hakim, Qadi, Pendaftar, atau pegawai konsul yang dituliskan atau dinamakan dalam mana- mana afidavit.
Kuasa Mahkamah untuk memanggil dan memeriksa orang
219. Mana-mana Mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan atau prosiding lain di bawah Enakmen ini, memanggil mana-mana orang sebagai saksi, atau memeriksa mana- mana orang yang hadir walaupun dia tidak dipanggil sebagai saksi, atau memanggil semula dan memeriksa semula mana-mana orang yang telah diperiksa, dan Mahkamah hendaklah memanggil dan memeriksa atau memanggil semula dan memeriksa semula mana- mana orang itu jika keterangannya didapati perlu demi keputusan yang adil dalam kes itu.
Perintah bagi pembayaran pampasan
220. (1) Mahkamah yang di hadapannya seseorang telah disabitkan atas apa-apa kesalahan boleh memerintahkan dia membayar sejumlah wang yang hendaklah ditetapkan oleh Mahkamah sebagai pampasan kepada mana-mana orang, atau kepada wakil mana-mana orang, yang telah mengalami bencana berkenaan dengan tubuh, watak atau hartanya oleh sebab kesalahan yang baginya sabitan itu telah dibuat.
(2) Mahkamah hendaklah menentukan orang yang kepadanya apa-apa jumlah wang berkenaan dengan pampasan yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah dibayar dan seksyen 221 hendaklah terpakai bagi mana-mana perintah yang dibuat di bawah seksyen ini.
(3) Setakat amaun yang telah dibayar kepada seseorang atau kepada wakil seseorang, di bawah suatu perintah bagi pampasan, apa-apa tuntutan orang atau wakil itu bagi kerugian yang dialami oleh sebab kesalahan itu hendaklah disifatkan telah dijelaskan, tetapi perintah bagi pembayaran itu tidaklah menjejaskan apa-apa hak kepada remedi sivil bagi mendapatkan apa-apa harta atau bagi mendapatkan ganti rugi yang melebihi amaun pampasan yang dibayar di bawah perintah itu.
(4) Tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dirayukan kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam hal perintah yang dibuat oleh Mahkamah Rendah Syariah, dan kepada Mahkamah Rayuan Syariah dalam hal perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
Peruntukan tentang pampasan
221. Tertakluk kepada Enakmen ini, jika mana-mana orang di bawah Enakmen ini, kerana apa-apa sebab, diperintahkan membayar pampasan, Mahkamah yang membuat perintah itu boleh menurut budi bicaranya membuat semua atau mana-mana perkara berikut, iaitu—
(a) membenarkan masa bagi pembayaran pampasan itu;
(b) mengarahkan pembayaran pampasan itu dibuat secara ansuran; atau
(c) mengarahkan supaya orang itu diperiksa dan supaya apa- apa wang yang didapati padanya apabila diperiksa sedemikian atau yang, sekiranya dia dipenjarakan, boleh didapati padanya apabila dibawa ke penjara, hendaklah digunakan bagi pembayaran pampasan itu dan lebihannya, jika ada, dipulangkan kepadanya, tetapi wang itu tidak boleh digunakan sedemikian jika Mahkamah berpuas hati bahawa wang itu bukan kepunyaan orang itu.
Salinan prosiding
222. (1) Jika pengadu atau tertuduh atau mana-mana orang yang tersentuh oleh penghakiman atau perintah yang dijatuhkan atau dibuat oleh Mahkamah berhasrat mendapatkan suatu salinan mana- mana penghakiman, perintah atau bahagian lain rekod itu, dia hendaklah, apabila memohon untuk mendapatkan salinan itu, diberi salinan itu oleh Mahkamah apabila dibayar apa-apa jumlah wang yang munasabah sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah melainkan jika Mahkamah berpendapat, atas sesuatu sebab khas, salinan itu patut diberikan dengan percuma.
(2) Sesuatu permohonan untuk mendapatkan suatu salinan rekod itu boleh dibuat pada bila-bila masa oleh Pendakwa tanpa membayar apa-apa fi.
Orang yang dilepaskan atas jaminan hendaklah memberikan alamat untuk penyampaian
223. Apabila mana-mana orang dilepaskan atas jaminan, dia hendaklah memberi Mahkamah atau pegawai yang dengannya dia mengikat jaminan itu alamat di mana segala notis dan proses boleh disampaikan kepadanya, dan dalam apa-apa hal jika orang itu tidak dapat dijumpai, atau atas sebab lain penyampaian itu tidak dapat dibuat kepadanya, apa-apa notis atau proses yang ditinggalkan bagi orang itu di alamat itu hendaklah disifatkan telah disampaikan dengan sewajarnya kepadanya.
Pampasan jika tuduhan tak berasas
224. Bilamana mana-mana orang menyebabkan seorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis menangkap seseorang
lain, maka jika didapati oleh Hakim yang mengambil perhatian tentang kes itu bahawa tidak ada alasan yang mencukupi bagi menyebabkan penangkapan itu, Hakim boleh mengaward apa-apa pampasan, yang tidak melebihi seratus ringgit, yang hendaklah dibayar oleh orang yang menyebabkan penangkapan itu kepada setiap orang yang ditangkap sedemikian kerana kerugian masa dan apa-apa perbelanjaan yang ditanggung olehnya dalam perkara itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Hakim itu.
Hakim tidak boleh bertindak jika mempunyai kepentingan
225. Tiada Hakim boleh membicarakan apa-apa kes-kes yang dalamnya dia menjadi suatu pihak atau dia mempunyai kepentingan sendiri.
Keterangan
226. Dalam mana-mana prosiding di bawah Enakmen ini, Mahkamah hendaklah mematuhi segala peruntukan Hukum Syarak berhubungan dengan bilangan, kedudukan atau kualiti saksi atau keterangan yang dikehendaki untuk membuktikan apa-apa fakta.
Borang
227. Borang-borang yang dinyatakan dalam Jadual, dengan apa- apa perubahan sebagaimana yang dikehendaki oleh hal keadaan setiap kes, boleh digunakan bagi maksud masing-masing yang disebut dalamnya.
Penggunaan denda
228. Mahkamah yang mengenakan apa-apa denda di bawah kuasa mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa boleh mengaward apa-apa bahagian denda itu kepada seseorang pemberi maklumat.
Kaedah-kaedah
229. Ketua Hakim Syarie boleh, melalui pemberitahuan dalam
Warta, membuat kaedah-kaedah bagi menjalankan peruntukan
Enakmen ini dan khususnya, tetapi tanpa menjejaskan keluasan peruntukan yang terdahulu, kaedah-kaedah itu boleh membuat peruntukan bagi—
(a) fi yang boleh ditetapkan di bawah Enakmen ini;
(b) borang, buku akaun, laporan dan dokumen lain yang hendak digunakan berkenaan dengan apa-apa perbuatan atau benda yang dibuat di bawah atau menurut Enakmen ini; dan
(c) perjalanan Mahkamah, bentuk dan kaedah pelaksanaan suratcara dan pelantikan mana-mana pegawai atau ejen Mahkamah.
Hukum Syarak
230. (1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Enakmen ini yang tak konsisten dengan Hukum Syarak hendaklah terbatal setakat yang tak konsisten itu.
(2) Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.
Pemansuhan
231. (1) Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah 1991 (Enakmen No. 6 tahun 1991) adalah dimansuhkan.
(2) Jika mana-mana kes atau perkara belum selesai di hadapan mana-mana Mahkamah apabila mula berkuat kuasanya Enakmen ini, peruntukan Enakmen ini hendaklah terpakai berkenaan dengan prosiding kes atau perkara itu setakat yang ia tidak menyebabkan ketakadilan.